PENEMUAN puluhan bangkai kucing dalam sebuah unit kondominium di ibu negara baru-baru ini, mencetuskan rasa kurang senang dan perspektif buruk terhadap si pelakunya.
Mana tidaknya, dek sikap segelintir individu itu membuatkan ramai pihak terutama para pencinta kucing tampil meluahkan rasa kurang senang dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu bentuk kezaliman.
Bagaimanapun, masih ramai yang benar-benar menyayangi haiwan tersebut dan sanggup menjaganya dengan sepenuh kasih sayang, Sinar Ahad menampilkan beberapa kisah menarik berkaitan kucing bersama dengan pemiliknya.
-SH: 'Sanggup bergolok-bergadai kerana kucing'
Di Hulu Langat, kucing ialah haiwan peliharaan yang ‘terlalu istimewa’ di hati pengasas Mahligai Arah Nasib Abadi Haiwan (Amanah), Mohd Hashim Mohd Duni di Batu 20 di sini.
Masakan tidak, Mohd Hashim, 63, sanggup bergolok-bergadai demi membiayai makanan dan keperluan ratusan kucing kesayangannya di pusat jagaan haiwan peliharaan itu bermula sejak tiga tahun lalu.
Ketika era pandemik Covid-19 melanda negara, bapa tiga anak itu juga tidak pernah berkira soal wang ringgit yang dihabiskan bagi membeli makanan berkhasiat dan keperluan kucing peliharaannya.
"Kalau dikira jumlah perbelanjaan menguruskan kucing-kucing di sini ia sudah mencecah sekitar RM300,000 dan jumlah perbelanjaan ini digunakan sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Mohd Hashim berkata, pihaknya juga bersedia menjaga kucing yang kematian tuan dan pihak Amanah boleh dihubungi menerusi laman rasmi Facebook yang menggunakan nama Hasman Don.
"Selain tuan kucing meninggal dunia, kami juga menerima sekiranya pemilik kucing dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan uzur tanpa mengenakan sebarang syarat.
"Kami juga tidak menetapkan bayaran atau waris perlu menyediakan makanan kucing pada setiap bulan,” katanya yang sebelum ini pernah menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mohd Hashim berkata, pihaknya enggan mendedahkan lokasi pusat perlindungan haiwan dikendalikan sejak tiga tahun itu kerana beberapa faktor dan pada awalnya, pusat jagaan itu bermula di Dengkil, sebelum berpindah ke Hulu Langat.
Selain Hulu Langat, Amanah juga mempunyai sebuah lagi pusat perlindungan haiwan yang terletak di USJ, Subang.
-SH: Kucing terapi anak autisme tantrum
Di Melaka, seorang ibu bapa sanggup berhabis ratusan ringgit setiap bulan bagi memelihara lima ekor kucing baka British Long Hair selain menjadikan kucing sebagai terapi anak mereka yang juga merupakan seorang remaja autisme, Muhammad Danial Haziq Abdul Latip, 18.
Pekerja swasta, Abdul Latip Yakub, 48, berkata, dia dan isterinya Nurul Athirah Qistina Ahmad, 45, mengambil keputusan memelihara kucing sejak tahun 2016 bagi mengurangkan tantrum anak sulungnya itu selepas mereka sekeluarga berpindah ke Kuching, Sarawak.
Menurutnya, Muhammad Danial Haziq atau mesra dipanggil Danial baharu berusia 11 tahun dan sering tantrum setiap kali tinggal dengan neneknya kerana sukar untuk menyesuaikan diri di tempat asing termasuk di Sekolah Pendidikan Khas yang baharu.
"Alhamdulillah kebetulan ada individu yang memberikan seekor kucing jantan secara percuma kepada Danial, kerana kalau nak beli kucing baka seperti itu agak mahal. Bila dia jaga kucing, beri makan dan sebagainya, keadaannya lebih baik dan tantrum dapat dikawal.
"Kami melihat banyak perkara positif berlaku ke atas diri Danial sejak dia pelihara kucing. Kemudian saya dan isteri belikan seekor kucing betina untuk dijadikan pasangan.
"Walaupun agak mahal harganya, namun demi anak, apa salahnya kami berkorban,” katanya yang menetap di Taman Merdeka di sini.
Kongsi Abdul Latip, setiap bulan mereka perlu membelanjakan hampir RM500 untuk haiwan peliharaan itu yang kini berjumlah lima ekor.
Katanya, Danial yang tidak mampu berkomunikasi mula menunjukkan sifat bertanggungjawab, penyayang dan akan memastikan haiwan peliharaannya itu sentiasa dalam keadaan baik.
"Danial juga kongsi minat sama dengan adiknya, Izz Arissa Safiyya (11 tahun) dan hubungan mereka dua beradik lebih akrab,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca