SHAH ALAM - Penggunaan logo Pas di Kelantan dan Terengganu, mampu meningkatkan gelombang hijau dan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk kekal berkuasa di dua negeri Pantai Timur berkenaan selepas pilihan raya negeri (PRN) nanti. Pengarah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penggunaan logo Pas di Kelantan dan Terengganu, mampu meningkatkan gelombang hijau dan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk kekal berkuasa di dua negeri Pantai Timur berkenaan selepas pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, cadangan Pas untuk mengekalkan penggunaan lambang bulan adalah tepat kerana penyokong dan pengundi PN di Kelantan dan Terengganu sudah sebati dengan logo Pas.

Hisommudin berkata, penggunaan logo PN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pula adalah untuk mengelakkan berlaku kekeliruan dalam kalangan penyokong dan pengundi setia gabungan parti terbabit di empat negeri berkenaan.

"Penggunaan logo Pas di Terengganu dan Kelantan juga dilihat mampu meningkatkan potensi dan memaksimumkan peluang PN menang lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dua negeri terbabit.

"Mereka tidak mahu mengambil risiko dengan mengubah penggunaan lambang bulan kepada PN kerana kajian Ilham Centre mendapati pola pengundian tidak akan banyak berubah dalam tempoh enam bulan sebelum PRN ini.

"Jadi, jika mereka mengubah logo mungkin sedikit sebanyak akan mengganggu rentak kemenangan PN di Kelantan dan Terengganu dalam PRN yang dijangka diadakan pada masa terdekat," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Biarpun ada isu pendakwaan terhadap beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, namun Hisommudin berkata, ia tidak memberikan impak besar kepada sokongan pengundi PN kerana tidak dimanfaatkan oleh pihak lawan.

"Biarpun isu berkenaan (pendakwaan terhadap pemimpin Bersatu) memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) namun ia gagal dimanfaat sepenuhnya oleh pembangkang di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sekali gus menyebabkan perkara itu lambat sampai ke pengundi di peringkat akar umbi di luar sana.

"Justeru, saya melihat isu pendakwaan terhadap pemimpin Bersatu termasuk Muhyiddin dan Wan Saiful berkenaan belum cukup berkesan untuk melemahkan dan mengurangkan sokongan pengundi kepada PN, pada PRN nanti," katanya.

Hisommuddin berkata, UMNO juga gagal memanfaatkan penyertaan BN dalam kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik semula sokongan pengundi terutamanya orang Melayu terhadap parti itu.

"Pucuk pimpinan UMNO juga dilihat gagal memberikan penjelasan munasabah kepada ahlinya terutama negeri mempunyai majoriti pengundi Melayu seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah mengenai punca sebenar mereka menyertai kerajaan campuran bersama PH terutama DAP.

"Bagi saya setakat ini tiada komunikasi berkesan dan penjelasan lanjut dibuat pucuk pimpinan UMNO mengenai dasar terbaru parti berkenaan selepas mereka kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu," ujarnya.

Malah katanya, kajian lapangan dilakukan Ilham Centre mendapati pengundi dan penyokong tegar UMNO sendiri masih lagi bersikap 'skeptikal' atau ragu-ragu dan tidak mendapat jawapan tuntas kenapa BN perlu menyertai kerajaan campuran bersama Anwar, PH dan DAP.

"Keadaan itu mungkin menyebabkan ramai penyokong BN dan UMNO akan mengundi calon lawan iaitu PN dan Pas atas faktor Melayu dan Islam yang dilihat boleh membela nasib dan kebajikan mereka berbandingan BN sebelum ini, selain besar kemungkinan ramai mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi pada PRN nanti," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, memberi bayangan bahawa PN mungkin mengekalkan logo Pas di Kelantan dan Terengganu pada kelak.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat pimpinan PN dan begitu juga dengan ketetapan menggunakan logo PN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Razali Idris ketika dihubungi berkata, Bersatu tiada masalah dengan cadangan Pas supaya PN mengekalkan penggunaan lambang bulan untuk bertanding di Terengganu dan Kelantan pada PRN nanti seperti diguna pakai semasa PRU15 lalu.

Razali berkata, beliau yakin menggunakan logo Pas bukan hanya menjimatkan perbelanjaan kempen, malah mampu meningkatkan peluang PN menang lebih banyak kerusi di Kelantan dan Terengganu, pada PRN nanti.

"Kita memang bersetuju dengan cadangan untuk menggunakan logo Pas di Kelantan dan Terengganu dalam PRN nanti seperti berlaku pada PRU15 lalu, susulan akaun parti kini dibekukan," katanya.

Dalam pada itu, Razali mengesahkan bahawa proses agihan kerusi antara parti komponen PN kini sudah selesai hampir 80 peratus dan diserahkan kepada pimpinan tertinggi untuk dimuktamadkan sebelum PRN nanti.

"Secara dasarnya Bersatu akan mempertahankan semua kerusi yang kita menang dalam PRU14 lalu, cuma sekarang kita kena faraidkan (agihkan) kerusi yang sekarang dikuasai oleh BN dan PH antara parti komponen PN menjelang PRN nanti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca