INDUSTRI pembinaan merupakan tulang belakang pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Ia mempengaruhi setiap sektor ekonomi sama ada di peringkat makro mahupun mikro. Industri ini terlibat secara langsung sekiranya terdapat turun naik harga... Klik di sini untuk terus membaca

INDUSTRI pembinaan merupakan tulang belakang pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Ia mempengaruhi setiap sektor ekonomi sama ada di peringkat makro mahupun mikro.

Industri ini terlibat secara langsung sekiranya terdapat turun naik harga mana-mana bahan binaan yang dieksport atau diimport. Turun naik harga boleh berlaku di mana-mana pasaran sama ada antarabangsa atau tempatan.

Penawaran dan permintaan antara faktor yang mendorong tinggi rendahnya harga bahan dan perkhidmatan. Pada zahirnya, ia akan memberi kesan kritikal kepada penggiat industri pembinaan, terutamanya kontraktor.

Menurut data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), hampir 50 peratus kontraktor berdaftar kekal tidak aktif dalam perniagaan selepas pandemik kerana muflis atau penamatan kontrak akibat daripada kesan fluktuasi harga.

Kontraktor yang telah memasuki tender pada suatu harga menghadapi risiko perlu membayar lebih untuk bahan binaan dan buruh kerana kenaikan harga mendadak.

Turun naik barang juga disebabkan oleh ketidakseimbangan bekalan dan permintaan, perubahan kadar mata wang dan kenaikan kos pengangkutan.

Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang ketara sejak tiga dekad berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Negara.

Dapatan kajian melaporkan antara peristiwa yang memberi impak kepada kenaikan harga bahan binaan sama ada dalam atau luar Negara adalah seperti berikut:

• Tahun 1994 hingga 1998: Pembangunan Malaysia pesat dengan pelbagai projek mega termasuk Litar F1 Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas KLCC. Ini telah menyebabkan permintaan tinggi terutama untuk simen dan besi tetulang menyebabkan harga meningkat naik.

• Antara tahun 2003 hingga 2005: Pencerobohan Iraq memberi kesan kepada kos produk pembinaan berasaskan petroleum seperti cat dan bitumen.

• Tahun 2018: Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China mengganggu rantaian bekalan secara global. China adalah pengeluar keluli terbesar menyebabkan harganya naik mendadak kerana kekurangan bekalan.

• Tahun 2020: Penyebaran pandemik Covid-19 dan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine memberikan peningkatan sebanyak 30 peratus dalam harga konkrit dan keluli, bar tetulang, aluminium, tembaga dan produk pembinaan berasaskan petroleum.

Menurut kajian, ketidakstabilan harga bahan binaan memberi impak negatif kepada produktiviti kontraktor dan secara tidak langsung menjejaskan masa, kos dan kualiti projek. Antara kesan negatif ialah:

• Kelewatan Siap Projek: Keupayaan dan aliran kewangan kontraktor akan terganggu. Ia menyukarkan kontraktor untuk mengekalkan momentum dan kemajuan kerja di tapak bina. Mereka terpaksa menangguhkan pesanan bahan binaan, pengangkutan dan jentera, sekali gus tidak dapat menyiapkan projek tepat pada masanya.

• Kos Projek Meningkat dan Kualiti Menurun: Inflasi harga yang tinggi menyebabkan sukar untuk membuat anggaran tepat. Perkara ini boleh membantutkan prestasi kontraktor. Mereka terpaksa menyerap kenaikan harga, menyebabkan ada yang menyiapkan projek mengikut harga telah dipersetujui dan mengurangkan mutu kualiti kerja.

Secara konklusi, penggiat industri perlu mengambil perhatian terhadap perbelanjaan dan aliran kewangan bagi setiap projek yang dipertanggungjawabkan. Pengurangan kos operasi dilihat seperti solusi jangka pendek tetapi ia seperti tidak mampan.

Kerajaan juga giat menganjurkan penggiat industri untuk mengadaptasi kaedah pembinaan dan teknologi baharu seperti IBS dan BIM untuk meningkatkan kualiti dan kos pada jangkamasa panjang.

Ini diharapkan dapat memberi penambahbaikan besar dalam strategi operasi, peningkatan kualiti dan memberi lebih nilai tambah kepada perkhidmatan.

Selain itu, kaedah anggaran atau pengiraan pampasan bagi turun naik harga hendaklah jelas dan konsisten merentas semua kontraktor, perunding, badan kawal selia dan pelanggan.

Klien juga harus sentiasa komited untuk membuat pembayaran tepat pada masanya. Kontraktor menderita akibat turun naik harga dan kadar faedah yang tinggi jika pembayaran ditangguhkan.

* Dr Mohd Ashraf Mohd Fateh ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembinaan Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) UiTM Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca