SEMASA 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH), saya terlibat sedikit sebanyak dengan operasi menyelamat dan menyusun semula tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi-agensi... Klik di sini untuk terus membaca

SEMASA 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH), saya terlibat sedikit sebanyak dengan operasi menyelamat dan menyusun semula tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi-agensi amanah.

Apabila nasihat mengenai komunikasi dan perhubungan awam diperlukan, ada eksekutif badan-badan yang terlibat meminta pandangan saya sebagai orang lama dunia kewartawanan serta kapasiti sebagai Penasihat Khas Media dan komunikasi kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

Jadi, sedikit sebanyak saya tahu mengenai sesetengah GLIC, GLC dan agensi amanah seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji (TH) serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sebelum itu pun, sebagai wartawan ekonomi, saya banyak membuat penyelidikan dan laporan mengenai agensi-agensi tersebut.

Contohnya, saya menulis mempersoalkan pengambilalihan aset Felda bagi menubuhkan FGV Holdings Bhd pada 2012, pelantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi TH, penggunaan Boustead Holdings Bhd bagi menyelesaikan pergaduhan antara dua orang usahawan (seorang Melayu dan seorang India) yang diketahui akrab dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pembelian nombor plat khas berharga RM173,800 oleh PNB dan selepas itu projek mega menara Merdeka 118.

Oleh itu, saya tidaklah hairan apabila GLIC, GLC dan agensi-agensi amanah dilaporkan menghadapi pelbagai masalah serta terpaksa diselamatkan.

Itu bermakna Boustead Holdings akan menjadi milik penuh LTAT dan dikeluarkan daripada Bursa Malaysia. Alasan yang diberikan oleh LTAT adalah untuk memudahkan pelaksanaan rancangan pengubah haluan (turnaround) syarikat tersebut.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, prestasi Boustead Holdings tidak memberangsangkan dan anak-anak syarikatnya terlibat dengan pelbagai kontroversi termasuk kontrak membina kapal tempur pesisir (LCS).

Walaupun pendapatannya meningkat tetapi keuntungan merosot, hutang bertimbun dan harga saham merudum.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, pendapatannya naik daripada RM11.3 bilion kepada RM15.11 bilion tetapi keuntungan bersih jatuh daripada RM170.1 juta kepada RM62 juta.

Sebabnya, kerana ia mengalami masalah keberhutangan yang sangat teruk. Pada penghujung 2021, hutangnya dianggarkan berjumlah RM6.6 bilion atau 120 peratus lebih tinggi daripada modalnya.

Ia menyebabkan keyakinan terhadap sahamnya di Bursa Malaysia merosot. Dalam tempoh lima tahun mulai 30 Mac 2018, harga sahamnya jatuh daripada RM2.54 kepada 86 sen pada 24 Mac 2023. Dengan harga saham yang jatuh merudum itu, adalah sukar bagi Boustead Holdings menguruskan hutangnya.

Kalau itu belum cukup membebankan, bulan lalu anak syarikatnya, Pharmaniaga Berhad pula mengalami masalah kewangan sehingga diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 oleh Bursa Malaysia.

PN17 ialah singkatan kepada practice note yang ditujukan kepada syarikat sedang mengalami masalah kewangan dan gagal memenuhi syarat minimum dari segi modal seperti ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Justeru, adalah lebih utama bagi kerajaan mengawasi dan menambah baik perjalanan GLIC, GLC serta agensi-agensi amanah daripada mencari gaduh dengan usahawan sektor swasta.

Pada masa sama, ia perlu berhemah dan bersikap profesional supaya tidak berlaku campur tangan merugikan oleh ahli-ahli politik yang dilantik sebagai pengerusi serta ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat berkenaan.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca