SHAH ALAM - Sebanyak 889 kes membabitkan isu kezaliman dan pengabaian haiwan dikesan berdasarkan aduan yang diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari tahun 2021 hingga kini.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, sebahagian kes berkenaan dapat diselesaikan susulan saksi dan bukti yang mencukupi.
Sehubungan itu, tegasnya, hukuman lebih keras harus dikenakan kepada pesalah bagi menangani isu kezaliman dan pengabaian haiwan yang semakin menjadi-jadi antaranya menambah tempoh hukuman penjara bagi Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) kepada lima tahun dan minimum tiga sebatan.
"Sekarang bukan masanya menekankan isu kesedaran, sebaliknya peruntukan undang-undang perlu ditambah baik dan lebih tegas.
"Hukuman itu setimpal kerana tindakan mereka bukan hanya melakukan pengabaian tetapi tahap mencederakan dan membunuh,” katanya kepada Sinar Ahad.
Tambah Arie, kerajaan termasuk pihak berkuasa juga perlu memperbaiki Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang didakwa mempunyai kelompangan.
Beliau mendakwa, akta berkenaan banyak memihak kepada penguat kuasa hingga ada yang menyalahgunakannya.
"Terdapat kelompangan di beberapa seksyen dalam akta tersebut yang memberi kuasa kuat (penuh) kepada penguat kuasa untuk melarang, mencegah dan mendakwa masyarakat yang berbakti serta berbuat baik kepada haiwan jalanan ini.
"Kelompangan ini mesti diubah suai dan dipinda selari dan sejajar dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
"Jika tidak, akan berlaku perseteruan dan perbalahan yang tiada penghujung antara pencinta haiwan dan penguat kuasa,” ujarnya.
Jelasnya, disebabkan kelemahan tersebut, permasalahan melibatkan kebajikan haiwan tidak dapat diselesaikan.
"Selagi akta berkenaan tidak diperbaiki, usaha untuk membela kebajikan haiwan menjadi sukar,” kata beliau.
Info kes-kes kezaliman terhadap kucing:
November 2019 - Tular video dua lelaki memasukkan seekor kucing bunting di dalam pengering pakaian di sebuah dobi layan diri.
Mei 2020 - Rakaman video memaparkan tindakan kejam sekumpulan wanita mendera dan memijak seekor anak kucing sehingga mati.
Februari 2021 - Seekor kucing ditemukan mati dalam keadaan tragis dengan keempat-empat kakinya 'hilang' dipercayai dikerat individu tidak bertanggungjawab.
Jun 2022 - Tular video rakaman kamera litar tertutup perbuatan kejam seorang lelaki menendang dan membaling batu terhadap dua ekor kucing di kaki lima sebuah kedai di Semeling, Sungai Petani, Kedah.
Mac 2023 - Seorang lelaki tergamak menjadikan anak kucing menerusi pengambilan (adoption) sebagai hidangan ular sawa peliharaannya.
Klik di sini untuk terus membaca