SHAH ALAM - Penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dilihat mampu mengelakkan berlakunya unsur salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek serta perolehan kerajaan pada masa depan. Penganalisis politik dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dilihat mampu mengelakkan berlakunya unsur salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek serta perolehan kerajaan pada masa depan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, jawatankuasa khas itu juga akan berfungsi sebagai badan semak dan imbang tadbir urus kementerian serta kerajaan.

Mazlan bagaimanapun berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan haruslah tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, selain ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, keanggotaannya juga wajib dipilih dalam kalangan profesional serta penjawat awam dan menggunakan perbelanjaan wang rakyat yang amat minimum.

"Dari sudut iltizam dan kesungguhan kerajaan menubuhkan jawatankuasa berkenaan adalah amat baik kerana ada sesetengah kementerian ketika ini mempunyai kuasa mutlak untuk merangka, melaksanakan polisi, program serta sistem penyampaian mengikut piawaian dan acuan mereka sendiri.

"Namun apabila satu jawatankuasa pilihan khas yang mempunyai kuasa untuk buat penilaian, meminda dan beri nasihat kepada kementerian, maka ia akan meningkatkan lagi tahap ketelusan sesuatu proses perolehan, pelaksanaan projek kerajaan, sekali gus mengurangkan risiko pembaziran dana awam,” katanya.

Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan usul penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Parlimen ke-15 yang baharu.Usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ia melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi; Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan; Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat; Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, partinya menyambut baik langkah penubuhan itu yang akan berfungsi sebagai badan semak dan imbang dalam tadbir urus kerajaan dan kementerian.

Razali bagaimanapun berkata, semua jawatankuasa berkenaan perlu dianggotai oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang agar fungsinya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Nisbah keahlian jawatankuasa berkenaan juga perlu seimbang antara ahli Parlimen blok pembangkang dan kerajaan bagi memastikan tugas semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kerajaan juga perlu beri peruntukan kewangan kepada ahli Parlimen pembangkang supaya kami dapat wujudkan pejabat sendiri yang dianggotai penyelidik dan pemikir,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca