SEBUT sahaja tentang monopoli, pasti ia dikaitkan dengan keadaan mendominasi sesuatu perkara sama ada dari segi perkhidmatan atau barangan dengan bebas, tanpa saingan. Sama seperti konsep permainan monopoli yang mana pemenangnya mempunyai... Klik di sini untuk terus membaca

SEBUT sahaja tentang monopoli, pasti ia dikaitkan dengan keadaan mendominasi sesuatu perkara sama ada dari segi perkhidmatan atau barangan dengan bebas, tanpa saingan.

Sama seperti konsep permainan monopoli yang mana pemenangnya mempunyai penguasaan penuh terhadap sesuatu kawasan, sekali gus berisiko mendorong persaingan yang tidak sihat apabila sesuatu pihak itu mempunyai kuasa mutlak di dalam pasaran.

Monopoli sering digambarkan sebagai sesuatu perkara yang negatif kerana mereka yang mengamalkan budaya ini berkuasa menentukan harga bekalan, menguasai pasaran serta memaksimumkan keuntungan firma.

Mangsanya, tidak lain tidak bukan adalah pembeli sendiri yang mana mereka tiada pilihan dan terpaksa membuat pembelian dengan harga yang lebih tinggi, berbeza-beza mengikut keanjalan permintaan pengguna terhadap perubahan harga.

Semestinya, Malaysia tidak terlepas dengan penguasaan berterusan monopoli dalam pasaran perkhidmatan dan perniagaan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Pharmaniaga Berhad dan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Sinar Premium mengenal pasti 10 lagi syarikat dipercayai terlibat unsur monopoli iaitu Astro Malaysia Holdings Berhad, Belati Wangsa (M) Sdn Bhd; Touch n Go; Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB); Pengeluar Tenaga Bebas (IPP); MyEG Services Bhd (MyEG); Grab Malaysia; MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR); Projek Penyelenggaraan Lebuhraya (Propel) Berhad dan Indah Water Konsortium (IWK).

Kebelakangan ini, isu monopoli seringkali dibangkitkan dalam Dewan Rakyat, bermula dengan sistem pembayaran tol Touch N Go sehingga seruan supaya syarikat konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan negeri, Belati Wangsa dimansuhkan dan dasar tender terbuka dilaksanakan kepada pasaran umum.

Terkini, kerajaan juga dilihat serius berusaha memecahkan unsur monopoli di negara ini apabila perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dikuasai Puspakom bakal berakhir selepas konsesinya tamat 31 Ogos depan. Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim berpandangan, monopoli dalam pasaran perkhidmatan dan perniagaan Malaysia merupakan isu kompleks yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti ekonomi dan politik.

Muhamad Zharif
Muhamad Zharif

Peraturan rumit dan keperluan pelesenan dalam industri tertentu juga boleh menyukarkan syarikat baharu untuk memasuki pasaran dan bersaing dengan berkesan.

Ini boleh mewujudkan halangan kepada kemasukan yang menguntungkan syarikat sedia ada dan menyumbang kepada monopoli dalam pasaran.

"Rasuah juga boleh memainkan peranan dalam mengekalkan monopoli di Malaysia. Ini boleh berlaku apabila perniagaan atau individu menggunakan pengaruh mereka untuk mendapatkan akses kepada kontrak kerajaan, lesen atau sumber lain walaupun mereka bukan syarikat atau individu paling layak.

"Amalan sebegini boleh mencabar monopoli yang telah wujud dan membawa kepada pengurangan persaingan serta harga yang lebih tinggi untuk pengguna,” kata nya.

Tambah beliau, syarikat yang mengamalkan monopoli boleh menyebabkan penyalahgunaan kuasa pasaran mereka dengan mengenakan harga yang lebih tinggi kepada pengguna disebabkan tiada syarikat lain yang dapat menandingi harga mereka.

Faedah monopoli

Monopoli juga katanya, berkemungkinan gagal untuk membuat sesuatu inovasi serta menambah baik produk atau perkhidmatan firma kerana tidak menghadapi sebarang persaingan yang membuatkan mereka terdesak.

"Akhirnya, monopoli boleh menyekat pembentukan perniagaan dan keusahawanan baharu dengan mengehadkan peluang untuk syarikat baharu memasuki pasaran,” katanya.

Namun begitu, monopoli juga mempunyai faedahnya tersendiri seperti peningkatan pelaburan dalam infrastruktur dan menjamin kestabilan pasaran.

"Skala ekonomi atau ‘economies of scale’ boleh membawa kepada kos pengeluaran yang lebih rendah, manakala pelaburan dalam infrastruktur boleh membawa kepada peningkatan kualiti perkhidmatan atau inovasi.

"Selain itu, monopoli boleh menjadikan pasaran lebih stabil dan boleh diramal berbanding pasaran kompetitif,” kata Muhamad Zharif.

Menurutnya, memecahkan elemen monopoli juga boleh memberi manfaat ekonomi yang lebih luas melangkaui harga yang lebih rendah untuk pengguna.

"Persaingan boleh merangsang inovasi, meningkatkan produktiviti dan mencipta pekerjaan yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

"Walau bagaimanapun, memecahkan elemen monopoli ini sesuatu yang mencabar kerana pemain industri yang sedia ada mungkin menentang perubahan dan menggunakan pengaruh mereka untuk mengekalkan kuasa pasaran,” katanya.

Tidak semua monopoli itu buruk

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, sekiranya monopoli itu bertujuan ke arah kebaikan seperti keselamatan dan memastikan perniagaan itu kekal untuk berkepentingan negara, maka ia harus dibenarkan, malah disokong.

"Pada pandangan saya, rakyat berhak mendapat harga perkhidmatan yang lebih adil tetapi tidak dinafikan, monopoli juga suatu keperluan yang perlu dilakukan dalam kes-kes tertentu.

"Tidak semuanya buruk tentang monopoli. Syarikat yang mendapat konsesi itu boleh merancang dan membina satu projek berskala besar serta membangunkan rantaian bekalan yang menyokong ekonomi tempatan,” katanya.

Ahmad Yazid Othman
Ahmad Yazid Othman

Namun jika ia tidak dikawal, ia akan mengakibatkan satu situasi yang tidak adil kepada pasaran dan akan menyukarkan pengguna.

"Monopoli memerlukan tujuan yang strategik dan jika ia tidak dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu barah dan mendatangkan kerugian buat rakyat dan negara.

Tetapi dalam masa yang sama, ia memberi rantaian bekalan buat bumiputera dengan membangunkan lebih ramai vendor dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk mereka.

"Salah satu strategi pasaran utama ialah perolehan dan konsesi kerajaan. Kita tidak mahu lagi mewujudkan dan menambah kekayaan golongan-golongan ‘taiko’ di negara ini,” kata Ahmad Yazid.

Menurutnya, kerajaan harus memperhalusi semula semua kontrak-kontrak dan syarikat yang berbentuk manipulasi bukan sahaja di dalam projek kerajaan malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Bagi saya, kerajaan perlu meneliti semula syarikat-syarikat yang melakukan aktiviti monopoli ini sama ada mereka layak mendapat ‘hak’ monopoli itu kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab atau sebaliknya.

"Monopoli wajib mempunyai tujuan yang jelas dan mengutamakan selain daripada keuntungan syarikat. Saya bimbang jika kita terlalu terbuka menerima konsep monopoli, ia akan membuka ruang dan peluang yang tidak mengutamakan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca