BEBERAPA bulan telah berlalu sejak Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memohon untuk menyertai Pakatan Harapan (PH). Namun entah di mana silapnya, sehingga ke saat ini masih tiada sebarang kata putus.
Janji sebelum ini, permohonan parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH, tetapi hakikatnya Muda kini umpama digantung tidak bertali oleh gabungan politik diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Malah, pertemuan Ahli Parlimen Muar itu bersama Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta pimpinan tertinggi parti komponen PH yang lain juga tidak membuahkan hasil positif.
Soalnya, mengapa PH mengambil masa begitu lama untuk memberi jawapan sedangkan Muda telah membuktikan kesanggupan dan kesetiaan bersama pakatan itu selain turut menjalin kerjasama politik ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Syed Saddiq ketika dihubungi Sinar Premium berkata, beliau menyerahkan kepada pimpinan PH untuk memberi respon.
"Muda telah menghantar tiga surat kepada pimpinan PH berkenaan isu ini kerana permohonan itu telah dikemukakan sejak bulan Ogos tahun lalu.
"Sebelum ini kita dimaklumkan tidak sempat dimasukkan ke dalam PH sebelum pilihan raya kerana Kementerian Dalam Negeri dipegang menteri berbeza (Datuk Seri Hamzah Zainuddin), dengan itu besar kemungkinan permohonan tidak akan diluluskan. Sebab itu kita perlu tunggu hingga selepas pilihan raya," katanya.
Jelas Presiden Muda itu, selain menghantar surat, partinya juga pada bulan Januari lalu telah mendapat tarikh pertemuan dengan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tetapi akhirnya ditangguhkan.
Ditanya berapa lama lagi Muda akan terus sabar menanti jawapan daripada PH, Syed Saddiq memaklumkan perkara itu akan dibincangkan di peringkat dalaman parti.
"Kita hanya mahukan jawapan mengenai isu ini supaya mudah untuk kedua-dua belah pihak memastikan bahawa ada kata putus tentang isu yang dipanjangkan ini," katanya.
Beliau turut menegaskan, Muda mahu fokus dengan perbincangan tentang isu ini bersama PH dan buat masa sekarang tiada sebarang perundingan dengan mana-mana gabungan politik lain.
Pro dan kontra
Di sebalik ketiadaan jawapan yang dinanti-nantikan Muda, timbul persoalan mungkinkah PH sebenarnya berasa Muda tidak cukup signifikan untuk menyertai pakatan tersebut berbanding parti-parti lain?
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berpandangan, PH berkemungkinan masih mempertimbangkan pro dan kontra permohonan Muda menyertai pakatan tersebut.
Ujar Mohd Yusri, antara yang dipertimbangkan adalah sejauh mana Muda boleh memberi nilai tambah kepada PH misalnya dalam konteks jumlah sokongan pengikut atau pengundi.
"Jika Muda berpotensi menarik sokongan kelompok baharu yang belum ada dalam kalangan penyokong dan pengundi gabungan tersebut maka kebarangkalian untuk Muda diterima agak tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, mana-mana pakatan pasti akan mempertimbangkan kos dan faedah apabila ada parti baharu memohon untuk menyertai gabungan mereka apatah lagi dengan pilihan raya negeri (PRN) yang semakin hampir.
"Dalam kes ini, kos paling besar adalah PH terpaksa memberi atau mengorbankan kerusi untuk ditandingi oleh parti baharu, sedangkan pembahagian sesama parti komponen sedia ada pun sudah agak rumit,” katanya.
"Begitu juga agihan jawatan lantikan politik apabila menang dan menguasai kerajaan, juga perlu dipertimbangkan daripada komponen parti baharu tersebut," katanya.
Namun, kata Mohd Yusri, melihat senario politik semasa yang tidak menentu, adalah lebih bagus bagi mana-mana gabungan politik untuk memiliki ramai kawan berbanding musuh.
"Begitu juga Muda yang harus mencari gabungan politik untuk terus bertahan dalam landskap politik Malaysia.
"Untuk kelangsungan politik terutama menjelang PRN ini, Muda dilihat sukar menang kerusi jika bertanding sendirian. Mereka perlu meneroka kerjasama dengan gabungan lain sekiranya ditolak PH,” katanya.
Tumpang populariti?
Turut senada, Penolong Profesor Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar yang berpendapat, PH berkemungkinan menilai pengalaman kerjasama dengan Muda dalam beberapa siri pilihan raya yang tidak memberi hasil seperti diharapkan.
Berdasarkan pengalaman ketika PRN Johor dan PRU15, Muda dilihat tidak dapat membuktikan keberadaannya dalam PH boleh membantu menambah sokongan, selain gagal menarik segmen pengundi muda.
Muda memperoleh kemenangan sulung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa manakala pada PRU15, Syed Saddiq terus mengekalkan penguasaan di Parlimen Muar yang mendapat sokongan PH.
"Malah, Muda dilihat bergantung kepada populariti PH untuk mendapat sokongan pengundi,” kata Tunku Mohar.
Beliau juga tidak menolak kemasukan parti baharu seperti Muda ke dalam PH hanya akan ‘menambah kesesakan’ dalam pakatan terbabit.
"Pakatan antara PKR, DAP dan Amanah telah bertapak buat masa yang lama. Penyertaan sebuah parti dalam gabungan itu dilihat sebagai menyesakkan ruang kerjasama antara parti gabungan sedia ada,” ujar beliau.
PH parti inklusif
Sementara itu, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam perbincangan mengenai permohonan Muda untuk menyertai koalisi PH, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, PH merupakan sebuah parti inklusif yang mengutamakan perpaduan dan tidak meminggirkan mana-mana parti.
"PH telah membuktikan dapat bekerjasama dengan UMNO/BN demi semangat perpaduan dan saya rasa dalam isu berkenaan penyertaan Muda ke dalam PH ini lebih baik diserahkan kepada pimpinan tertinggi dan Majlis Presiden PH.
"Saya sendiri tidak terlibat secara langsung dalam perbincangan tersebut namun saya kira antara yang dipertimbangkan adalah keberkesanan penglibatan Muda dalam kerajaan selain mungkin isu-isu teknikal seperti pengurusan dan taktikal,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca