PENIAGA dan pengguna pada ketika ini berhadapan dengan kenaikan harga barangan yang luar biasa. Sebagaimana kita sedia maklum, pelbagai harga barangan termasuk sayur dan ikan juga menunjukkan peningkatan yang ketara. Kenaikan harga barang... Klik di sini untuk terus membaca

PENIAGA dan pengguna pada ketika ini berhadapan dengan kenaikan harga barangan yang luar biasa.

Sebagaimana kita sedia maklum, pelbagai harga barangan termasuk sayur dan ikan juga menunjukkan peningkatan yang ketara.

Kenaikan harga barang mentah ini telah memberikan kesan kepada harga penjualan barang makanan di bazar Ramadan.

Sepanjang pengamatan penulis termasuk mendapatkan maklum balas daripada peniaga dan juga pengguna di bazar Ramadan di beberapa lokasi memberikan satu gambaran jelas tekanan ekonomi yang sedang dihadapi.

Dalam konteks peniaga, ada beberapa perkara yang telah dikongsi oleh peniaga antaranya mereka berhadapan dengan masalah modal pusingan untuk berniaga disebabkan oleh kenaikan mendadak harga barangan.

Ada yang terpaksa meminjam daripada pihak lain untuk meneruskan perniagaan mereka di bazar Ramadan.

Selain itu mereka terpaksa meletakkan harga yang lebih tinggi daripada sebelum ini dalam usaha mengimbangi keuntungan mereka, kenaikan harga barang mentah dan kemampuan pembeli.

Sebagai contoh, di beberapa bazar Ramadan yang dikunjungi, harga Roti John telah meningkat sehingga RM10 manakala harga kuih-muih tradisional mengalami peningkatan harga kepada 60 sen dan ke atas setiap satu.

Didapati harga bahan mentah termasuk bawang besar, serai, halia, pelbagai jenis tepung dan telur mengalami kenaikan.

Dalam konteks pengguna pula, mereka terpaksa berbelanja lebih tinggi tahun ini di bazar Ramadan yang mana harga barang makanan meningkat jika dibandingkan dengan tahun lalu.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, terdapat juga rungutan daripada pelanggan yang mana di beberapa bazar Ramadan tertentu yang dikunjungi, makanan yang dibeli tidak mencapai jangkaan pengguna.

Perkara ini juga perlu diberikan perhatian oleh peniaga terutamanya yang masih baharu dalam perniagaan makanan untuk memperbaiki kualiti hidangan makanan yang dijual agar dapat mencapai harapan pengguna.

Perkara ini penting agar ia dapat membantu peniaga untuk mendapat pelanggan yang berulang-kali membeli makanan daripada peniaga tersebut.

Selain itu, terdapat juga pengguna yang sebahagiannya berhadapan dengan kekangan tunai di tangan disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup dan mereka terpaksa melupakan hasrat untuk mengunjungi bazar Ramadan.

Untuk mengawal perbelanjaan isi rumah, sebahagiannya memasak di rumah bagi juadah ringkas berbuka puasa manakala terdapat juga yang membuka puasa di masjid atau surau yang berdekatan yang mana sebahagiannya disebabkan oleh masalah kewangan dan tekanan ekonomi luar biasa yang dihadapi pada ketika ini.

Beberapa hari lalu, selepas solat Tarawih, penulis sempat singgah di restoran untuk minum sebelum pulang ke rumah. Terserempak dengan sahabat lama yang bekerja sebagai penolong pegawai di salah sebuah agensi kerajaan.

Semasa berbual, beliau memberitahu bekerja selepas waktu pejabat iaitu dari pukul 6 petang sehingga 10 malam setiap hari Isnin sehingga hari Jumaat untuk menampung kos sara hidup yang meningkat.

Beliau memperoleh pendapatan sebanyak RM12 sejam dengan tugasnya membantu stor peralatan sukan di salah sebuah pusat beli-belah yang terkemuka.

Ini bermakna beliau bekerja dari pukul 8 pagi hingga 10 malam disebabkan oleh tekanan ekonomi yang dihadapinya pada ketika ini.

Selama mana tubuh badan mampu bertahan dengan tempoh masa kerja panjang yang berpotensi menyebabkan kepenatan dan boleh menjejaskan kualiti kehidupan seharian.

Sebenarnya, di luar sana ramai yang berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang tidak terfikir untuk membeli barangan di bazar Ramadan.

Sudah sampai masanya sebagaimana yang penulis sering utarakan sebelum ini untuk dilaksanakan kenaikan kadar gaji dengan kadar segera agar ia dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang naik secara mendadak pada ketika ini.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca