ENTAH idea siapa, tiba-tiba kita terdengar ada acara lelaki sasa berpakaian seksi di negara kita. Nasib baik ia kemudiannya dibatalkan. Jangan lupa juga Daniela Arroyo González, seorang transgender telah terpilih untuk bertanding di Miss... Klik di sini untuk terus membaca

ENTAH idea siapa, tiba-tiba kita terdengar ada acara lelaki sasa berpakaian seksi di negara kita. Nasib baik ia kemudiannya dibatalkan.

Jangan lupa juga Daniela Arroyo González, seorang transgender telah terpilih untuk bertanding di Miss Universe, Puerto Rico. Jika bernasib baik dia juga mungkin bakal menjadi ‘wanita’ tercantik dunia kemudiannya.

Rupanya orang tak merasa aneh melihat orang berpakaian lain jantina di zaman ini. Malah ia menjadi hiburan pula. Bukanlah dahulu tidak ada. Di stesen kereta api Tanjung Bendahara di Kedah, memang ramai. Juga di banyak tempat lain terutamanya sekitar Chow Kit. Tapi tidaklah orang menghebohkannya sebagai satu acara.

Fenomena orang mahu menukar identiti jantina ini sepertinya normal dalam dunia hari ini. Di Amerika Syarikat, lebih 1.6 juta penduduknya ialah transgender.

Di UK, dilaporkan lebih 200,000 penduduknya telah berubah daripada jantina asalnya seperti yang direkod ketika dilahirkan.

Kita di Malaysia, walaupun rekod yang ada mungkin tak begitu jelas, tapi banyak daripada kumpulan ini tanpa segan silu mempromosi diri di TikTok dan Facebook.

Di masa dulu, sekitar awal merdeka atau sebelumnya, orang kita jangankan untuk bertukar jantina, melakukan hal luar kebiasaan jantina pun dilarang. Sebab itu masa dulu kaum hawa jarang diberi peluang mendapat pendidikan atau bekerja.

Banyaknya perlu di dapur. Lelaki pula seboleh-bolehnya mesti pandai membajak sawah dengan kerbau. Baru nampak jantannya. Masyarakat waktu itu sangat menjaga peranan jantina.Tapi hari ini, jika kita lihat orang tidak peduli lagi hal ini.

Memang benar, fenomena ini yang juga dikenali sebagai ‘gender dysphoria’ - ialah antara isu psikologikal yang selalu ditemukan dalam penulisan akademik.

Ia berlaku apabila seseorang tidak berasa selesa dengan identiti jantinanya dengan sifat biologinya. Ada yang mungkin merasa dirinya wanita, tetapi dilahir pula dengan tubuh badan seperti lelaki. Begitu juga ada yang merasa dirinya lelaki, tetapi dilahir pula sebagai wanita.

Sebahagian daripada mereka ini mengadu mengalami kemurungan, atau tekanan psikologikal yang lain. Jadi jalan terbaik, kata mereka ialah dengan mengikuti apa yang diri mereka mahukan iaitu mengubah jantina.

Tapi jika kita semua perlu selalu mengikut kata hati, tentulah kita semua seboleh-bolehnya mengubah apa sahaja yang kita tak suka.

Hakikatnya kecelaruan identiti ini, walaupun tak sepenuhnya boleh diubati, tetapi ia masih boleh dirawat.

Mungkin ramai orang di Malaysia, jarang mendengar kisah ini. Ia berlaku sekitar tahun 60-an. Kisah seorang bayi di Kanada, Bruce yang dilahirkan sebagai lelaki.

Tetapi kemudiannya, kerana mengalami masalah pada alat kelaminnya, satu operasi perubatan perlu dilakukan. Malangnya, zakarnya telah mengalami kerosakan teruk.

Lalu berusahalah semua pakar waktu itu, termasuklah ahli psikologi, perubatan dan seksologi untuk membetulkan keadaan. Akhirnya, semua bersetuju Bruce wajar dibesarkan sebagai wanita.

Ketika berusia 17 bulan, Bruce ditukar nama menjadi Brenda. Dia dibesarkan sebagai gadis. Bermain mainan seperti gadis. Disuntik juga hormon agar dia menjadi wanita.

Masa berlalu. Walaupun dia menyangka dirinya seorang gadis, dia tak suka bermain mainan anak-anak perempuan. Semakin membesar, dia mula memberontak apabila disuntik hormon yang ingin membentuk payudaranya. Hatinya seperti tak dapat menerimanya.

Dipendekkan cerita, akhirnya dia mula tahu cerita sebenar. Brenda tahu bahawa dia ialah seorang lelaki, dan bukan wanita. Tetapi kecelaruan hidupnya telah mengecewakannya. Pada umur 38 tahun, dia menembak mati dirinya sendiri.

Tatkala Bruce mengikut kata hatinya tak mahu menjadi Brenda, dunia hari ini ada pula yang mengikut kata hati ingin mengubah jantina.

Akhirnya, kita tahu kita hidup di zaman serba janggal. Atau kita yang sebenarnya ketinggalan zaman?

* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.

Klik di sini untuk terus membaca