SHAH ALAM - Majoriti pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) yang mempunyai diploma meluahkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang mendapat gaji dan jawatan yang sepatutnya berbanding lulusan diploma daripada universiti dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Majoriti pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) yang mempunyai diploma meluahkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang mendapat gaji dan jawatan yang sepatutnya berbanding lulusan diploma daripada universiti dan politeknik meskipun mempunyai kelayakan dan kelulusan sama.

Seorang bekas pelajar daripada IKTBN yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 31, berkata, dia sudah beberapa kali menghadiri temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) untuk jawatan gred 29 namun gagal kerana kelayakan diplomanya tidak diiktiraf.

"Saya sudah tiga kali temu duga untuk gred 29 bagi jawatan Penolong Pegawai, namun gagal meskipun sudah lakukan terbaik dari segi sesi soal jawab dan amali.

"Apabila saya telefon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung soal graduan IKTBN gagal temu duga SPA, mereka memaklumkan diploma kami tidak diiktiraf untuk jawatan tersebut. Untuk mendapat kepastian, saya telefon pula Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Sebaliknya pihak MQA menyatakan diploma kami diiktiraf. Jadi saya tidak tahu nak salahkan siapa sama ada JPA, MQA atau Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kerana tidak mengangkat graduan diploma daripada IKTBN berada kedudukan sama seperti graduan diploma universiti dan politeknik dengan jawatan setaraf dalam sektor kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad memberitahu dia kini berkhidmat dalam sektor awam dengan jawatan dan gaji mengikut kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disebabkan tiada jawatan yang dibuka untuk lulusan diploma.

"Gaji saya ikut gred 19, jadi untuk pergi ke gred 29 memang tidak ada. Tiada jawatan yang layak untuk lulusan diploma daripada IKTBN.

"Jika ada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), gaji sedikit berbeza dengan lulusan SPM lain. Tetapi kelayakan gaji hanya pada tahap SKM 3 paling tertinggi dalam perjawatan SPM yang mana permulaan gaji ialah sebanyak RM1,400,” ujarnya.

Justeru, Ahmad memberi saranan kepada kerajaan untuk mengkaji balik kelayakan graduan diploma IKTBN supaya setaraf dengan graduan daripada universiti dan politeknik dalam soal gaji dan gred jawatan.

"Graduan diploma IKTBN perlu ada tempat dalam skim SPA dan saya tak mahu meskipun ada diploma, namun masih berada dalam tangga gaji ikut gred SPM,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca