SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan dasar baharu kerajaan terhadap hukuman alternatif bagi hukuman mati mandatori adalah lebih berperikemanusiaan. Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan dasar baharu kerajaan terhadap hukuman alternatif bagi hukuman mati mandatori adalah lebih berperikemanusiaan.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Ragunath Kesavan berkata, hukuman penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun adalah lebih baik berbanding penjara sepanjang hayat kerana pesalah berpeluang untuk memperbaiki diri.

"Jika pesalah menjalani hukuman penjara sepanjang hayat, bermakna tiada konsep untuk pemulihan dan mereka tiada peluang untuk keluar dan memperbaiki diri.

"Bagi saya, hukuman itu amat dahsyat dan mungkin lebih teruk daripada hukuman mati kerana mereka akan berada di penjara sehingga 40 ke 60 tahun.

"Jadi, sekarang adalah masa yang tepat bagi kerajaan melakukan reformasi dengan melakukan pindaan bagi memastikan undang-undang jenayah mengikut arus yang lebih terkini dan adil,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Khamis memberitahu, beberapa dasar baharu dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lalu dalam usaha pemansuhan hukuman mati mandatori.

Ia termasuklah tiada lagi hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori.

Bercakap di Dewan Negara, Azalina memaklumkan ia akan digantikan dengan hukuman alternatif baharu iaitu penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Ini bermakna hakim boleh menggunakan kuasa budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati ataupun penjara sehingga 40 tahun.

Sementara itu, Ragunath memaklumkan, Suhakam berpandangan hukuman sebat harus dikeluarkan sekali.

"Hukuman sebat masih ada sebagai hukuman (selepas dipinda nanti) tapi seharusnya tidak perlu.

"Bagi pesalah, kalau mereka menjalani hukuman penjara 30 tahun, tempohnya masih boleh dikurangkan sehingga satu pertiga kalau berkelakuan baik.

"Maknanya, masih ada peluang untuk seseorang yang dikenakan hukuman penjara secara bertempoh. Tapi kalau sepanjang hayat, maknanya tiada peluang langsung,” ujarnya.

Alasan yang menyokong dan menentang hukuman mati dimansuh

MENYOKONG

1. Bersifat kejam, melanggarkan hak asasi manusia dan tidak mengikut trend keadilan global.

2. Tiada bukti jelas hukuman mati berkesan dalam mengekang jenayah kerana jenayah serupa terus berlaku.

3. Ada kemungkinan hukuman dilaksanakan ke atas individu yang sebenarnya tidak bersalah.

4. Di sesetengah negara, hukuman mati dikenakan ke atas pesaing politik, jadi ia cenderung untuk disalah guna.

MENENTANG

1. Mengutamakan kepentingan dan keselamatan majoriti rakyat, bukannya penjenayah-penjenayah. Banduan akhir yang sedang menunggu hukuman mati tidak sampai 0.001 peratus berbanding 33 juta rakyat Malaysia.

2. Sebagai satu pencegahan jenayah. Contohnya, jenayah bunuh di United Kingdom dikatakan naik mendadak selepas hukuman mati dimansuh.

3. Wang pembayar cukai akan dibazirkan untuk menanggung keperluan banduan hukuman mati yang menjalani hukuman penjara sehingga 40 tahun.

4. Hukuman mati mandatori bagi kesalahan serius seperti kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya adalah perlu demi keadilan.

Klik di sini untuk terus membaca