SHAH ALAM - Malaysia mungkin tidak menyambut tarikh 1 Syawal, serentak dengan beberapa negara lain di rantau Asia Tenggara berikutan kaedah penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang berbeza. Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia mungkin tidak menyambut tarikh 1 Syawal, serentak dengan beberapa negara lain di rantau Asia Tenggara berikutan kaedah penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang berbeza.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan berkata, secara asasnya Malaysia menggunakan dua kaedah iaitu rukyah dan hisab bagi menentukan tarikh 1 Ramadan atau permulaan ibadat puasa dan 1 Syawal atau tarikh Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, kaedah rukyah adalah dibuat berdasar kebolehnampakan anak bulan ketika matahari terbenam pada hari akhir bulan qamariah, manakala hisab pula berlandaskan perkiraan data dikumpulkan.

"Jadi memang ada kemungkinan Malaysia akan menyambut tarikh 1 Syawal bukan serentak dengan negara ASEAN lain kerana kedudukan geografi setiap negara adalah berbeza.

Jamali
Jamali

"Sebarang keputusan muktamad mengenai bila Malaysia akan menyambut 1 Syawal adalah bergantung kepada penggunaan kaedah rukyah dan hisab, manakala negara seperti Arab Saudi hanya menggunakan satu kaedah iaitu rukyah atau melihat anak bulan sahaja.

"Justeru, sekiranya Malaysia menyambut 1 Syawal pada tarikh berbeza dengan negara ASEAN lain, maka senario itu bukan perkara luar biasa,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Untuk rekod, mengikut kaedah hisab dan kalender Masihi, umat Islam di Malaysia akan menyambut tarikh 1 Syawal pada 22 April bersamaan dengan hari Sabtu.

Sementara itu, Pensyarah Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi berkata, negara anggota Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura (MABIMS) mengamalkan rukyah (cerapan) dan hisab (kiraan) dalam penentuan awal bulan Hijriah dan penentuan 1 Syawal 1444 berdasarkan nas sahih, mengikut sabda Rasulullah SAW: "Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban.” (Hadith Sahih Bukhari).

Mohd Saiful Anwar
Mohd Saiful Anwar

Beliau berkata, hisab kriteria imkanurukyah (rukyah dan hisab) yang menjadi panduan bagi penentuan awal bulan Hijriah di negara MABIMS adalah ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang tiga darjah dan jarak lengkung bulan dan matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4 darjah.

"Justeru, berdasarkan kiraan tidak rasmi dan mengikut takwim tarikh 1 Syawal 1444 di Indonesia, Brunei dan Singapura, Malaysia jatuh pada 22 April disebabkan oleh kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria imkanurukyah MABIMS.

"Namun begitu, ia bergantung kepada keputusan rukyah dan tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh pihak berkuasa di negara tersebut. Malaysia tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” jelasnya.

Tambah Mohd Saiful, pemerintah Indonesia berpandukan pada rukyah dan hisab kriteria imkanurukyah yang dipersetujui peringkat Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi MABIMS.

"Mengikut hisab kriteria imkanurukyah MABIMS, kedudukan anak bulan di Indonesia masih belum mencukupi pada 29 Ramadan 1444 bersamaan 20 April.

"Ada kemungkinan tarikh 1 Syawal 1444 bersamaan 22 April akan diumumkan oleh pemerintah Indonesia,” katanya.

Namun begitu ujarnya, ia bergantung keputusan rukyah dan dimuktamadkan serta diumumkan secara rasmi oleh pemerintah Indonesia pada 29 Ramadan 1444 bersamaan 20 April nanti.

Klik di sini untuk terus membaca