SETELAH selesai melakukan pemilihan parti pada Sabtu lalu, UMNO perlu membentangkan satu pelan hala tuju parti itu kepada umum. Dengan persiapan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) menghampiri horizon parti, UMNO masih berdepan... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH selesai melakukan pemilihan parti pada Sabtu lalu, UMNO perlu membentangkan satu pelan hala tuju parti itu kepada umum.

Dengan persiapan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) menghampiri horizon parti, UMNO masih berdepan kesukaran untuk mengembalikan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan akar umbi, malah pengundi Melayu secara khusus.

Beberapa perspektif berikut dilihat bacaan awal hasil keputusan pemilihan UMNO. Permulaan, UMNO jelas bukanlah parti yang kalis perubahan.

Kemenangan dua daripada tiga naib presiden yang dianggap outsiders membuktikan hal itu. Malah, penyertaan muka baharu dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan beberapa keputusan mengejutkan di peringkat Bahagian membuktikan UMNO boleh berubah.

Untuk rekod, 54 daripada Ketua Bahagian UMNO yang menang daripada 187 Bahagian terdiri daripada muka baharu.

Cuma, pelantikan beberapa tokoh yang rapat dengan presiden masih menimbulkan persepsi bahawa pemilihan mereka dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menggembirakan loyalist bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak.

Lantikan tersebut seolah-olah membenarkan kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa pemilihan UMNO adalah ‘Pentas Zahid-Najib’ menggambarkan dominannya pengaruh kedua-dua tokoh tersebut dalam parti.

Konsolidasi kuasa dan pengukuhan pengaruh presiden dalam UMNO memungkinkan kepimpinan parti bekerjasama dengan baik, namun ia masih berupaya berubah sebaliknya kalau UMNO tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam enam PRN akan datang.

Cabaran kepada semua yang telah terpilih adalah untuk segera melakar dan melaksanakan pelan tindakan yang jelas buat parti selepas mencatatkan prestasi suram sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Prestasi roller coaster UMNO sepanjang beberapa PRU dan PRN perlu dijadikan iktibar kepada parti. Pertama, UMNO berhadapan pengundi yang liar dan tidak terikat dengan sentimen tertentu.

Kedua, kemunculan parti saingan yang berjaya membawa naratif Melayu-Islam meyakinkan dengan mengesampingkan sokongan tradisi kepada UMNO.

Justeru, di peringkat awal, beberapa perkara ini perlu dilakukan oleh seluruh kepimpinan.

Pertama, jangan wujud kem yang pelbagai dalam parti selepas pembersihan dan pemilihan. Ini bagi mengelakkan pertelingkahan dan perang dalaman parti yang berpanjangan.

Kedua dan yang paling penting, segera melakar dan melaksanakan pelan tindakan jelas tentang hala tuju parti yang menggambarkan tekad kepimpinan baharu UMNO bukan sahaja kepada akar umbi, malah orang Melayu.

Dua perkara tersebut perlu dilakukan dengan menyasarkan ahli parti di akar umbi serta kelompok Melayu yang signifikan sebagai pengkalan sokongan UMNO.

Persoalannya mungkin, apakah yang perlu dibentangkan dalam lakaran pelan tersebut?

Pertama, UMNO perlu menerangkan pendirian politik mereka terutama selepas bergabung membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH). Ini kerana, sebelumnya UMNO bertegas dengan pendirian bahawa ‘No Anwar, No DAP’ dan ‘No Bersatu’ ketika PRU15.

Ketika ini, di sebalik kefahaman bahawa UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan, pendirian politik parti tersebut masih tidak dapat dipastikan.

Namun begitu, kerjasama antara kedua-dua parti semakin berkembang di sebalik tiada kata putus akan dibentuk dan mekanismenya.

Kedua, apakah kerangka penawaran politik Melayu-Islam UMNO yang mampu memikat kembali undi kelompok ini di kawasan luar bandar, di samping kembali diterima di kawasan bandar serta bercampur.

Saingan politik Melayu-Islam yang sengit daripada Perikatan Nasional (PN) jelas menunjukkan bahawa sokongan kelompok pengundi Melayu luar bandar masih mengekalkan status quo bahawa mereka tetap tidak memilih PH, namun mengalihkan undi kepada PN sebagai alternatif kepada UMNO dalam konteks politik Melayu-Islam.

Dan yang ketiga, apakah cadangan dan idea parti untuk mengurus kompleksiti kecenderungan pengundi yang memberikan kesan kepada prestasi setiap parti atau gabungan politik ketika mereka terpaksa mengubah dinamika UMNO yang terbiasa menjadi paling dominan dalam sebuah gabungan besar dalam BN.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca