KERAJAAN telah mengorak satu langkah besar dalam sistem perundangan negara apabila menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori. Hukuman baharu yang dicadangkan ialah penjara bagi tempoh 30... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN telah mengorak satu langkah besar dalam sistem perundangan negara apabila menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori.

Hukuman baharu yang dicadangkan ialah penjara bagi tempoh 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Ini bererti hukuman mati dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian, melainkan tiga kesalahan iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, Jemaah Menteri turut bersetuju dengan satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi membolehkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dikenakan disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan.

Cadangan RUU berkenaan dijangka memberi kesan kepada 957 banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat yang telah menghabiskan proses rayuan di mahkamah sebelum ini.

Bagi memahami dengan lebih jelas mengenai keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu, ia bermula daripada perjuangan Amnesty International yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa.

Pertubuhan tersebut dianggotai seramai tujuh juta ahli yang berkempen untuk memastikan hak asasi manusia dapat dinikmati semua orang seperti yang terkandung dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan lain-lain standard hak asasi manusia.

Menerusi satu laporan Amnesty International pada tahun 2019 yang bertajuk Kesilapan Membawa Maut: Mengapa Malaysia Mesti Hapuskan Hukuman Mati, didapati sehingga Februari 2019, seramai 1,281 orang telah dihukum mati di Malaysia termasuk 568 orang atau 44 peratus warga asing.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 73 peratus telah dihukum kerana pengedaran dadah dan angka tersebut meningkat sehingga 95 peratus terdiri daripada kalangan wanita.

Sebahagian besar daripada pesalah tersebut pula adalah dari golongan taraf sosioekonomi yang rendah.

Amnesty International mendapati dalam kes yang dikaji, kebanyakan lelaki dan wanita yang disabitkan atas kesalahan membawa kuantiti dadah yang kecil, berperanan sebagai keldai dadah dan tidak melibatkan sebarang keganasan, sedangkan undang-undang antarabangsa melarang penguatkuasaan hukuman mati wajib, dan hanya membenarkan hukuman ini digunakan untuk kesalahan yang menepati tahap jenayah paling serius seperti membunuh dengan niat.

Antara isu-isu penting yang ditimbulkan ialah mengenai proses untuk mendapatkan keadilan terhadap pesalah-pesalah terbabit. Ini disebabkan mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk mendapatkan khidmat guaman terbaik berbanding mereka yang mempunyai kemampuan kewangan.

Sekiranya dapat khidmat peguam yang lebih baik, peluang bagi sesetengah pesalah untuk tidak dikenakan hukuman maksimum atau gantung sampai mati lebih cerah.

Namun berbeza dengan pesalah lain, apabila peguam yang mewakili mereka bukan sahaja tidak ada pengalaman atau kecekapan bagi mengendalikan kes tersebut menyebabkan anak guam mereka menerima hukuman maksimum.

Dalam satu lagi contoh ialah kes-kes melibatkan keldai dadah.

Seseorang yang terlibat dalam kes ini ada yang tidak tahu bahawa mereka sudah menjadi mangsa sindiket dadah dan akhirnya didapati bersalah dan dihukum mati.

Ini adalah satu perkara yang amat tidak adil kepada seseorang itu untuk mendapat hukuman yang amat berat dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Turut ditimbulkan ialah proses untuk mendapat pengampunan juga bukan sesuatu hal yang mudah untuk diberikan kepada mana-mana individu.

Justeru, menerusi langkah tepat yang diambil kerajaan dengan menggantikan hukuman lebih ringan ini, secara tidak langsung dapat mengimbangi isu ketidakadilan yang ditimbulkan dan akhirnya memartabatkan hak asasi manusia.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca