SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertimbangkan pilihan untuk bergerak secara solo selepas permohonan parti itu ditolak oleh Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangannya, Rafique Rashid Ali berkata, buat masa ini parti itu sedang memberi tumpuan ke arah membuat persiapan jentera di kawasan-kawasan tertentu dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
"Salah satu pilihan yang ada ialah untuk bergerak secara solo tetapi mungkin fokus pada kawasan-kawasan tertentu yang kita sedang kaji.
"Arahan telah pun dikeluarkan untuk negeri-negeri yang mana PRN akan berlangsung iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kepada jentera-jentera kita untuk dipersiapkan.
"Sama ada kita nak bergabung dengan gabungan lain buat masa ini belum ada lagi dalam perancangan kita, cuma kita sedang memikirkan keperluan untuk menyediakan jentera kita di kawasan-kawasan tertentu untuk mendepani PRN yang bakal tiba dalam dua atau tiga bulan lagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Media pada Selasa melaporkan permohonan Pejuang untuk menyertai PN ditolak.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Selasa.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perancangan untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang, Rafique berkata, gabungan parti politik itu tidak pernah menjadi pilihan Pejuang.
"Sebab ia melawan kepada tujuan kita tubuhkan parti ini iaitu untuk menentang rasuah, salah guna kuasa dan kleptokrat. Kita tidak akan bergabung dengan gabungan macam itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rafique berkata, rakyat dan pengundi perlu melihat kepada kelayakan calon-calon yang bakal dipertandingkan dalam PRN akan datang berbanding warna logo parti.
"Walaupun sudah habis pilihan raya tetapi nampaknya, ahli politik semakin sibuk berpolitik daripada memikirkan isu-isu berkepentingan rakyat.
"Isu-isu penting sekarang ini termasuk kos sara hidup, bebanan harga barangan asas yang semakin naik, kos OPR dan isu-isu berkenaan pendidikan serta kesihatan.
"Saya ulangi sentiasa, rakyat muak dengan politik kerana ahli-ahli politik hanya memikir kuasa sedangkan kuasa yang ada sepatutnya diperguna untuk mencari penyelesaian pada masalah-masalah yang dihadapi rakyat,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca