LAGU tiga kupang,
Saku penuh padi,
Enam ekor burung,
Masuk dalam kuali...
Yang lain sambunglah sendiri.
Kebanyakan budak-budak pada era saya dan sebelumnya dibiasakan dengan lagu ini sejak bertatih lagi. Kita mungkin tidak ingat di mana pertama kali mendengarnya.
Mungkin daripada dendangan A Romzi dan kumpulan The Hooks yang pernah merakamnya. Mungkin daripada dodoi emak atau kakak. Mungkin juga di dalam kelas. Mungkin di mana-mana sahaja.
Tidak kira di mana, yang pasti dengan hanya sekali dua dengar, kita sudah boleh menghafal liriknya. Begitu cepat ia melekap di otak.
Lagu itu dipercayai diubah suai daripada lagu kanak-kanak orang Putih Sing a song of sixpence, yang tidak diketahui siapa pencipta dan bila tarikh penciptaannya.
Dan tidak diketahui juga siapa penggubah suainya. Sedar-sedar ia telah menjadi lagu kanak-kanak kita. Bab meminjam, kita memang cekap!
Lirik lagu itu agak pelik. Pantun bukan, syair bukan, gurindam pun bukan. Ia boleh dikatakan merapu sebab kita pun tidak tahu apa kaitan tiga kupang dengan saku penuh padi, kenapa burung yang telah masuk ke dalam kuali masih menyanyi apabila sudah masak, raja apa yang duduk di dalam rumah bukannya istana dan kira-kira apa yang baginda sedang buat.
Hanya dua perkara saya nampak. Pertama, sejak kecil kita sudah diajar mengenal duit dan kedua, asalkan ada kaitan dengan duit, secara automatik kita akan berikan perhatian. Kita tidak kisah ia merapu atau tidak.
Tetapi itulah kuasa duit. Daya penariknya luar biasa hinggakan orang tidak siuman pun acap kali mengenalinya dan tahu membezakan nilainya. Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Pernah kena herdik sebab beri RM1.
Dia kata: "Bagilah yang merah, yang biru ni nak beli air balang pun tak boleh.” Kemudian dia berlalu, ketawa mengekek-ngekek macam orang baru menang bertanding.
"Dalam hidup ni Budi, biar kita tidak berduit, asalkan kita berbudi,” demikian pesan arwah opah kawan saya, suatu masa lebih 40 tahun dahulu.
Saya sematkan pesan itu di lubuk hati. Kisah-kisah yang saya baca dalam buku cerita dan komik, filem-filem Melayu klasik yang saya tonton di televisyen umumnya mengesahkan kebenaran nasihat tersebut.
Sebagai contoh, sang hero selalunya perantau miskin yang mengadu untung di tempat orang. Tetapi kerana budinya dan kerana akhlaknya, dia kemudian berpeluang berkahwin dengan anak penghulu atau anak raja.
Saya ingin menjadi seperti itu. Kalau tidak dapat anak penghulu atau anak raja, dapat anak guru yang keretanya saya selalu cuci semasa menjadi budak pengakap pun jadilah.
Namun, perjalanan hidup, usia dan pengalaman perlahan-lahan mengganggu cara berfikir saya.
Walaupun masih berpegang pada pesan arwah opah itu, saya melihat realiti di sekeliling jauh berbeza daripada kisah-kisah dalam buku cerita, komik dan filem Melayu klasik.
Hero miskin dalam cerita-cerita itu, jika dibawa keluar ke dunia nyata dengan bermodalkan budi semata-mata, usahkan penghulu atau raja, tauke air ketum pun belum tentu sudi bermenantukan dia.
Itulah kenyataannya. Jika ada dua orang, seorang yang sangat berbudi tetapi akaunnya kosong dan seorang lagi agak buruk perangai tetapi akaunnya ada nombor empat atau lima atau enam yang diikuti dengan tujuh lapan angka 0 di belakang, agak-agak yang mana akan disambut dan diraikan?
Yang mana berpeluang makan di meja VVIP dan yang mana kena makan nasi bungkus nun sayup-sayup di bawah pokok?
Mudah-mudahan tidak ada yang buat laporan polis dengan mendakwa saya menghasut orang ramai supaya jangan berbudi. Bukan niat saya menghalang sesiapa jadi budiman seperti saya.
Saya sekadar menyatakan yang benar. Kenyataannya, duit telah menjadi begitu berkuasa sehingga menghakis segala nilai lain.
Untuk mendapatkan duit, orang sanggup jual anak, untuk menjimatkan duit, orang sanggup buang emak bapa.
Kerana duit orang sanggup hilang apa sahaja – hilang malu, hilang maruah, hilang akal, hilang takut pada neraka, malah hilang nyawa.
Pesan Datuk M Nasir dalam lagu ‘Duit’nya:
Ramai orang yang berkata,
Duit punca banyak dosa,
Jangan sampai makan rasuah,
Nanti bangsa jadi musnah,
Tetapi ada kawan saya kata, M Nasir bolehlah cakap seperti itu sebab dia tidak jadi perwakilan dan tak terlibat dalam pemilihan.#dush!
(Tetapi ada kawan saya kata, M Nasir bolehlah cakap seperti itu sebab dia tak masuk politik.#dush!)
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca