SHAH ALAM - Langkah kerajaan untuk menamatkan monopoli dalam beberapa sektor sejak kebelakangan ini perlu dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak mengganggu aliran perniagaan yang sedia ada. Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah kerajaan untuk menamatkan monopoli dalam beberapa sektor sejak kebelakangan ini perlu dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak mengganggu aliran perniagaan yang sedia ada.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan juga perlu memastikan hanya pemain atau syarikat yang betul-betul layak dipilih menyertai industri tersebut bagi melindungi kepentingan pengguna.

"Inilah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu oleh kerajaan sekiranya ingin membuat perubahan dengan menamatkan semua monopoli yang wujud di dalam negara pada masa ini termasuk sektor makanan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau mengulas berhubung kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud dalam negara pada masa ini sebagai langkah untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos yang berpatutan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Jumaat dilaporkan berkata, kabinet membuat keputusan membenarkan semua pihak yang layak untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan selepas konsesi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berakhir pada 31 Ogos nanti.

Jelasnya, proses pelawaan pihak-pihak yang berminat dalam perkhidmatan itu dijangka bermula selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2024.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan monopoli Touch 'n Go (TNG) mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Mohd Afzanizam menjelaskan, struktur pasaran bersifat persaingan adalah kaedah terbaik untuk dilaksanakan kerana terdapat ramai pemain industri menawarkan barangan dan perkhidmatan nanti.

Katanya, dengan adanya persaingan yang sihat secara tidak langsung membawa kepada inovasi dan akhirnya menterjemah harga yang lebih kompetitif serta perkhidmatan yang mementingkan kepuasan kepada pelanggan.

"Peniaga yang bermonopoli sifatnya akan mempunyai kurang insentif untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan mutu barangan serta perkhidmatan.

"Ia kerana mereka yakin barangan dan perkhidmatan mereka akan sentiasa mempunyai permintaan disebabkan pelanggan tiada pilihan lain untuk membeli daripada pihak yang lain,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca