TEL AVIV - Benarlah bak kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Senario itu sedang dihadapi kerajaan paling berhaluan kanan Israel yang sekali lagi menerima kritikan hebat gara-gara kenyataan kontroversi Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

TEL AVIV - Benarlah bak kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Senario itu sedang dihadapi kerajaan paling berhaluan kanan Israel yang sekali lagi menerima kritikan hebat gara-gara kenyataan kontroversi Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang menafikan kewujudan penduduk Palestin.

"Tidak ada negara Palestin, sejarah dan bahasa Palestin,” katanya dengan angkuh ketika berucap dalam satu acara khas untuk memperingati aktivis Zionis di ibu kota Paris pada akhir minggu lalu.

Smotrich turut mengeluarkan kenyataan berbaur rasis apabila menyifatkan penduduk Palestin sebagai ‘rekaan’ kira-kira seabad lalu ketika menunjukkan peta Israel yang mentakrifkan sempadan Tel Aviv berada di dalam kawasan Syria dan Jordan termasuk Tebing Barat dan Genting Gaza.

Smotrich yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia pentadbiran awam di Tebing Barat bagaimanapun mengakui dirinya sebagai ‘penduduk Palestin’.

"Adakah anda tahu siapa penduduk Palestin? Saya orang Palestin,” ujar pemimpin ultranasionalis itu ketika merujuk kepada mendiang datuknya yang merupakan generasi ke-13 ‘penduduk Palestin sebenar’.

Beliau juga dengan selamba mempersoalkan kewujudan sejarah dan budaya Palestin.

"Terdapat orang Arab di Asia Barat yang tiba di tanah Israel pada masa yang sama gelombang migrasi bangsa Yahudi dan Zionisme bermula.

"Selepas 2,000 tahun hidup dalam ‘pengasingan’, penduduk Israel kembali semula ke tanah air mereka. Terdapat orang Arab yang tidak suka dengan kehadiran kami. Jadi, apa yang mereka lakukan?

"Golongan itu bertindak mencipta ‘kaum rekaan’ yang kemudiannya menuntut hak dan melancarkan perjuangan untuk menentang gerakan Zionis,” katanya lagi dengan lantang yang seolah-olah cuba mengubah fakta sejarah dan turut disambut sorakan para hadirin.

Pemimpin Parti Religious Zionism itu juga merujuk kepada peraturan undang-undang antarabangsa yang mempunyai lima ciri untuk menentukan sesebuah negara iaitu sejarah, budaya, bahasa, mata wang dan sejarah kepimpinan.

"Siapa pemerintah pertama Palestin? Apa bahasa rasmi mereka? Pernahkah mereka mempunyai mata wang, budaya atau sejarah sendiri? Semuanya tiada,” ujarnya lagi secara sinis.

Sehari selepas kenyataan Smotrich mengundang kemarahan banyak pihak termasuk sekutunya, Amerika Syarikat (AS), Kementerian Luar Israel cuba meredakan situasi dengan menyatakan rejim Tel Aviv komited kepada perjanjian damai pada tahun 1994.

"Tiada perubahan dalam kedudukan negara Israel yang mengiktiraf integriti kerajaan Hashemite Jordan,” jelasnya.

Kontroversi itu berlaku beberapa jam selepas delegasi Israel dan Palestin mengadakan pertemuan di Sharm el-Sheikh, Mesir untuk ‘rundingan damai’ pusingan kedua bagi meredakan ketegangan di Tebing Barat menjelang Ramadan.

Sebagai respons, Kementerian Luar Palestin mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Smotrich.

"Kedudukan sedemikian jelas mencerminkan mentaliti penjajah dan menggalakkan kebangkitan gelombang ekstremisme dan keganasan terhadap penduduk Palestin. Tindakannya sememangnya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara dan meneruskan kitaran keganasan serta cubaan mensabotaj usaha mencapai perdamaian,” ujarnya.

Smotrich sememangnya dikenali kerana sering kali mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ke atas penduduk Palestin selain penentang tegar terhadap penubuhan negara Palestin.

Pada 1 Mac lalu, beliau secara melulu mencadangkan penghapusan perkampungan Huwara yang didiami penduduk Palestin di Tebing Barat susulan insiden protes yang dilancarkan pelampau Yahudi.

Jordan zahir protes

Sebagai tindak balas terhadap insiden itu, Parlimen Jordan melakukan proses undian untuk menyarankan pengusiran Duta Israel ke Amman sebagai tanda protes terhadap kelancangan Smotrich yang menafikan kewujudan penduduk Palestin yang secara terang-terangan mempamerkan keangkuhan Israel.

Ketika sesi pada awal minggu lalu, Speaker Ahmed al-Safadi menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap Menteri Kewangan Israel tersebut yang turut mengundang kecaman komuniti antarabangsa terutamanya negara Arab termasuk Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Peta Jordan hanya dilukis oleh rakyat kami dan tiada siapa boleh mengubahnya sesuka hati,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tawfiq Krishan.

Israel dan Jordan menandatangani perjanjian damai pada tahun 1994 setelah terlibat peperangan pada 1948 dan 1967 yang menyaksikan kebanyakan penduduk Jordan yang berketurunan Palestin diusir daripada kampung halaman mereka ketika pendudukan rejim Zionis atau digelar sebagai Hari Nakba (malapetaka) kira-kira tujuh dekad lalu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca