KUALA LUMPUR - Acara pembukaan sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak di sini yang bakal menampilkan kumpulan Thai Hot Guy pada 30 Mac ini dibatalkan atas arahan polis. Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Acara pembukaan sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak di sini yang bakal menampilkan kumpulan Thai Hot Guy pada 30 Mac ini dibatalkan atas arahan polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, satu perjumpaan diadakan antara polis dengan pihak penganjur dan pengurusan premis tersebut.

Katanya, amaran keras telah diberikan polis kepada pihak penganjur agar program tersebut tidak diteruskan.

"Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program seperti yang tular sebelum ini akan diadakan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Ashari berkata, sehingga jam 4 petang Rabu, sebanyak 60 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak membantah penganjuran program tersebut.

Beliau sehubungan itu berkata, polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis berkenaan dan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

Terdahulu, beberapa pihak membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penganjur kerana menyentuh sensitiviti umat Islam apabila mahu menganjurkan program itu pada bulan Ramadan.

Antaranya ialah Pemuda UMNO yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Rabu.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, laporan dibuat sebagai bantahan terhadap program tidak bermoral dan memalukan itu.

Ujarnya, poster iklan berkaitan acara itu memaparkan unsur-unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Kita juga mendapat maklumat bahawa premis tersebut tidak mempunyai lesen hiburan dan lesen restoran yang tamat tempoh.

"Kita berharap agar polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas supaya perbuatan seperti ini tidak berulang,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis.

Selain Pemuda UMNO, turut membuat laporan di IPD Dang Wangi ialah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Muhammad Harris Idaham mewakili Armada Bersatu membuat laporan polis di IPD Dangi Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu.

Exco Armada Bersatu Nasional, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid berkata, pihaknya menggesa penguatkuasaan lebih tegas daripada pihak berkuasa.

Turut membuat laporan polis ialah Ketua Pemuda UMNO Kuala Selangor, Aliff Asyraf Azhari yang menyifatkan penganjur melakukan satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

"Pihak penganjur dilihat tidak sensitif dan sengaja menimbulkan kemarahan umat Islam dengan menganjurkan program yang berunsur ideologi dan pelakuan songsang LGBT di dalam negara,” katanya selepas membuat laporan di IPD Kuala Selangor di sini.

Di KOTA BHARU, Pemuda UMNO Kota Bharu turut membuat laporan polis.

Muhammad Farridul Farris (tengah) mewakili Pemuda UMNO Kota Bharu bersama laporan polis dibuatnya.

Naib Ketuanya, Muhammad Farridul Farris Mat Hussin berkata, program berkenaan bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah menggusarkan kaum lain yang hidup harmoni di negara ini.

"Acara ini tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini dan boleh dianggap biadab,” katanya yang hadir bersama 12 anggota Pemuda UMNO membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini.

Aliff Asyraf (dua dari kanan) membuat laporan polis di IPD Kuala Selangor.
Klik di sini untuk terus membaca