TERDAPAT usaha pihak tertentu sedang melaga-lagakan penyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berdasarkan keputusan terkini pemilihan kepimpinan tertinggi parti itu bagi penggal 2023-2026.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengatakan majoriti barisan MKT yang menang pemilihan atau dilantik Presiden adalah terdiri penyokong Najib atau 'Bossku' adalah tidak benar sama sekali.
Hal ini kerana beliau menegaskan ramai penyokong Najib yang menang pada pemilihan kali ini dan tahun 2018, juga merupakan penyokong kuat kepada Ahmad Zahid termasuk dirinya.
Jelasnya, perkara ini bersandarkan hakikat kedua-dua pemimpin itu merupakan gandingan Presiden-Timbalan Presiden sebelum kekalahan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berpandangan kenyataan Khairy itu bukan bertujuan mengakui aura kepimpinan Najib masih kuat dan kukuh di dalam UMNO, sebaliknya cuba memecahbelahkan UMNO pada saat parti itu bakal mendepani pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri.
"Matlamat KJ (Khairy) dan segelintir bekas pemimpin UMNO ini adalah untuk mewujudkan 'fear factor' dalam kalangan penyokong Ahmad Zahid bagi memastikan peluang Najib dibebaskan menerusi keputusan rayuan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac ini menjadi pudar.
"Kita tahu KJ cuba bermain api dengan menuduh Najib masih menguasai UMNO. Bila 'fear factor' kononnya Najib akan buat 'comeback' dimainkan dalam kalangan penyokong Ahmad Zahid, mereka yang termakan hasutan itu pastinya akan meminta Ahmad Zahid melakukan 'sesuatu'.
"Kemudiannya, jika keputusan kes rayuan semakan kehakiman Najib ditolak di Mahkamah Persekutuan, penyokong Najib mungkin akan meletakkan beban kesalahan terhadap Ahmad Zahid dengan mempersoalkan mengapa Presiden UMNO itu tidak melakukan 'apa-apa'.
"Apa yang KJ tidak sedar, institusi mahkamah di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan bukan lagi dipengaruhi badan eksekutif sebagaimana zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri," tegas Lokman kepada Sinar Premium pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan majoriti penganalisis politik yang melihat barisan kepimpinan baharu UMNO di peringkat pusat dikuasai oleh pemimpin kem penyokong Ahmad Zahid dan Najib.
Teori analisis sama turut dilontarkan KJ melalui satu segmen podcast Keluar Sekejap (KS) bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu, meskipun Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.
Pada Rabu, Ahmad Zahid mengumumkan beberapa pemimpin pro Najib seperti bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan bekas setiausaha politiknya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dipilih menjadi Ahli MKT lantikan yang diperuntukkan kuota sebanyak 13 orang.
Mengulas lanjut, Lokman berpandangan usaha memecahbelahkan UMNO itu bukan perkara pelik, lebih-lebih lagi kem pemimpin menjadi proksi kepada KJ; bekas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional (PN) kalah teruk pada pemilihan kali ini sama ada di peringkat bahagian dan pusat.
"Sungguhpun begitu, Ahmad Zahid cuba merangkumkan penglibatan semua pihak, bukan sahaja dari kalangan pemimpin penyokong Najib, bahkan mereka yang pernah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pasca PRU15 pun diberikan tempat," ujar Lokman.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah turut senada dengan Lokman dan menegaskan tidak timbul soal penguasaan kem mana-mana pemimpin dalam barisan kepimpinan UMNO baharu.
Ujarnya, jika dilihat dalam pemilihan di peringkat sayap dan bahagian UMNO, proses demokrasi terbukti berjaya ditonjolkan parti dengan amat subur sekali, khususnya apabila jumlah bilangan calon bertanding mencatat angka begitu tinggi.
"Kenapa perlu wujud persepsi yang menang ini dikuasai oleh sesiapa? Tiada pasukan kem tertentu yang menang atau kalah, semuanya orang dan ahli UMNO.
"Inilah barisan yang dipilih akar umbi. Saya percaya barisan ini mampu membuat perubahan kepada UMNO khususnya dalam masa terdekat berdepan PRN di enam negeri," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin secara asasnya berpendapat tidak wujud sebarang pengaruh nama besar atau 'warlords' di dalam barisan kepimpinan tertinggi baharu UMNO melainkan aura Ahmad Zahid selaku Presiden, dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Ahmad Zahid dan Najib pastinya mempunyai kekuatan tersendiri dengan kedua-duanya merupakan pemimpin yang sangat dihormati akar umbi UMNO.
"Akar umbi UMNO memandang tinggi kepimpinan melalui prinsip kesetiaan yang teguh sebagaimana ditunjukkan Ahmad Zahid, Tok Mat dan Najib. Mereka akan memilih pemimpin yang menunjukkan kesetiaan kepada parti, dan juga mereka yang kekal berbakti kepada parti.
"Justeru, tidak hairan penglibatan penyokong kedua-dua pemimpin ini menguasai kepimpinan tertinggi UMNO kerana kepimpinan Ahmad Zahid dan Najib juga menjadi faktor utama bertahannya UMNO sehingga ke hari ini," jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca