PROGRAM Town Hall Rakyat Bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berjalan lancar dengan kehadiran lebih 300 pengunjung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.
Program kali kedua anjuran Sinar Harian itu melibatkan sesi soal jawab antara Anthony dan penonton mengenai isu berkaitan p-hailing/e-hailing, harga tiket penerbangan selain hak sebagai pengguna pengangkutan.
Ikuti kupasan bersama Anthony dalam program Town Hall Rakyat dihoskan oleh pelakon terkenal tanah air, Azhar Sulaiman.
SOALAN: Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pernah mengeluarkan kenyataan sekiranya pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] diluluskan, penunggang Foodpanda diwajibkan memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL).
Bagaimanapun, saya berpendapat ia tidak memberi sebarang kelebihan atau keperluan malah akan membebankan kami. Jadi, boleh Yang Berhormat (YB) jelaskan?
ANTHONY: Pertama sekali saya ingin jelaskan Rang Undang-Undang (RUU) itu perlu dibawa semula ke Parlimen kerana Parlimen sebelum ini dibubarkan.
Apabila ia diluluskan, kami akan susun atur semua perkara itu bagi memudah cara penunggang p-hailing memiliki GDL dan mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
Kita mahu jadikan sektor ini sah di sisi undang-undang sekali gus memudahkan kerajaan untuk mengawal selia.
Sektor ini perlu diiktiraf supaya setiap dasar dan peraturan yang dibuat dapat memberi perlindungan kepada penunggang termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya.
SOALAN: Saya adalah salah seorang pekerja gig dan masa fleksibel amat penting bagi kami. Adakah kerajaan akan memantau dan mengikat kami dengan mewajibkan GDL?
ANTHONY: Kami di kementerian tiada niat untuk mengikat pekerja gig dan faham mereka tiada masa yang spesifik untuk bekerja. Kerajaan hanya mahu ada satu bentuk kawal selia tetapi tidak terlalu mengikat dan membebankan penunggang.
Setiap hari kami terbuka mendengar maklumat daripada golongan ini agar dapat mencari satu keputusan menang-menang bagi kedua-dua pihak.
SOALAN: Mengapa kerajaan tidak melaksanakan pengawalan harga seperti harga lantai ke atas syarikat pengendali e-hailing (EHO)?
ANTHONY: Saya faham bagi pihak pemandu, harga lantai adalah satu perjuangan mereka namun kita kena imbangkan dari segi pasaran.
Mungkin pengguna tidak setuju dengan pelaksanaan harga lantai kerana akan memberi kesan kepada tambang. Oleh itu, ia adalah sesuatu yang belum dipastikan dan tiada satu dasar berhubung perkara ini.
SOALAN: Kioks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diperkenalkan sangat bagus namun ia tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada pengguna kerana mesin itu diletakkan dalam kawasan bangunan JPJ selain waktu urusannya sangat pendek.
Jadi apakah langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi menaiktaraf kemudahan ini?
ANTHONY: Satu pandangan yang cukup baik, sebab itulah sekarang kioks diletakkan di luar pejabat JPJ.
Saya juga telah minta kepada JPJ agar memanjangkan masa operasi mesin berkenaan selain melakukan beberapa inisiatif lain seperti meletakkan kioks di beberapa kawasan strategik seperti KL Sentral atau pusat beli-belah.
Kita boleh tiru syarikat komunikasi atau bank yang mana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) boleh digunakan sehingga jam 12 malam.
SOALAN: Harga tiket penerbangan sangat mahal dan membebankan pelajar terutamanya golongan B40. Kadang-kadang pelajar dari Sabah dan Sarawak tidak pulang ke kampung kerana masalah itu.
Apakah tindakan kerajaan bagi menangani isu berkenaan?
ANTHONY: Kementerian cuba dapatkan peruntukan untuk memberi insentif atau subsidi kepada pelajar yang ingin pulang ke kampung namun ditolak oleh Kementerian Kewangan.
Tahun hadapan kita cuba lagi dapatkan sedikit bantuan kredit untuk tujuan tersebut.
Setakat ini apa yang telah dilaksanakan adalah berbincang dengan syarikat penerbangan bagi menambah jumlah penerbangan dan menawarkan harga tetap pada musim perayaan.
Bagaimanapun, ia tetap mempunyai kekangan kerana jumlah pesawat agak terhad.
SOALAN: Lemon Law merupakan undang-undang yang membolehkan pembeli kereta menerima pampasan seandainya produk yang dibeli rosak berkali-kali dan gagal berfungsi seperti yang dijanjikan.
Sebagai contoh kenderaan eletrik (EV) dilaporkan kerap rosak hingga memaksa kenderaan itu ditukar, apakah pandangan YB jika MOT bercadang untuk mewujudkan undang-undang ini di Malaysia?
ANTHONY: Industri EV belum dibuat secara besar-besaran dan masih baharu di dalam negara.
Sudah tentu cabaran operasi itu akan dilihat dari masa ke masa dan penguatkuasaan atau undang-undang baharu itu perlu dirujuk kepada negara-negara lain yang ada industri EV besar bagaimana mereka melaksanakan undang-undang berkenaan.
SOALAN: Dalam kecanggihan dunia automotif, kenderaan semakin kerap mempunyai masalah dan kempen memanggil semula di Malaysia masih menjadi satu perkara yang tidak wajib.
YB cukup arif dengan isu ini kerana terlibat dengan kempen memanggil semula beg udara Takata.
Bagaimana prosedurnya dan adakah syarikat pengeluar perlu membayar kepada MOT untuk mendapatkan data pemilik kenderaan?
ANTHONY: Setakat ini memang tiada undang-undang khusus berkenaan dengan recall (memanggil semula) kalau ada model yang memerlukan recall sudah tentu MOT akan cuba bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengeluar kereta.
Jadi kempen yang pernah kita buat untuk beg udara Takata pada tahun 2018, kita tidak kenakan bayaran untuk memberikan maklumat kepada syarikat pengeluar kereta.
Akan datang jika ada sesuatu model kereta yang perlu recall, mereka (syarikat pengeluar kereta) boleh berbincang dengan kita.
MOT bukan hendak kaut keuntungan dari penjualan data, tetapi data itu penting untuk kita lindungi dan jika ada keperluan untuk keselamatan pengguna, kita boleh bagi kerjasama.
Tidak timbul soal kos untuk mendapatkan data tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca