SHAH ALAM - Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disarankan memberi penajaan bersasar bagi pengajian peringkat ijazah pertama bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pendidikan di bawah Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).
Menurut Pakar Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Intan Farahana Abdul Rani, langkah tersebut dilihat lebih baik berbanding menghapuskan pembiayaan jurusan kritikal secara terus.
Jelas beliau, ia boleh diberikan kepada individu yang datang daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
"Seperti kita sedia maklum, kos perbelanjaan bagi menampung pembelajaran ini sangat mahal, tidak semua orang berkemampuan menanggungnya.
"Sedangkan kita tahu pendidikan merupakan satu hak yang mesti dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
"Kita digemparkan dengan sikap sesetengah generasi muda kini yang tidak mahu menyambung pelajaran kerana kesempitan kewangan, jadi amat tidak wajar sekiranya masalah itu diperbesarkan lagi,” ujar beliau kepada Sinar Harian pada Ahad.
Intan Farahana menambah, kaedah pembiayaan bersasar itu jelas lebih efisien berbanding memberikan pinjaman.
"Langkah memberi pinjaman bukan sesuatu yang bagus kerana ia boleh membebankan kewangan individu berkenaan setelah selesai menamatkan pelajaran.
"Seandainya mereka bekerja, nilai pendapatan mereka menjadi tidak setimpal kerana terpaksa membayar balik kos pembiayaan itu. Ini sudah pasti mengganggu konsentrasi individu berkenaan untuk memberi nilai produktiviti yang baik kepada masyarakat,” ulas beliau.
Sementara itu, Pakar Pendidikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Haliza Harun berpendapat, kerajaan masih wajar untuk menaja mereka yang menyambung pelajaran dalam bidang kritikal termasuk pendidikan dan perubatan.
Jelas beliau, jurusan tersebut merupakan prospek penting terhadap masa hadapan nasional.
"Saya bagi contoh seperti jurusan pendidikan dan perubatan, ia antara bidang yang tidak akan terlepas daripada memberikan manfaat kepada orang ramai.
"Kita sedia maklum, tiada orang yang tidak memerlukan kepada pembelajaran, demikian juga dalam isu kesihatan, hampir semua individu memerlukan seseorang yang berautoriti untuk merawat mereka,” tambahnya.
Klik di sini untuk terus membaca