PADA suatu hari, seorang lelaki balik ke rumah. Isterinya bengang apabila mendapati sehelai rambut panjang di jaket suaminya.
Dia menengking suaminya, "Berani kau simpan perempuan berambut panjang di luar! Siap kau!”Keesokan harinya, lelaki ini pastikan tiada rambut panjang di jaketnya sebelum pulang ke rumah. Malangnya, isterinya mendapati ada sehelai rambut pendek di jaketnya.
Isterinya menengking lagi dengan nada yang lebih kuat, "Berani kau simpan perempuan kedua di luar! Perempuan ini berambut pendek.”
Pada hari ketiga, si suami membersihkan jaketnya dengan penyedut habuk sebelum pulang ke rumah. Seperti yang diharapnya, isterinya tidak menjumpai sebarang rambut. Akan tetapi, lelaki ini sudah tidak dapat lagi menikmati ketenteraman yang dihayati.
Ini kerana isterinya menengking lagi menangis, "Manusia yang tidak berhati perut, sanggup kau menyimpan perempuan yang tiada rambut!”
Masalah si suami ialah isterinya telah memutuskan bahawa suaminya curang. Pendapat ini menjadi pegangan si isteri sehingga tiada bukti yang boleh mengubah pandangannya itu.
Kalau jumpa rambut panjang, itu bukti perempuan simpanan berambut panjang. Kalau jumpa rambut pendek, maka perempuan simpanan berambut pendek. Kalau tiada rambut dijumpai, maka perempuan itu botak.
Dalam kerangka akademik, kesangsian ‘si suami ada perempuan simpanan’ sudah menjadi suatu pegangan yang ‘tidak boleh dibuktikan salah’ dan tidak perlu dilayan serius.
Malangnya, dalam politik, kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang menghadapi serangan pembangkang yang ‘tidak boleh dibuktikan salah’.
Kerajaan ini didakwa tidak menjaga umat Melayu dan Islam, didominasi oleh golongan liberal dan minoriti.
Tak kira apa dan berapa banyak yang dilakukan oleh kerajaan ini untuk umat Melayu dan Islam, ia tetap akan dikecam sebagai menggadai kaum dan agama sendiri.
Maka, isu yang dahulu tak bermasalah di bawah kerajaan sebelumnya seperti wayang gambar indie Mentega Terbang yang tidak diketahui ramai atau lawatan harmoni ke rumah-rumah sembahyang tiba-tiba menjadi isu besar.Mengapa?
Kalau cukup ramai umat Melayu memakan propaganda sebegini, maka kerajaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hilang keabsahan, tekanan akan membina atas UMNO untuk keluar, dan kerajaan bolehlah jatuh seperti yang didakwa oleh Tuan Guru Hadi Awang.
Akan tetapi, jika kelemahan kerajaan dalam menjaga Melayu dan Islam adalah seperti dakwaan ‘perempuan simpanan botak’, siapa untung jika kita tukar kerajaan setiap tahun?
Sememangnya, kalau serangan ‘perempuan simpanan botak' dihalalkan dan terbukti berkesan, setiap kerajaan baru boleh dijatuhkan.
Jika kerajaan luput lebih cepat daripada kalendar tahunan, pelabur luar dan dalam negeri akan tinggalkan bumi Malaysia. Rakyat akan hilang kerja dan rezeki, serta umat Melayu sebagai golongan majoriti akan menanggung kerugian terbesar.
Untuk kebaikan seluruh Malaysia termasuk umat Melayu, rakyat di medan tengah mesti lantang membela kestabilan dan akauntabiliti politik serta menolak ketamakan kuasa yang tidak sabar untuk menunggu lima tahun lagi.
Tak kira kita pilih parti mana, selepas pilihan raya, kita perlu mendesak dan menggalak semua parti untuk bersaing dan bekerjasama dengan profesional untuk kerajaan dan Parlimen lengkapkan tempoh lima tahun.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca