KETUA pembangkang India, Rahul Gandhi tidak pernah menjawat jawatan menteri dalam kerajaan persekutuan atau negeri, malah tidak pernah memimpin Parti Kongres mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum. Namun beliau masih bertahan di... Klik di sini untuk terus membaca

KETUA pembangkang India, Rahul Gandhi tidak pernah menjawat jawatan menteri dalam kerajaan persekutuan atau negeri, malah tidak pernah memimpin Parti Kongres mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum.

Namun beliau masih bertahan di tengah-tengah kemelut politik pembangkang India dan menjadi sasaran utama Parti Bahratiya Janata (BJP) yang dipimpin Perdana Menteri ketika ini, Narendra Modi.

Kini, sabitan dan hukuman penjara dua tahun dalam kes fitnah dan dipecat daripada Parlimen pada Jumaat lalu bakal merangsang parti dan sekutunya meningkatkan penentangan terhadap kerajaan BJP sebelum pilihan raya umum akan datang.

Sabitan kes fitnahnya berlaku dua bulan selepas Gandhi, 52, menamatkan perarakan merentas desa sejauh 4,000 kilometer (km) dari hujung selatan India ke Kashmir di Himalaya sebagai usaha memulihkan parti dan imejnya dalam apa yang disebut Baharat Jodo Yatra atau perarakan perpaduan India.

Hukuman penjara dikenakan terhadap Gandhi dan pergantungan selama 30 hari memberi peluang beliau untuk membuat rayuan di mahkamah tinggi, tetapi tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang kecuali sabitannya digantung atau dibatalkan.

PENYAMBUNG TRADISI KELUARGA SEBAGAI PERDANA MENTERI INDIA

Sebenarnya Parti Kongres telah memerintah 54 daripada 75 tahun sejak mendapat kemerdekaan daripada Britain dan bapa, nenek dan datuknya adalah Perdana Menteri selama 37 tahun daripada 54 tahun.

Malah, Kongres adalah parti nasional terbesar dengan mempunyai 1.4 billion ahli sebelum tewas di tangan BJP pada 2014.

Walaupun prestasi Kongres menurun pada 2019, iaitu hanya menang kurang 10 peratus daripada 545 kerusi di Dewan Rakyat, ia menguasai hampir 20 peratus undian yang dianggap terbesar dalam kalangan mana-mana parti pembangkang lain berbanding BJP iaitu 38 peratus.

Atas sebab itu, Parti Kongres boleh dianggap parti pemerintah atau pembangkang utama kira-kira puluhan negeri yang penting.

Gandhi (kanan) bersama ibunya Sonia Gandhi. - Foto AFP

GHANDI BUKAN AHLI POLITIK SERIUS

Gandhi menceburi bidang politik dan pertama kali dipilih ke Parlimen pada tahun 2004 dari daerah keluarganya di Amethi di negeri tengah Uttar Pradesh.

Beliau mengulangi kemenangan itu pada 2009 dan 2014 tetapi prestasi partinya mengalami kemerosotan mengejut pada 2019 apabila kehilangan kerusi di tempat sendiri.

Gandhi juga pernah bertanding kerusi di negeri Kerala dan menang di sana untuk kembali ke Parlimen semula.

Namun, sikap sambil lewa dengan jarang hadir ke Parlimen sering menjadi tumpuan media dan menimbulkan tuduhan dibuat BJP bahawa beliau bukan ahli politik yang serius.

Di luar Parlimen, Gandhi sering mengingatkan komitmennya dan pengorbanan keluarganya dan bercakap mengenai pembunuhan neneknya, Perdana Menteri Indira Gandhi pada tahun 1984 dan ayahnya iaitu bekas Perdana Menteri, Rajiv Gandi untuk dijadikan modal kempennya itu.

Ketika kejadian, ayahnya yang berumur 46 tahun dilaporkan terkorban dalam serangan pengebom nekad pada perhimpunan sempena pilihan raya di Tamil Nadu pada 1991.

Pembunuhan dilakukan kumpulan pemisah bersenjata Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Namun, sejak akhir-akhir ini, beliau sering mencetuskan kontroversi dengan mengkritik BJP yang akhirnya memakan diri sendiri.

Salasilah keluarga Rahul Gandhi. - Foto AFP

Antara kontroversi sehingga dilucutkan daripada Parlimen adalah dengan menuntut siasatan berhubung hubungan Modi dengan hartawan kontroversi, Gautam Adani.

"Saya telah hilang kelayakan kerana Perdana Menteri... takut dengan ucapan seterusnya yang akan datang pada Adani. Saya juga tidak takut dengan ancaman semua ini," kata Gandhi kepada pemberita.

Baru-baru ini di Britain, beliau berkata dalam ucapannya bahawa demokrasi India berada dalam bahaya di bawah pimpinan Modi sehingga menimbulkan kemarahan ahli BJP dan menuntutnya meminta maaf serta mengugut berdepan penyingkiran daripada Parlimen.

Gandhi yang masih bujang dikenali sebagai seorang yang minat mengenai kecerdasan dan seni bela diri dan pernah dilihat berbasikal di New Delhi dengan ditemani anggota keselamatan.

Namun, sabitan kesalahan dan hilang kelayakan daripada Parlimen bakal menyukarkan laluan menjadi Perdana Menteri seterusnya seperti ayah dan neneknya ditambah pula kerajaan Modi telah banyak kali dituduh menggunakan undang-undang untuk menyasarkan dan menghalang pengkritiknya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca