SHAH ALAM - Terdapat sebilangan Ibu bapa tidak bersetuju dengan cadangan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar diwujudkan untuk golongan elit. Suri rumah,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Terdapat sebilangan Ibu bapa tidak bersetuju dengan cadangan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar diwujudkan untuk golongan elit.

Suri rumah, Azilahani Harun, 51, berkata, ia berikutan MRSM sepatutnya merupakan institusi pendidikan yang membantu melahirkan pelajar-pelajar berkebolehan terutamanya daripada golongan keluarga berpendapatan rendah.

Ujar Azilahani, cadangan tersebut dibimbangi akan mengurangkan kuota sedia ada untuk pelajar miskin dan luar bandar sekali gus membuka lebih banyak kemasukan untuk pelajar daripada golongan berada.

"Saya memang tidak setuju sebab ia macam semua orang boleh beli kejayaan, boleh masuk MRSM disebabkan mereka ada duit walaupun prestasi kurang memuaskan.

"Kesannya, orang yang betul-betul belajar cerdik pandai ini suatu hari akan terpinggir sebab ada pelajar lain yang ada duit, mereka pun boleh masuk ke MRSM,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Rosni Osman, 57, berkata, cadangan itu dilihat tidak sesuai kerana ibu bapa golongan berada mempunyai banyak alternatif untuk memasukkan anak mereka ke sekolah-sekolah lain termasuk sekolah swasta.

"Apa fungsi Mara menubuhkan MRSM sedangkan tujuan asalnya adalah untuk membantu anak-anak Melayu?

"Kalau kita tengok sekarang, kita nak beri peluang kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk hidup dalam satu persekitaran yang selesa, maknanya mereka pergi belajar di MRSM, ibu bapa sudah tidak perlu risau fikirkan soal kelas tuisyen dan sebagainya.

"Sekarang ini, harga kelas tuisyen sahaja sudah cecah beribu ringgit, jadi MRSM ini sahaja cara untuk kita bantu ibu bapa berpendapatan rendah,” ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga, Mohd Hafiz Baharuddin, 43, berkata, kewujudan MRSM berbayar itu dijangka akan menyebabkan jurang antara pelajar berpendapatan rendah dan golongan berada menjadi lebih ketara.

"Pandangan peribadi saya, memang saya tidak setuju supaya ada MRSM berbayar. Kenapa perlu ada jurang ekonomi seperti itu? Daripada buat macam itu, lebih baik kekalkan seperti sedia ada. Campurkan semua (pelajar) tak kisah sama ada B40, M40 atau T20.

"Bila campur semua, semua pelajar akan dapat bina ‘network’ (jaringan) sesama mereka, itu pun untuk manfaat mereka pada masa depan juga,” ujarnya.


Reaksi bekas pelajar MRSM

"Tak perlu tubuhkan MRSM berbayar. Asalnya institusi ini ditubuhkan untuk beri peluang kepada pelajar yang memerlukan. Jadi, bukankah lebih baik jika ibu bapa golongan elit hantar anak-anak mereka ke sekolah swasta yang sediakan pendidikan lebih baik.”

Alia Nadhirah Hisham

- Alia Nadhirah Hisham, 25, alumni MRSM Lenggong, Perak.

"Saya setuju dengan cadangan tersebut. MRSM terkenal sebagai institusi pendidikan yang berkualiti tinggi. Jadi jika diwujudkan MRSM berbayar, saya percaya kualiti infrastruktur, pembelajaran dan perkhidmatan yang diberikan akan jauh lebih baik.”

Insyirah Sedek
Insyirah Sedek

- Insyirah Sedek, 19, alumni MRSM Parit, Perak.

"Nanti orang akan label ada MRSM kaya dan MRSM tidak kaya. Matlamat asal akan lari. Saingan tidak akan wujud antara MRSM dan SBP sebab orang akan melihat SBP sebagai institusi yang lebih berkualiti.”

Farish Afrezal Fairus Azmiha

- Farish Afrezal Fairus Azmiha, 19, alumni MRSM Sultan Azlan Shah.

Klik di sini untuk terus membaca