SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menubuhkan hanya 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen daripada jumlah asal 11 jawatankuasa, mungkin menyebabkan sekurang-kurangnya 67 ahli Parlimen terutama dari blok pembangkang tidak berpeluang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menubuhkan hanya 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen daripada jumlah asal 11 jawatankuasa, mungkin menyebabkan sekurang-kurangnya 67 ahli Parlimen terutama dari blok pembangkang tidak berpeluang menyertainya.

Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, jika kerajaan hanya menubuhkan 10 JKPK, ini bermakna hanya 90 ahli Parlimen persendirian boleh menyertainya, manakala 14 ahli Dewan Rakyat lain bakal dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Chin Huat berkata, keadaan itu menyebabkan hanya 104 daripada 171 ahli Parlimen persendirian termasuk 74 ahli Parlimen dari blok pembangkang dan 97 ahli Parlimen blok kerajaan akan memainkan peranan mereka secara efektif di peringkat pusat.

"Ini bermakna seramai 67 ahli Parlimen (dua pertiga daripadanya mungkin daripada blok pembangkang) tidak dapat memainkan sebarang peranan di peringkat nasional dalam penggubalan undang-undang dan penggubalan dasar dalam tempoh lapan bulan setiap tahun.

"Keadaan itu menyebabkan ramai ahli Dewan Rakyat secara terpaksa makan 'gaji buta' selama lapan bulan susulan tidak dapat memainkan peranan rasmi sebagai ahli Parlimen.

"Kerajaan membayar setiap ahli Parlimen berkenaan RM 16,000 sebulan (tidak termasuk semua elaun lain), maka kita membazirkan peruntukan 67 ahli Parlimen dalam tempoh lapan bulan sebanyak RM8,576,000 setahun dengan menafikan peluang mereka berfungsi sepenuhnya dalam penggubalan undang-undang dan dasar.

"Ini kerugian besar yang berganda jika pertimbangan untuk tidak melantik lebih banyak JPKP adalah untuk menjimatkan kos," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Untuk rekod, Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli Parlimen termasuk 49 memegang jawatan menteri dan timbalan menteri serta dua orang timbalan speaker yang mempunyai tugasan sepanjang tahun.

Manakala, selebihnya 71 ahli Dewan Rakyat termasuklah 90 Ahli Parlimen yang akan menyertai 10 JKPK dan 14 wakil rakyat lain menyertai PAC yang dapat membuat sumbangan sepanjang tahun.

Kerajaan terdahulu hakikatnya telah menubuhkan 11 JKPK meliputi Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Dan Ekonomi; Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian Dan Perdagangan Dalam Negeri.

Selain itu terdapat juga Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur; Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan; Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial; Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains Dan Inovasi; Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa dan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Bagaimanapun pada Selasa lalu, Azalina mengumumkan Dewan Rakyat meluluskan hanya 10 JKPK Dewan Rakyat Parlimen ke-15 yang antara lain bertujuan memainkan sebagai badan semak dan imbang tadbir urus kementerian.

Antara JKPK berkenaan termasuklah Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi; Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan; Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat; Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Berikutan itu, Chin Huat mengharap kerajaan bakal mempertimbangkan penambahan JKPK bagi mengelakkan beban tanggungjawab satu jawatankuasa itu untuk menjaga sehingga tiga hingga empat portfolio kementerian dalam suatu masa.

"Justeru saya berharap lebih banyak JKPK ditubuhkan, bukan sekadar 10 jawatankuasa yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, di Parlimen pada Selasa lalu," tegasnya.

Mengulas lanjut, Chin Huat berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menunjukkan bahawa beliau percaya kepada demokrasi berparlimen dengan memberikan lebih banyak sumber kepada Parlimen untuk mempunyai seberapa banyak JKPK yang diperlukan.

"Parlimen yang bertenaga dan benar-benar berfungsi akan membantu kestabilan politik apabila ahli Parlimen pembangkang terpaksa meningkatkan kepakaran portfolio mereka untuk membantu kerajaan mewujudkan dasar lebih baik dan tidak sekadar melontarkan idea populis," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca