SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menghadapi kesukaran menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk menolak permohonan kemasukan parti pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menghadapi kesukaran menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk menolak permohonan kemasukan parti pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu.

Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir berpandangan bahawa masa hadapan Pejuang gelap disebabkan tidak mempunyai ideologi jelas, pemimpin ternama yang bertukar arah, jentera akar umbi lemah dan kewangan yang tidak kukuh.

Beliau berkata, menurut rekod pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, Pejuang tidak mencatatkan sebarang kejayaan sekali gus menjadikan mereka tidak mampu untuk berdiri tanpa sokongan parti gabungan yang mendapat sokongan rakyat.

"Masa depan sudah gelap. Banyak faktor yang menyebabkan mereka tidak mampu berdiri sendiri. Kita tengok dalam PRU lepas, mereka bukan sahaja kalah, tetapi semua calon hilang wang pertaruhan. Sukar untuk Pejuang bangkit semula,” katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN membuat keputusan menolak permohonan Pejuang sebagai sebahagian parti komponennya.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Menurut Jeniri, sekiranya Pejuang masih berhasrat untuk bertanding pada PRN kelak, parti itu hanya akan dianggap seperti parti nyamuk yang hanya mengganggu gugat namun tidak memberikan kesan yang besar terhadap parti lawan.

"Mereka tidak akan menang mana-mana kerusi lagi walaupun bertanding. Mereka sedar akan perkara ini. Tidak ada alasan rakyat untuk beri sokongan kepada parti Pejuang. Kalau Tun Mahathir sendiri tidak yakin dengan mereka maka ia memberikan gambaran yang buruk,” jelasnya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohamed Tawfik Yaakub pula berkata, Pejuang hanya diibaratkan serpihan politik yang tidak mempunyai arah tuju dan akhirnya tidak mempunyai kekuatan untuk bangkit atau bersaing dengan parti Melayu lain.

Katanya, Pejuang perlu dibubarkan dan menumpang berdiri atas kekuatan parti lain berbanding meneruskan hasratnya untuk bergerak secara solo dalam PRN akan datang.

"Adakah hanya sekadar jadi pesaing? Kalau sekadar hanya bentuk serpihan, saya fikir orang Melayu hari ini semakin bijak untuk pertimbangkan pilihan mereka berbanding 20 atau 30 tahun yang lalu. Pejuang tidak perlu sertai PRN akan datang. Hanya akan menghilangkan lebih banyak deposit.

"Setelah ditolak PN, mereka perlu pertimbang untuk sertai pilihan yang lain misalnya Pakatan Harapan (PH). Bagi saya, ini kesinambungan untuk mengekalkan identiti Pejuang kekal dalam politik negara. Kalau terus dengan pendirian sedia ada, tidak mahu berubah, saya nampak Pejuang akan terkubur pada bila-bila masa sahaja,” jelasnya.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan PN untuk menolak permohonan Pejuang adalah satu keputusan tepat bagi mengelakkan sebarang beban terhadap gabungan itu.

"Semestinya Pejuang akan meminta kerusi dan kerusi itu sebenarnya satu kesukaran nak diberikan PN kerana mereka sudah ada gelombang yang cukup besar untuk bergerak daripada arah utara hingga selatan dalam PRN akan datang,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca