SHAH ALAM - Gandingan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan UMNO yang baharu dilihat sebagai formula ‘segar’ serta mampu mempopularkan kembali parti keramat Melayu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Gandingan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan UMNO yang baharu dilihat sebagai formula ‘segar’ serta mampu mempopularkan kembali parti keramat Melayu itu.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kedua-dua pemimpin itu juga disenangi dalam kalangan masyarakat dan mempunyai rekod yang baik.

Justeru, beliau melihat gandingan itu mampu memainkan peranan yang signifikan dalam membawa ‘suara’ UMNO dan bertindak sebagai perantara antara parti dan rakyat.

"Asyraf Wajdi sendiri popular dalam kalangan orang muda manakala Azalina sangat disenangi masyarakat pelbagai kaum. Jika mereka berdua dapat mainkan peranan masing-masing, apa yang dikatakan orang akan didengar dan diambil perhatian.

"Saya melihat pengalaman Asyraf Wajdi semasa memimpin Pemuda UMNO akan banyak membantunya dalam memainkan peranan. Lagipun sayang sekiranya orang muda yang berkemampuan sepertinya tidak berada di dalam kepimpinan.

"Azalina pula disukai dalam kalangan orang Melayu dan pelbagai kaum menyebabkan orang lebih tertarik, apatah lagi bila beliau bercakap tentang isu-isu UMNO sendiri yang orang ramai nak tahu. Beliau juga banyak menjadi jurucakap sebelum ini, walaupun lebih kepada bidang atau portfolionya tapi kali ini bagi UMNO pula,” katanya pada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Azizuddin turut memuji langkah UMNO yang berani meletakkan orang muda sebagai Setiausaha Agung parti itu.

Malah katanya, Asyraf dilihat mampu memainkan peranannya menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.

"UMNO sebenarnya masih popular dalam kalangan orang Melayu, cuma perbalahan dalaman yang menampakkan mereka berpecah.

"Tapi sekarang ini pemilihan sudah habis jadi sudah sampai masanya untuk mereka bekerja dan membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN),” jelasnya.

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

Favor pemimpin tertentu

Dalam pada itu, pelantikan beberapa muka baharu sebagai Pengerusi UMNO negeri disifatkan sebagai tidak 'kuat' untuk mengepalai parti itu khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, strategi yang diketengahkan oleh UMNO kali ini dilihat lemah terutama ketika perlu berhadapan dengan pihak lawan seperti Perikatan Nasional (PN) yang lebih agresif di beberapa negeri.

"Ada pelantikan pengerusi negeri yang tidak ada kekuatan untuk berperanan luar biasa sebagai panglima perang untuk berhadapan PRN, khususnya di Kedah dan Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik turut berpandangan, pemilihan individu tertentu yang dilihat menjadi 'kesukaan' pemimpin parti boleh mengundang konflik dalam kalangan pimpinan di peringkat negeri.

"Apatah lagi beliau (merujuk kepada Mahdzir) sebelum ini dilihat sering dekat dengan kem Ismail Sabri (bekas Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Kem yang kuat dan dominan. Namun selepas pemilihan UMNO baru-baru ini, jelas beliau kem presiden,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpandangan, UMNO kini sudah tidak ada pilihan ekoran berlaku perubahan mendadak dalam parti.

Justeru katanya, keputusan Ahmad Zahid untuk meletakkan individu tertentu menerajui UMNO negeri dinilai daripada track record mereka dalam parti sebelum ini.

"Ada pemimpin yang digantung, dipecat dan sebagainya. Sudah pasti ia tidak sama seperti dahulu. Oleh itu, UMNO perlu bekerja keras untuk menawan negeri-negeri yang bakal berdepan PRN.

"Tentunya presiden mahu meletakkan orang yang dia percaya memimpin negeri, (untuk) jadi mata dan telinga. Tidak mungkin dia letak orang yang tidak boleh diharapkan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca