SHAH ALAM - Menteri besar sedia ada mungkin kekal mentadbir negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan berkenaan berjaya memenangi pilihan raya negeri (PRN). Perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan kelak di peringkat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menteri besar sedia ada mungkin kekal mentadbir negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan berkenaan berjaya memenangi pilihan raya negeri (PRN).

Perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan kelak di peringkat Majlis Presiden PH, jawatankuasa PH peringkat negeri terlibat serta Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berpandangan, barisan kepimpinan semestinya mempunyai rancangan terbaik selain mengambil kira prestasi yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan sebagai peneraju negeri berkenaan.

"Saya percaya di dua negeri (Selangor dan Negeri Sembilan) akan mengekalkan kedudukan calon menteri besar daripada PH yang akan menerajui negeri tersebut.

"Saya juga percaya PH akan mengekalkan calon poster boy dalam kalangan MB (menteri besar) dan ketua menteri (Pulau Pinang) sedia ada kerana telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang untuk ketiga-tiga negeri tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Perikatan Nasional (PN) akan menampilkan calon poster boy menteri besar daripada parti gabungan itu di Negeri Sembilan dan Selangor sebagai strategi merampas dua negeri ditadbir PH pada PRN akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan menghadapi PRN di Kedah, Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) memaklumkan, PH belum menetapkan calon poster boy menteri besar negeri itu ekoran tiada lagi perbincangan bersama rakan gabungan PH dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Namun, beliau yakin kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO ketika ini mampu memberi impak besar kepada gabungan itu untuk merampas Kedah daripada PN.

"Ini (gabungan PH dan BN) dibimbangi oleh PN dan saya lihat dengan isu yang sangat melampau menunjukkan PN parti rasis dan ekstrem dalam hal hubungan antara Islam dan bukan Islam, hingga menghukum orang.

"Secara tidak langsung menyebabkan rasa muak masyarakat dan pengundi di Kedah (terhadap PN). Ini antara yang membantu kita memenangi pilihan raya nanti,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan gabungan itu akan memberi tumpuan kepada Kedah dalam usaha mengambil alih negeri itu daripada PN.

Klik di sini untuk terus membaca