SHAH ALAM - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) mendedahkan terdapat graduan yang mempunyai diploma dan ijazah dari institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tidak menerima pengiktirafan sewajarnya dari segi jawatan dan gaji yang setara dalam perkhidmatan awam.
Difahamkan pemegang diploma atau ijazah kejuruteraan dan teknologi dari institusi tersebut menerima gaji kurang RM400 hingga RM500 berbanding graduan daripada universiti lain apabila mereka menyertai sektor awam.
Sedangkan, realitinya kedua-dua graduan dalam bidang tersebut menjalankan kerja-kerja yang hampir sama dalam aspek teknikal dan teknologi, meliputi penyelenggaraan serta pemantauan.
Menyedari perkara itu, MBOT telah berhubung rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan pemegang diploma dan ijazah dalam bidang berkenaan mendapat pengiktirafan sewajarnya, khususnya dalam sektor awam.
Presiden MBOT, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, ketika ini lebih 65,000 orang teknologis dan juruteknik berdaftar dengan lembaga berkenaan.
Ujarnya, fokus MBOT ketika ini adalah supaya semua majikan di sektor awam dan swasta mengkaji semula dasar pengambilan skim perkhidmatan dan penetapan gaji bagi graduan bidang teknologi dan kemahiran.
"Kita dapati sektor kerajaan masih ada ruang penambahbaikan dari segi penerimaan (graduan kemahiran) berbanding sektor swasta, sedangkan dalam masa sama kerajaan ingin memartabatkan bidang TVET.
"Jadi, dari semasa ke semasa, MBOT sentiasa mengadakan libat urus bersama JPA dan pihak majikan supaya mereka memahami kesetaraan dan kepentingan penjawat awam yang mempunyai latar belakang teknologi dan kemahiran,” katanya kepada Sinar Harian.
Siti Hamisah berkata, perkhidmatan awam di negara-negara maju bergantung kepada deep technology dalam penyampaian perkhidmatan seperti kepintaran buatan (AI) dan data raya (Big Data).
"Saya melihat perkara penting supaya semua skim perkhidmatan teknologi dan teknikal di pelbagai jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Laut Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebagainya mendapat pengiktirafan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, sudah tiba masanya isu pengiktirafan yang tidak seragam dalam perkhidmatan kerajaan diselesaikan secara muktamad bagi membela nasib graduan lulusan kemahiran berkenaan.
Ujarnya, polisi pengambilan sumber manusia yang selari dengan perkembangan teknologi akan memberi kesan kepada masa depan TVET dan remaja akan berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.
"Malah, mereka akan merasakan bidang mereka diiktiraf sewajarnya kerana TVET juga mendapat saingan daripada pekerjaan gig seperti pemandu e-hailing yang dilihat lebih fleksibel serta memberi pulangan lebih baik.
"Sekiranya isu ini tidak ditangani secara menyeluruh, ia akan memberikan kesan kepada pembangunan negara dalam usaha meningkatkan bilangan graduan TVET,” katanya.
Tambah beliau, besar harapan MBOT untuk melihat isu berkenaan diberi perhatian serius kerana graduan TVET turut memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.
Untuk rekod pada ketika ini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang dikawalselia oleh 11 kementerian, termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri yang menyediakan pengajian serta latihan peringkat sijil dan diploma.
Klik di sini untuk terus membaca