SHAH ALAM - Kos bagi pakej menunaikan haji melalui syarikat swasta dijangka meningkat sebanyak 25 hingga 35 peratus pada tahun ini.
Pengarah syarikat pengendali umrah dan haji, Jad Travel & Tours, Salimi Zainal berkata, peningkatan itu melibatkan empat pakej daripada organisasi tersebut merangkumi harga serendah RM49,000 sehingga mencecah RM170,000.
"Kenaikan paling ketara sekarang ini ialah harga tiket kapal terbang. Sebelum Covid-19, harga tiket untuk kelas ekonomi mungkin sekitar RM5,000 hingga RM6,000, manakala kelas bisnes adalah daripada RM9,000 ke RM10,000.
"Yang kedua, hotel pun naik harga disebabkan permintaan terlalu tinggi selepas Covid-19. Tahun ini memang ada kenaikan hampir seluruh hotel di Makkah dan Madinah iaitu daripada 25 ke 35 peratus,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Salimi, setakat ini mana-mana syarikat agensi pelancongan swasta yang berdaftar di bawah Tabung Haji (TH) masih lagi belum dibenarkan untuk mempromosikan perkhidmatan pakej haji kepada orang ramai.
Jelasnya, mereka hanya dibenarkan mempromosikan pakej berkenaan sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada TH tidak lama lagi.
"Anggaran tahun ini, pakej paling murah yang berjarak antara 250 ke 300 meter (daripada Kaabah), harganya dalam RM49,000.
"Berbanding pakej tahun lalu di mana kalau kita duduk (menginap) di Menara Jam Makkah harganya baru dalam RM44,000 ke RM46,000 jadi tahun ini memang tidak dapat dah (harga sedemikian).
"Jadi julat harga paling murah adalah dalam RM49,000 dan paling mahal RM170,000,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham pula berkata, syarikat-syarikat agensi pelancongan swasta terutamanya melibatkan pakej visa furada juga melibatkan kos yang tinggi sehingga mencecah RM30,000 hingga lebih RM40,000 tidak termasuk kos visa haji.
"Untuk kos visa, itu adalah subjektif. Tengok sama ada dapat daripada kuota menteri atau orang tengah.Pertama, untuk pakej, mereka mungkin akan ambil sampai RM12,000 untuk tiket sahaja, kemudian bayaran untuk Hotel Arafah/Mina dengan harga 12,408.79 Riyal bersamaan RM14,800.
"Selepas itu mereka akan sambung hotel lagi di Makkah (RM2,000) dan Madinah (RM2,000), kemudian makanan (RM2,000),” ujarnya.
Beliau berkata, umat Islam juga diingatkan supaya jangan terlalu percayakan cakap orang tengah dalam memilih syarikat swasta yang sesuai.
Pada Isnin, TH mengumumkan bantuan kewangan haji diteruskan secara bersasar, walaupun kos ibadat itu naik kepada RM30,850, berbanding RM28,632 tahun lalu.
Klik di sini untuk terus membaca