APABILA saya memberitahu kursus Train the Trainer yang saya ikuti awal tahun lalu bahawa saya berminat untuk mengadakan program latihan mengenai penulisan biografi, penceramahnya, Major (B) Dr Prebagaran Jayaraman terus bertanya peserta, apakah sebidang tanah paling berharga di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar utama di seluruh negara?
Tanpa berfikir panjang, ada menjawab tanah menempatkan Kuala Lumpur City Centre atau KLCC. Ada mengatakan tanah yang di atasnya terletak Tun Razak Exchange, KL Sentral, Putrajaya dan nama-nama bangunan gah lain di kawasan segi tiga emas di ibu negara.
Tetapi itu bukanlah jawapan dimahukan oleh beliau yang hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya setiap kali peserta menamakan bangunan itu dan ini.
Apabila tidak ada peserta memberi jawapan yang beliau mahukan, beliau memberitahu bahawa tanah paling berharga adalah tanah perkuburan.
Mengapa? Katanya, tanah perkuburan tinggi nilainya kerana di dalamnya tertanam pengalaman orang yang meninggal dunia. Katanya lagi: "Bayangkan jika pelbagai pengalaman hidup yang telah dilalui mereka tidak dirakam dalam bentuk buku – sama ada ditulisnya sendiri atau dihasilkan oleh orang lain, maka pengalaman bernilai tinggi itu lenyap begitu sahaja tanpa dapat dirujuk, dikongsi dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang.”
Keadaan itu berlaku kerana tradisi menulis biografi, autobiografi dan memoir belum lagi menjadi amalan meluas dalam kalangan kita. Dengan itu, apa juga pengalaman pernah mereka lalui, manis dan pahit, gembira dan sedih penting dan tidak penting akan hilang begitu sahaja.
Hal itu kerana apa yang telah kita lalui, rasai dan tempuhi khususnya dalam pekerjaan kita sebagai seorang profesional, kini diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai kelayakan masuk ke pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta, bukan sahaja untuk ijazah pertama dan sarjana, malah sampai ke peringkat ijazah doktor falsafah atau PhD.
Dengan kata lain, untuk mendapatkan ijazah pasca-siswazah, sarjana dan kedoktoran, penuntut tidak lagi diwajibkan mempunyai diploma atau ijazah sarjana muda atau kelulusan-kelulusan akademik lain yang setaraf dengannya. Pengalaman kerja berkualiti dengan bidang pengajian yang ingin pelajari sudah memadai.
Laluan lain untuk membuat ijazah tinggi tanpa memiliki kelulusan akademik yang diperlukan itu diperkenalkan oleh KPT pada 2011 dengan nama APEL iaitu akronim untuk Accreditation of Prior Experiential Learning. Pada awalnya diperkenalkan APEL Access atau APEL A dan APEL Credit atau APEL C.
APEL A membolehkan mereka yang mempunyai pengalaman kerja tertentu dalam industri mengikuti program peringkat sijil, diploma dan ijazah pertama.
APEL C pula membolehkan pe-ngalaman kerja dijadikan sebagai pindahan kredit untuk penuntut mengikuti program sehingga peringkat sarjana, dengan itu memendekkan durasi kursus berbanding penuntut biasa.
APEL A dan APEL C telah digunakan secara meluas, dengan 26,000 pelajar telah memperoleh ijazah masing-masing sejak ia diperkenalkan.
Dan terbaharu pada 2022 – diperkenalkan pula APEL Q yang membolehkan calon penuntut menggunakan pengalaman kerja sepenuhnya sebagai kelayakan untuk belajar sampai ke tahap PhD.
Tetapi laluan APEL Q tidaklah semudah disangka. Misalnya, untuk ijazah sarjana, penuntut mestilah mempunyai pengalaman kerja berkualiti sekurang-kurangnya 20 tahun, manakala bagi PhD pula, pengalaman kerja minimum 30 tahun menjadi sandaran. Calon juga perlu menjalani saringan ketat sebelum diberi kelayakan APEL Q.
Ketika ini, hanya enam pusat pengajian iaitu dua awam dan empat swasta diberi kebenaran melaksanakan APEL Q. Ijazah kedoktoran paling tinggi pula hanya untuk program DBA atau Doktor Pentadbiran Perniagaan.
Selain boleh dianggap sebagai berlakunya pendemokrasian pendidikan, program APEL Q memang unik kerana ia membolehkan penuntut dewasa yang cemerlang dalam profesion diceburi untuk mendapatkan kelayakan akademik tambahan bagi memantapkan lagi etos masing-masing di tempat kerja.
Ia sekali gus membolehkan mereka menyumbang kepada peningkatan produktiviti yang menguntungkan industri dan negara dengan ilmu serta pengetahuan baharu yang mereka miliki.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca