ISU banjir menjadi agenda utama Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau yang menurut beliau memerlukan perhatian semua pihak agar penduduk kawasan diwakilinya tidak lagi menanggung kerugian harta benda dan dibelenggu ketakutan. Malah beliau... Klik di sini untuk terus membaca

ISU banjir menjadi agenda utama Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau yang menurut beliau memerlukan perhatian semua pihak agar penduduk kawasan diwakilinya tidak lagi menanggung kerugian harta benda dan dibelenggu ketakutan.

Malah beliau bimbang dengan laporan yang menyatakan bahawa Klang akan 'tenggelam' dalam tempoh 30 tahun lagi akibat bencana alam berkenaan.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian Selangor, Mohd Azlim Zainury bersama Ganabatirau menerusi ruangan Agenda YB di pejabatnya di bangunan Parlimen, baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Selepas hampir empat bulan menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen Klang, apa yang akan diberikan tumpuan untuk rakyat di Parlimen itu?

V Ganabatirau: Tumpuan utama saya di Parlimen Klang adalah isu banjir, ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Bandar Baru Klang, Pandamaran dan Pelabuhan Klang dan ketiga-tiga DUN ini masalah utamanya masih lagi banjir.

Isu banjir menjadi kebimbangan dan ditakuti rakyat di Parlimen Klang kerana kerosakan akibat banjir ini adalah sangat tinggi.

Siapa sangka, bandar seperti Bandar Bukit Raja, yang dirancang dengan begitu rapi menggunakan sistem moden dengan pembinaan rumah bernilai jutaan ringgit tapi banjir tetap berlaku juga.

Jadi masalahnya adalah rangkaian perjalanan air sungai, taburan hujan dan sistem perparitan dari kecil sehingga keluar ke sungai, bagaimana rangkaian ini dibina? Maka sejak dari awal lagi saya memberi keutamaan kepada isu ini.

Isu ini menjadi lebih penting apabila terdapat juga laporan media di portal-portal tempatan yang menyatakan, Klang akan 'tenggelam' dalam masa 30 tahun akibat perubahan iklim.

Tumpuan kini juga terarah kepada persidangan Dewan Rakyat, bagaimana perkembangan isu banjir yang YB ketengahkan?

Saya telah membawa perkara ini berulang kali, sebelum persidangan Parlimen lagi dan mendapat peluang ketika berada di Parlimen untuk membawa perkara ini dengan panjang lebar ketika ucapan kali pertama saya di Parlimen.

Dalam soalan lisan yang diajukan saya telah meminta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NECC), menyatakan langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan Parlimen Klang berserta jumlah peruntukan yang diluluskan untuk projek tebatan banjir dan pelebaran Sungai Klang.

Soalan ini dijawab menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memaklumkan kementerian telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan Parlimen Klang dengan meluluskan Peruntukan Persekutuan Rancangan Malaysia Ke-12 berjumlah RM12.96 juta bagi melaksanakan tiga projek di daerah Klang.

Projek tersebut adalah kerja-kerja naik taraf pintu air Sungai Kapar Besar 1, berjumlah RM 0.7 juta dan telah siap pada 15 Disember 2022.

Kedua, ialah projek penstabilan tebing Sungai Aur, Klang berjumlah RM10.3 juta dan dijangka siap pada 9 Mac 2023 dan Kajian Pelan Induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Klang yang dijangka siap pada Oktober 2023.

Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa JPS sedang memohon RM1.02 juta bagi melaksanakan tiga projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk dilaksanakan di daerah Klang iaitu RTB Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam, RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar serta RTB untuk Sungai Klang.

Malah, JPS turut melaksanakan beberapa projek bersama kerajaan negeri Selangor di daerah Klang melibatkan peruntukan RM281.1 juta untuk pelaksanaan 28 pelbagai projek pengurangan risiko banjir, RM24.7 juta Peruntukan Akaun Amanah Caruman Parit untuk tiga projek di daerah Klang dan projek mendalam dan pelebaran Sungai Klang bersama anak syarikat kerajaan negeri.

Selain isu banjir, isu apakah lagi menjadi tumpuan YB bagi rakyat Klang. Bagaimana YB mainkan peranan dalam isu ini?

Isu kedua yang mana menjadi keutamaan saya ialah keadaan jalan raya di Klang. Kita sedar dengan wujudnya kawasan seperti Pelabuhan Klang maka kita akan ada pergerakan kenderaan berat tetapi kenderaan ini bukan hanya menggunakan jalan-jalan utama sahaja, pemandu-pemandu ini tinggal di Klang dan perlu bergerak dengan menggunakan jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan pihak berkuasa tempatan malah di jalan kawasan perumahan.

Sebab itu, Klang memerlukan kualiti jalan yang dibina dengan lebih baik, bahan-bahan yang digunakan perlu berkualiti dan saya bertanyakan semua perkara ini di Dewan Rakyat.

Ganabatirau
Ganabatirau
Ganabatirau
Ganabatirau

Jika menyentuh isu jalan raya, kita juga perlu membincangkan mengenai kemudahan infrastruktur yang saling bergantung seperti lampu jalan, susur air keluar dan ini semua juga perlu dibaiki.

Di kawasan Klang juga banyak berlaku kemalangan maut melibatkan motosikal berpunca daripada lopak air malah pernah berlaku ketika saya berada di atas jalan ketika dalam perjalanan untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Isu ketiga pula adalah kemudahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan pembinaan Hospital Kapar yang saya percaya ramai di Klang memberi keutamaan dalam isu ini, sebab kita ada beberapa isu seperti parkir, masa menunggu sangat lama, kekurangan kakitangan termasuk doktor, doktor pakar dan kekurangan ruang untuk menempatkan katil di hospital itu.

Isu keempat pula adalah mengenai kehadiran dan monopoli warga asing termasuk dari Myanmar di Pasar Meru, Klang termasuk mereka yang menguasai kawasan parkir kereta yang terdiri daripada etnik Rohingya ini.

Isu kelima dan yang terakhir dalam perhatian saya ialah pembinaan sekolah rendah dan sekolah menengah di Klang termasuk mewujudkan institusi pengajian tinggi dalam kawasan Parlimen ini.

Pada tahun 2018 malah sebelum itu ada beberapa sekolah diberikan keutamaan untuk dibina antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemuning di Kota Kemuning 2, namun kini ura-ura pembinaannya sudah tidak lagi berada dalam radar atau dalam senarai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

Sebuah lagi sekolah diperlukan untuk diwujudkan ialah di kawasan Bandar Baru Bukit Raja yang mempunyai lebih 20,000 buah rumah.

Ganabatirau (kiri) turun padang meninjau masalah penduduk di kawasan Parlimen Klang.
Ganabatirau (kiri) turun padang meninjau masalah penduduk di kawasan Parlimen Klang.
Ganabatirau (kiri) turun padang meninjau masalah penduduk di kawasan Parlimen Klang.

Ada tujuh tapak telah disediakan untuk sekolah di Bandar Baru Bukit Raja, namun tiada perkembangan selepas terdapat perancangan pembinaan sekolah di kawasan berkenaan pada 2018 dan 2021. Kita kesal kerana tiada apa-apa perancangan pembinaan sekolah baharu di kedua-dua kawasan tersebut pada tahun ini sedangkan ada sekolah yang telah melepasi had pelajar dua kali ganda jumlah sepatutnya.

Saya juga memohon agar institut pendidikan awam turut diberi perhatian untuk dibina di kawasan Parlimen Klang kerana Selangor adalah penyumbang terbesar iaitu 25 peratus KDNK negara dan Klang pula mempunyai pelabuhan paling sibuk dalam negara, hal ini sekali gus menjadi penyumbang besar. Apa yang saya mohon ini adalah kemudahan asas yang patut diberikan kepada para penduduk di Parlimen Klang.


PROFIL:

Nama: Ganabatirau Veraman

Tarikh lahir: 6 Jun 1973

Asal: Teluk Intan, Perak.

Parti: PH/DAP

ADUN Kota Kemuning (sejak 2018)

Ahli Parlimen Klang

Jawatan dalam kerajaan Selangor:

Exco Jawatankuasa Tetap Sosio Ekonomi, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang


Klik di sini untuk terus membaca