SHAH ALAM - Gabungan Teksi Malaysia mendakwa sebahagian daripada ahlinya sering teraniaya oleh sesetengah penguji kenderaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang tidak bertanggungjawab. Menurut Yang Dipertua Gabungan Teksi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Gabungan Teksi Malaysia mendakwa sebahagian daripada ahlinya sering teraniaya oleh sesetengah penguji kenderaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain, antara isu yang kerap dihadapi ialah pegawai kaunter tidak mesra pelanggan, penguji tidak jujur dan perkhidmatan yang disediakan terlalu perlahan.

"Kami bukan mahu memberi kecaman atau memburuk-burukkan agensi berkenaan tetapi perkara tersebut adalah kebenaran di sebalik semua ini.

"Selain itu, suasana di Puspakom juga agak mengecewakan dengan kemudahan asas tidak memuaskan, walhal kami ba- yar perkhidmatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan Puspakom tidak lagi memonopoli perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor selepas konsesinya tamat 31 Ogos depan.

KAMARUDIN

Kamarudin berkata, isu ketidakpuasan hati pelanggan terhadap perkhidmatan Puspakom bukanlah satu perkara baharu sebaliknya masalah yang sudah berlaku sejak berpuluh tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Anthony yang memecahkan monopoli Puspakom kerana tindakan tersebut seolah-olah memahami masalah rakyat.

"Keputusan itu memberi manfaat kepada jutaan pengendali perkhidmatan dan pengangkutan awam darat negara.

"Penamatan kontrak itu secara tidak langsung membuka peluang kepada syarikat-syarikat yang berkelayakan untuk menyediakan pusat perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor,” ujarnya.


Info Perkhidmatan Puspakom


- Pemeriksaan Berkala setiap 6 bulan.

Pemeriksaan bahagian penting kenderaan supaya ia mengikut undang- undang dan standard yang ditetapkan.

- Pemeriksaan Tukar Milik.

Pemeriksaan ini membantu melindungi pemilik kenderaan baru daripada membeli atau memiliki kenderaan yang menyalahi undang-undang seperti kenderaan potong-sambung.

- Pemeriksaan Sewa Beli

Pemeriksaan bertujuan membantu melindungi pembeli kenderaan terpakai daripada membeli kenderaan yang tidak sah atau tidak boleh digunakan.

- Pemeriksaan Awalan

Kenderaan komersil yang baru atau yang terpakai yang masih belum menukar hak milik dikehendaki menjalani pemeriksaan sebelum medaftar di Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memastikan kenderaan tersebut mematuhi standard piawaian pembinaan dan kegunaannya.

- Pemeriksaan Kenderaan Sukarela

Membantu pemilik memahami keadaan kenderaan supaya dapat mengetahui dengan lebih baik keperluan penyelenggaraan yang diperlukan bagi memastikan kenderaan selamat dan layak berada di atas jalan raya.

- Pemeriksaan Khas

Ia mandatori bagi:

- Kenderaan persendirian dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh lebih daripada tiga tahun.

- Kenderaan komersial atau persendirian mempunyai spesifikasi enjin, casis atau badan kenderaan berubah

- Penukaran nombor plat kereta.

- Kenderaan import baru atau terpakai untuk didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan

- Jenis keperluan lain yang diminta oleh Jabatan Pengangkutan Jalan

- Perkhidmatan Pengesahan Pelan Kenderaan

Untuk membina badan dan mengubahsuai sesebuah kenderaan, pelan teknikal kenderaan yang diluluskan oleh pihak JPJ adalah diperlukan sebelum sesuatu pembinaan badan atau pengubahsuaian ke atas kenderaan boleh dilakukaan.

- Perkhidmatan On Board Diagnostics (OBD)

Jika komponen kenderaan tidak berfungsi seperti sepatutnya atau mengetahui makna simbol yang menyala di papan pemuka kenderaan anda, ODB dapat membantu mengenalpasti punca masalah dan juga keadaan keseluruhan kenderaan tersebut.

- Perkhidmatan Perbaharuan Lesen Kenderaan Motor

- Perkhidmatan Perbaharuan Insurans Motor

Klik di sini untuk terus membaca