SHAH ALAM - Potensi virus Marburg untuk merebak di Malaysia dan mencetuskan satu lagi pandemik adalah rendah memandangkan kadar kematian bagi individu yang menghidapi penyakit itu adalah tinggi.
Pakar virologi daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, ini kerana simptom yang ditunjukkan oleh penghidap kebiasaannya hanya mengambil tempoh masa yang singkat.
"Jangkitan untuk virus Marburg sangat cepat iaitu dalam tempoh seminggu sahaja. Disebabkan orang yang dijangkiti itu meninggal dunia, jadi berkemungkinan besar ia sukar untuk merebak atau menjangkiti orang lain.
"Kadar motiliti/kematian yang sangat tinggi iaitu 90 peratus menyebabkan dari segi virologinya, ia sukar untuk jadi pandemik di negara ini.
"Selain itu, didapati enam per sepuluh daripada orang yang dijangkiti virus ini akan mati.
"Malah, risiko penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung penularan virus ini ke negara-negara luar Afrika juga adalah rendah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan negara Malawi mengeluarkan amaran mengenai penyakit virus Marburg yang setakat ini telah meragut lima nyawa di wilayah barat laut Kagera, Tanzania.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu memaklumkan, tiada penyakit virus Marburg dikesan di Malaysia setakat ini.
Mengulas lanjut mengenai virus yang sedang menyerang negara-negara Afrika itu, Dr Yahya menjelaskan, Marburg adalah sebahagian daripada keluarga filovirus, sama seperti virus Ebola yang disebarkan daripada haiwan liar seperti kelawar dan monyet.
Beliau berkata, virus yang mampu merebak dengan pantas itu juga boleh menjangkiti sesama manusia melalui sentuhan langsung, darah atau cecair dalam badan termasuk air liur.
"Apabila dijangkiti, ia akan menular mengikut cecair badan individu yang dijangkiti tersebut atau permukaan benda yang tercemar dengan virus itu.
"Mereka yang dijangkiti akan mengalami simptom seperti demam teruk, muntah, cirit-birit dan pendarahan di beberapa kawasan termasuk mata, hidung dan gusi.
"Kebiasaannya, penghidap yang menunjukkan simptom yang amat teruk akan berisiko meninggal dunia dalam tempoh lebih kurang seminggu,” ujarnya.
Tambah Dr Yahya lagi, pemantauan ketat terutamanya di pintu masuk antarabangsa negara merupakan antara langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam usaha mengekang virus itu masuk ke Malaysia.
Katanya, pihak berkuasa perlu membuat saringan kesihatan secara lebih teliti terhadap pengembara yang tiba dari negara-negara Afrika.
"Ketika ini, kes penyakit virus Marburg telah banyak dikenal pasti di benua Afrika kerana kita sedia maklum, negara-negara tersebut memang dihuni oleh banyak binatang liar sebab itu virus Marburg mudah merebak di sana.
"Virus ini tidak ada lagi di Malaysia, jadi saringan di pintu masuk adalah langkah terbaik untuk pastikan ia tidak terlepas ke dalam negara,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca