"KEMENANGAN ini untuk semua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang kelihatan seperti saya,” kata Tan Sri Michelle Yeoh sebaik memenangi Anugerah Oscar untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Kenyataan itu menyentuh tentang kuasa perwakilan dalam memberi inspirasi kepada orang lain ke arah melakukan pencapaian dan golongan minoriti dan terutamanya keturunan Asia Tenggara di seluruh dunia sangat berbangga pada masa itu.
Sudah tentu Michelle sebenarnya seorang pelakon yang cemerlang - bagi saya peranannya sebagai Kapten Philippa Georgiou (dari Langkawi) dalam Star Trek: Discovery adalah cemerlang - tetapi elemen perwakilan itu mungkin menjadi faktor apabila kira-kira 10,000 ahli Academy of Motion Picture Arts and Sciences memberikan undi mereka.
Merit individu, berbanding apa yang mereka mungkin wakili adalah ketegangan biasa dalam pilihan raya Malaysia juga. Dalam pilihan raya umum, pengundi menimbang antara logo parti dan sifat individu calon (bangsa dan agama mereka mungkin lebih penting bagi sesetengah pengundi daripada kelayakan pendidikan atau pengalaman kerja mereka).
Sudah tentu anugerah yang paling diidamkan di dunia untuk lakonan memberikan kuasa dan pengaruh yang berbeza berbanding menjadi ahli Parlimen. Walaupun begitu, anugerah itu telah mencetuskan pelbagai reaksi ulasan di Malaysia.
Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah menyampaikan ucapan tahniah, namun media sosial menunjukkan pelbagai pendapat.
Ada pihak yang menuduhnya telah membuang Malaysia dan tidak menyumbang kepada negaranya dan ada pula yang menyalahkan Malaysia kerana mengabaikannya, tidak bersungguh-sungguh untuk membina bakat yang menjadikannya bintang seperti hari ini.
Hal ini adalah fenomena yang agak biasa. Rakyat Malaysia yang berhijrah dan seterusnya berjaya di luar negara diraikan (dan sememangnya begitu) - sama ada Senator Penny Wong dari Kota Kinabalu yang kini menjadi Menteri Luar Australia, Hakim Eason Rajah dari Ipoh yang kini menjadi Hakim Mahkamah Tinggi UK dan bilangan cef selebriti dan personaliti sukan yang semakin ramai- tetapi sebab mengapa mereka berhijrah ke luar negara diketepikan.
Terdapat satu lagi tuduhan hipokrit di mana kerajaan mengucapkan tahniah kepadanya pada masa isu penapisan seni adalah perkara yang hangat diperkatakan seperti yang dilihat dalam kemarahan media sosial mengenai treler dan filem tertentu, kenyataan menteri yang menyebabkan kekecewaan besar dalam kalangan komuniti seni dan sentimen bahawa Malaysia adalah yang lokasi terakhir yang dipertimbangkan untuk aktiviti jelajah oleh artis utama dunia kerana pelbagai sekatan yang wujud (walaupun Blinks di Malaysia tetap gembira kerana Black Pink hadir di sini).
Pastinya, kandungan filem Michelle yang memenangi Anugerah Oscar mengandungi adegan dan elemen yang akan ditapis di pawagam Malaysia.
Rumit
Sesungguhnya, hubungan antara kerajaan dan seni sentiasa rumit. Seni berkembang apabila ada kebebasan, namun seni juga boleh menjadi alat penting untuk memupuk perpaduan negara dan alat untuk mengajar sejarah kita dengan lebih baik (hal ini sendiri menjadi isu yang dipertikaikan apabila Kementerian Pendidikan menentukan kurikulum).
Bagaimanapun, penggabungan Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan menjadi satu kementerian terus mencairkan peranan penting ini kepada hanya menjana pendapatan daripada pelancong.
Akhirnya, inisiatif untuk cemerlang dan memberi inspirasi itu harus datang daripada komuniti seni itu sendiri dan saya gembira untuk mengambil bahagian dalam dua aktiviti baru-baru ini.
Pertama ialah persembahan Jaya Ram yang terkenal - produksi Odissi baharu oleh Guru Gajendra Kumar Panda dengan kerjasama Datuk Ramli Ibrahim dari Yayasan Sutra - di Seremban.
Dalam ucapan saya, saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri kerana menganjurkan acara tarian yang jarang berlaku sebegini dan mengingatkan hadirin bahawa tokoh Ramayana telah hadir dalam sastera Melayu dan wayang melalui adaptasi Seri Rama sejak berkurun lamanya.
Oleh itu, amat bersesuaian apabila produksi meraikan hubungan dua hala antara Malaysia dan India, di mana Jaya Ram dipersembahkan pada tiga festival utama.
Jelajah sebegini juga menyediakan peluang yang menarik untuk penghibur muda kerana turut memasukkan penari dari organisasi tarian tempatan.
Hujung minggu berikutnya, di tengah-tengah persekitaran indah Janda Baik- khususnya di lembah terpencil yang dihiasi oleh anak sungai sambil diperhatikan oleh sekumpulan monyet - Hands Percussion mengadakan permukiman pertamanya terbuka kepada orang ramai.
Selama dua hari terdapat bulatan gendang, tarian dan latihan bercerita serta wayang kulit sebelum acara akhir menyertai orkestra gamelan.
Sepanjang naungan saya kepada Hands Percussion selama sedekad, saya telah melihat bagaimana ia telah berkembang untuk memasukkan lebih banyak tradisi budaya dalam persembahan dan latihan mereka.
Dalam hal itu dan juga melalui pelbagai organisasi muzik klasik yang saya naungi, saya berbangga kerana kanak-kanak lelaki dan perempuan secara kolektif mewakili kepelbagaian kita sedang membesar dengan menghargai seni secara organik tanpa mengira dasar kerajaan.
* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Penaung kepada Hands Percussion dan Euroasia Association of Performing Arts
Klik di sini untuk terus membaca