SELAIN deretan kedai dan butik mewah, laluan sekitar Piccadily Circus ke Leicester Square lebih meriah menjelang Disember setiap tahun, sempena menyambut Krismas dan Tahun Baharu. Muncul sekali setahun, pengunjung dari pelbagai negara berpusu-pusu datang demi menyaksikan hiasan lampu indah di tengah Kota London ini.
Namun, pada Mac 2023, heboh satu dunia apabila kota yang sama tiba-tiba dicurahi cahaya. Piccadily Circus bergemerlapan dengan lampu bulan sabit dan bintang beraneka saiz dan warna, melatari ucapan ‘Happy Ramadan’. Penduduk Kota London sendiri amat teruja untuk merakam ‘keajaiban’ ini.
Kalau di kebanyakan negara Islam, Ramadan disambut meriah itu sudah menjadi biasa. Di Malaysia sendiri, jarang kota seperti Kuala Lumpur suram. Bukan setakat Ramadan, hiasan lampu dipasang bersilih ganti bagi merai pelbagai perayaan yang disambut masyarakat majmuknya.
Berlainan pula di Eropah. Apa yang disaksikan ini telah melakar sejarah baharu di benua asal penganut Kristian dan Yahudi. Tidak hairan apabila ramai yang berkerut kening keliru.
"Why is it’Happy Ramadan’ when Muslim are not literally happy? They are suffering during Ramadan as they have to fast for 14 or more hours a day, without any food or water.”
Pada mereka yang bukan Islam, tidak masuk akal untuk memperkaitkan derita kelaparan dengan kegembiraan. Amat sedikit yang tahu bahawa bagi umat Islam, Ramadan sememangnya bulan yang paling menggembirakan.
Ramadan di London tahun ini membawa makna lebih besar daripada sekadar halwa mata. Sedikit sebanyak, ia mengirim isyarat bahawa Islam sudah mula diterima baik oleh dunia barat. Ia bukanlah agama pengganas seperti yang pernah mereka gambarkan. Barulah elemen merai kepelbagaian yang diperjuang para pemimpin dunia benar-benar inklusif kepada semua.
Sebenarnya, untuk menaikkan 30,000 unit lampu di Kota London bukanlah suatu yang mudah. Usaha keras Ramadan Lights UK, sebuah NGO diketuai oleh Aisha Desai harus dipuji. Mereka mengambil masa tiga tahun mengumpulkan dana dari pelbagai pihak bagi tujuan ini.
Meskipun begitu, dengar cerita, impian Aisha Desai tak mungkin terlaksana jika Datuk Bandar London sendiri bukan beragama Islam. Sadiq Khan yang telah merasmi nyalaan ‘Happy Ramadan’ pada 21 Mac lalu, merupakan Datuk Bandar Islam yang pertama di UK setelah dilantik pada tahun 2016.
Walau dilahir dan dibesarkan di kalangan majoriti bukan Islam, beliau diketahui teguh mengamalkan agamanya. Sadiq Khan juga sering mengimarah masjid-masjid dan menyertai pelbagai program anjuran komuniti Islam di London.
Apa yang pasti, sejak sekian lama, orang Islam telah menjadi penduduk kedua teramai di UK selepas Kristian, diikuti Hindu, Sikh Yahudi dan Buddha.
Malah bancian terkini, merekodkan peningkatan populasi orang Islam di UK daripada 2.8 juta (4.5 peratus) kepada 3.8 juta (6.5 peratus) dalam tempoh 10 tahun sahaja. Di London sendiri, 15 peratus penduduknya ialah Muslim, menjadikannya wilayah dengan peratusan orang Islam teramai.
Selain imigran, peningkatan populasi Islam UK disumbang oleh kelahiran generasi kedua dan seterusnya keluarga British-Muslim. Kini, 84.5 peratus orang Islam UK berusia 50 tahun ke bawah.
Dengan usia purata 27 tahun, umat Islam menjadi kumpulan masyarakat ‘termuda’ di UK. Jauh meninggalkan penduduk beragama lain terutamanya Kristian yang purata umurnya 51 tahun.
Lebih menarik, populasi Islam UK dikatakan paling ethnically diverse di dunia. Lebih separuh daripadanya berasal dari negara-negara Asia termasuk India, diikuti benua Afrika dan Timur Tengah. Jadi tentu saja mereka punya latar belakang, adat, budaya mahupun mazhab yang berbeza.
Ada juga yang datang dari negara di mana rakyatnya bersengketa dan saling berbunuhan kerana perbezaan fahaman dalam mengamalkan ajaran Islam. Namun di UK, perbezaan ini tidak langsung memisahkan. Mereka malah hidup bersatu padu, harmoni serta saling melindungi, berpasakkan ukhuwah Islamiah.
Dengan jangkaan peningkatan populasi British-Muslim kepada 13 juta pada tahun 2050, penduduk asal UK yang beragama Kristian nampaknya bukan sahaja semakin hari semakin kurang, malah semakin ‘tua’. Umat Islam pula bakal menjadi aset terpenting kepada negara Anglo-Saxon ini.
Sumbangan mereka kepada ekonomi UK sahaja sudah mencecah £31 bilion sepuluh tahun lalu. Penyertaan British-Muslim dalam dunia politik UK juga pasti terus meningkat. Kerana itu, dasar Kerajaan UK yang dipengaruhi Islamofobia sebelum ini secara sendirinya tidak lagi popular.
Lentera ‘Happy Ramadan’ ini bukan lagi sekadar mengindahkan langit malam Kota London. Ia sebenarnya sedang memperindah wajah Islam di bumi Eropah.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College, London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena, Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca