INSYA-ALLAH, mulai esok kita akan menempuh Ramadan. Sekali lagi kita akan lalui bulan penuh barakah. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari RA menjelaskan bahawa ibadah berpuasa adalah untuk-Nya. ALLAH berfirman: "Semua amal anak Adam adalah... Klik di sini untuk terus membaca

INSYA-ALLAH, mulai esok kita akan menempuh Ramadan. Sekali lagi kita akan lalui bulan penuh barakah. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari RA menjelaskan bahawa ibadah berpuasa adalah untuk-Nya.

ALLAH berfirman: "Semua amal anak Adam adalah untuk mereka kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.”

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah RA pula menyatakan; "Apabila menjelmanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Sementara, hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah: "Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama 1,000 bulan."

Lihatlah betapa ‘bersedianya’ ALLAH untuk meraikan Ramadan dengan membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan membelenggu syaitan.

Bukan setakat itu sahaja, ALLAH menganugerahkan pahala kepada orang berpuasa, menggandakan segala amal soleh sehingga 700 pahala dan bonus tahunan untuk menikmati pahala 1,000 bulan!

Itu belum termasuk pahala berpuasa yang ALLAH akan beri mengikut kiraan lain, yang tentunya melebihi gandaan 700 pahala!

Soalnya, ALLAH Maha Kuasa sudah bersedia menyambut Ramadan dengan segala keberkatan melimpah ruah tetapi apa pula persediaan kita, golongan hamba untuk menyambut Ramadan? Baju raya? Kuih raya? Iftar di sana-sini?

Atau sudah merancang rombongan Mak Cik Kiah balik beraya di kampung?

Tidak terasakah kita? ALLAH sediakan macam-macam untuk kita tetapi rupa-rupanya kita ada rancangan lain yang melencong daripada tujuan sebenar Ramadan.

Seolah-olah kita hendak fast forward sahaja Ramadan untuk berada di bulan Syawal. Kemudian kita akan berpura-pura berkata: "Eh, cepatnya Ramadan tahun ini.”

Padahal minda kita sudah melangkaui Ramadan itu sebelum bulan tersebut tiba!

Hanya sekadar ingat mengingatkan. Bukan semua berfikiran begitu. Ramai lagi benar-benar bersedia menghidupkan bulan Ramadan.

Ramai melihat Ramadan sebagai bulan pesta ibadah. Ramai juga sudah bersedia barang makanan untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Dan ada yang sudah mengetepikan bajet sedekah dalam talian secara harian.

Al-Quran baharu sudah dipesan agar ia membantu semangat membacanya pada bulan mulia. Begitu juga jubah dan sejadah yang belum dipakai akan mula digunakan untuk ke masjid.

Jadual pergerakan keluarga untuk bertarawih di surau dan masjid telah diatur. Ramai sudah berpakat dengan geng surau untuk sama-sama beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan.

Jika ALLAH sudah menyediakan landasan luas dan terbuka untuk memberi barakah kepada Ramadan, kita pun bagai kecil tapak tangan, nyiru pula ditadahkan.

Kesemuanya dibuat agar Ramadan bukan sekadar lebih baik dari tahun-tahun nan lalu tetapi yang lebih utama adalah mengharap agar ibadah tahun ini turut diterima.

Kita manusia yang tidak sempurna, lagi pelupa. Pada hari pertama, minggu pertama kita akan tekun menjaga ibadah puasa. Menjelang minggu berikutnya, kita boleh kembali lalai akibat berpuas hati dengan prestasi minggu sebelumnya.

Akhirnya, perlumbaan yang seharusnya lebih fokus ke garisan penamat tidak berkesudahan seperti dihasratkan.

Bagaimana kita ini, sedangkan solat yang hanya beberapa minit sentiasa hilang khusyuknya, inikan pula masa berpuasa yang mengambil masa sehari suntuk.

Lebih-lebih lagi bila kita bebas bergerak dan hanya berpuasa makan, menjaga pandangan, pendengaran dan perkataan.

Ditambah pula keadaan sekeliling yang sentiasa menggoda, ia adalah bulan dugaan amat mencabar.

Saya gunakan istilah ‘menempuh Ramadan’ pada awal artikel agar kita sama-sama tidak rasa berpuasa adalah amalan ringan, bahkan sesuatu yang ada getirnya.

Jika kita ingat berpuasa ini ringan, maka ringanlah ia, asalkan ia tidak diringan-ringankan.

Sebaliknya jika kita beranggapan berpuasa ini berat, maka beratlah ia. Tetapi jangan pula puasa dipayah-payahkan.

30 hari dan 720 jam. Ini adalah bulan untuk kita tunduk penuh keabdian.

Semoga ALLAH SWT membantu kita mengharungi Ramadan. Selamat berpuasa kepada semua umat Islam.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca