SELAMA ini ibadah puasa sering dikaitkan dengan proses untuk merehatkan anggota dalaman manusia kerana tidak makan dan minum sepanjang hari. Umat Islam juga dilarang melakukan perbuatan sia-sia untuk meraih ganjaran pahala berlipat ganda.
Bagaimanapun, puasa umpama satu proses pembangunan teknologi yang belum disingkap menerusi mata kasar.
Penulis tidak bertemu satu ayat khusus dalam al-Quran yang mengaitkan teknologi dengan kewajipan berpuasa. Namun, manusia diperintahkan untuk menggunakan akal untuk mencari ilmu dan kefahaman tentang teknologi. Ada beberapa aspek teknologi yang memiliki hubung kait khusus dengan amalan berpuasa.
Daripada perspektif teknologi, al-Quran menggalakkan manusia menggunakan teknologi dan alat lain untuk lebih memahami serta menambah baik dunia. Manusia juga digalakkan melakukan pembangunan teknologi mengikut garis panduan etika disediakan Islam.
Misalnya, teknologi kesihatan dan kesejahteraan. Puasa menekankan kepentingan mengawal diri dan disiplin. Nilai ini boleh diterapkan untuk pembangunan teknologi kesihatan dan kesejahteraan bagi membantu individu memantau serta mengawal selia tingkah laku.
Aspek teknologi kesejahteraan dapat memastikan manusia mampu melahirkan ciptaan baharu sebagai satu buah tangan kepada kepentingan sejagat.
Puasa juga ada kaitan dengan teknologi alam sekitar. Puasa menekankan kepentingan empati dan ehsan kepada orang lain, khususnya golongan kurang bernasib baik.
Nilai ini boleh digunakan untuk pembangunan teknologi alam sekitar menjurus kepada kemapanan dan pengurangan kemudaratan kepada bumi.
Aspek teknologi pendidikan terserlah dalam ibadah berpuasa. Umat Islam dituntut untuk sentiasa bertaubat dan muhasabah diri. Secara tidak langsung ia sesuai untuk teknologi pendidikan yang membantu individu belajar sekali gus menggalakkan refleksi diri, pemikiran kritikal dan penerokaan idea baharu bagi mencipta teknologi dan inovasi terkini.
Pemikiran kritikal adalah elemen terpenting dalam kehidupan saintis terkemuka Islam, Ibnu Haytham. Beliau terkenal sebagai Bapa Optik Moden. Beliau ialah pakar fizik terunggul dan sentiasa memberi sumbangan terhadap kaedah optik serta saintifik. Ibnu Haytham memberi sumbangan besar dalam bidang optik, fizik, matematik, oftalmologi, persepsi penglihatan dan kaedah saintifik.
Penulis juga mendapati puasa memiliki aspek teknologi sosial. Elemen baik ketika berpuasa memudahkan komunikasi dan kerjasama antara individu dan kumpulan. Ia turut menggalakkan persefahaman, kerjasama dan keharmonian sosial dalam lingkungan yang lebih baik.
ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat [2:183-184] yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa; (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu.
Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan orang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
Surah Al-Baqarah ayat [2:183-184] juga mengajar umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan sebagai satu cara untuk membina disiplin diri dan kesedaran tentang Tuhan. Ayat ini boleh diaplikasikan dalam konteks moden untuk mengingatkan manusia tentang kepentingan membina kawalan diri dan kesedaran rohani dalam semua aspek kehidupan termasuk pembangunan teknologi.
Walaupun puasa tidak dapat dikaitkan dengan pembangunan teknologi tertentu, namun nilai dan amalan yang digalakkan sepanjang bulan Ramadan boleh memberi inspirasi kepada perkembangan teknologi dan inovasi terkini.
Penulis percaya aspek disiplin ketika berpuasa termasuk larangan untuk melakukan maksiat termasuk larangan mengumpat boleh melahirkan saintis cemerlang yang sentiasa fokus kepada pembangunan teknologi terkini.
Kebanyakan saintis terkemuka Islam pada zaman sebelum kebangkitan Barat termasuk Ibnu Sina dan Ibnu Haytham memiliki tahap disiplin yang sangat tinggi serta sentiasa mengabdikan diri untuk melahirkan karya teknologi sebagai hadiah kepada perkembangan sosial manusia.
Sebagaimana puasa yang mendisiplinkan manusia, perkembangan teknologi juga cukup sinonim dengan larangan-larangan ditetapkan sepanjang Ramadhan.
Kesimpulannya, puasa memiliki hubung kait sinonim dengan disiplin yang diterap dan dituntut ketika berpuasa pada bulan Ramadan. Ramadan kini bukan sahaja tidak boleh dianggap sebagai bulan untuk mengutip pahala berlipat ganda yang ditawarkan.
Sebaliknya, ibadah puasa perlu dianggap satu kebangkitan atau detik terpenting untuk melahirkan karya teknologi. Saintis Malaysia harus memulakan revolusi kebangkitan teknologi dengan menjadikan puasa sebagai sumber inspirasi.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca