WALAUPUN pilihan raya umum (PRU) telah beberapa bulan berlalu, pelbagai pihak dilihat masih tidak henti-henti bercakap mengenai politik, sama ada sebelah kerajaan atau pembangkang. Ia dihangatkan lagi apabila tempoh enam Dewan Undangan... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN pilihan raya umum (PRU) telah beberapa bulan berlalu, pelbagai pihak dilihat masih tidak henti-henti bercakap mengenai politik, sama ada sebelah kerajaan atau pembangkang.

Ia dihangatkan lagi apabila tempoh enam Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir tamat yang akan membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sistem politik di Malaysia kian berantakan dari sehari ke sehari. Sama ada di blok kerajaan atau pembangkang, tumpuan kepada pembangunan negara masih lagi dikesampingkan.

Hal itu menzahirkan kegagalan sistem politik di Malaysia yang mengikut acuan dari British. Mungkin sistem tersebut sesuai di British tetapi ia perlu disesuaikan di bumi Malaysia.

Lantaran terbukti apabila kita melihat rakyat Malaysia berpolitik ‘24/7/365’ (24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 365 hari setahun) tanpa henti. Tumpuan kerajaan dan rakyat kepada kesejahteraan rakyat sering dipinggirkan, apatah lagi menggarap strategi mampan bagi membangun ekonomi negara.

Dalam kalangan orang politik, kuasa sangat penting. Disebabkan itulah bagi yang berada di tampuk kuasa, mereka mahu mempertahankannya dan bagi mereka yang tidak memiliki kuasa, mahu merampasnya.

Namun, orang awam tidak melihat daripada lensa tersebut. Rakyat mahukan pembangunan. Yang menang, tadbirlah negara mengikut tata kelola terbaik, yang kalah pula berilah kritikan membina bagi memperbaiki tata kelola tersebut.

Pengundi telah memberi isyarat jelas semasa PRU15, namun isyarat itu masih belum difahami sebahagian besar ahli politik. Cuma terdapat segelintir sahaja yang telah menzahir keupayaan mereka dalam menangani isu-isu negara.

Rakyat dan ahli politik perlu anjakan paradigma. Mereka harus sedar memiliki kuasa bukanlah suatu tasyrifan (kemuliaan) tetapi semata-mata merupakan taklifan (kebertanggungjawaban) kepada negara. Jika hakikat itu diinsafi, negara akan terselamat daripada bahaya.

Sudah sampai masanya Malaysia menekan butang ‘reset’ bagi memformatkan semula negara. Peranan politikus mungkin perlu diminimumkan dengan memberi keutamaan kepada peranan agamawan, teknokrat dan masyarakat sivil.

Dengan cara itu, matlamat mengekalkan kuasa tidak lagi akan menjadi agenda utama dan rakyat didahulukan. Saya bimbang berdasarkan kepada polemik yang dihadapi, negara kita akan kecundang dalam persaingan dengan negara-negara lain. Belum lagi jika kita membicarakan isu seperti keselamatan, rasuah, keagamaan dan hak asasi.

Dari sudut undang-undang, ‘reset Malaysia’ boleh dilakukan dengan meneliti semula peruntukan-peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi tafsiran yang tepat mengenainya. Saya tidak berhasrat untuk mengulas satu persatu peruntukan perlembagaan yang berkenaan kerana pernah menulisnya sebelum ini.

Apa yang saya ingin zahirkan ialah Malaysia perlukan perubahan dalam pelaksanaan sistem pemerintahannya. Kita akur Yang di-Pertuan Agong ialah eksekutif sebenar bagi Persekutuan, Jemaah Menteri hanya menjalankan fungsi eksekutif Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Hakikat itu perlu ditegaskan dan diberikan makna sebenar.

Moga ada sinar perubahan di Malaysia. Kita perlu tahu membezakan cahaya daripada kegelapan. Terbukti sudah dua kali PRU tetapi kemelut politik dan kepimpinan masih meruncing. Sama-samalah kita mencari jalan keluar untuk bebas daripada kemelut tersebut.

Saya bukanlah menidakkan langsung sumbangan ahli politik dalam pembangunan negara tetapi senario semasa memperlihatkan kendati yang ditunggang oleh orang politik selalu tersasar daripada destinasi yang dituju.

Kita perlu menggarap formula baharu bagi memastikan pembangunan negara dapat dilakukan dengan lebih pesat. Golongan teknokrat, agamawan, profesional, pemimpin masyarakat dan organisasi sosial mesti juga seiring memainkan peranan penting bagi membangunkan negara.

Inilah negara kita, inilah tanah watan kita. Jika bukan kita yang memacu tenaga mengerah keringat bagi membangunkan negara, siapa lagi yang hendak kita harapkan?

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Klik di sini untuk terus membaca