SHAH ALAM - Tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) boleh menang semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu di Pulau Pinang, pada pilihan raya negeri (PRN) nanti. Penganalisis politik dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) boleh menang semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu di Pulau Pinang, pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, perkara itu bukan mustahil jika fenomena gelombang hijau atau peningkatan sokongan pengundi terhadap PN berterusan seperti berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sivamurugan berkata, PN yakin boleh menang semua kerusi majoriti Melayu kerana beranggapan sokongan rakyat terhadap mereka pada PRU15 lalu adalah bersifat kekal dan tidak akan berubah.

"Perkara itu bukan satu perkara mustahil kerana masih ada tempoh empat bulan, sebelum PRN berlangsung. Tambahan pula, kita tidak tahu apakah bentuk strategi dan bahan kempen bakal digunakan oleh PN semasa PRN nanti.

"PN mungkin berasa yakin mereka boleh menang di semua kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang selepas berjaya menawan kubu kuat PKR di Parlimen Permatang Pauh dan Kepala Batas (kubu kuat BN), pada PRU15 lalu.

"Bagi saya tiada yang mustahil boleh berlaku dalam PRN nanti apabila politik bersifat dinamik dan bukan statik," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa keyakinan PN untuk memenangi 15 kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang pada PRN nanti adalah umpama bermimpi di siang hari.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata, situasi sekarang mungkin boleh berubah selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kini bergabung dan membentuk Kerajaan Perpaduan susulan keputusan PRU15 lalu.

"Pengundi juga akan mengambil kira sejauh manakah prestasi Kerajaan Perpaduan dan legitimasi moral atau integriti yang turut perlu dibetulkan oleh PN susulan beberapa pemimpinnya termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kini didakwa di mahkamah.

"Jadi dengan wujudnya krisis moral bukan hanya dari kalangan pemimpin BN dan PH tetapi kini turut melingkari PN, mungkin kita bakal melihat terdapat perubahan pola pengundian pada PRN," katanya.

Dalam pada itu Sivamurugan berkata, kajian terbaharu dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari USM menunjukkan tiga faktor dominan bakal mempengaruhi pola sokongan pengundi, pada PRN nanti termasuklah kos sara hidup, ekonomi dan integriti.

"Isu ini bakal dimainkan oleh pembangkang pada PRN nanti kerana mereka melihat kepada kegagalan kerajaan begitu juga sebaliknya.

Akhirnya siapa yang berjaya menguruskan persepsi dalam kalangan pengundi akan menentukan pola pengundi.

"Sebab itu, PN cuba membina keyakinan dalam kalangan pengundi bahawa mereka boleh menang semua kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang kerana mereka memastikan bahawa gelombang hijau tercetus semasa PRU15 lalu bukan bersifat sementara.

"PH dan BN, pula mahu menunjukkan pola sokongan pengundi kini sudah berubah, sebab itu Presiden UMNO menegaskan mustahil PN boleh menang 15 kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang, pada PRN nanti," katanya.

11 kerusi DUN manjoriti Melayu yang dijangka akan menjadi milik PN berdasarkan keputusan PRU15 lalu adalah masing-masing tiga DUN di Parlimen Kepala Batas (Penaga, Bertam, Pinang Tunggal); Parlimen Permatang Pauh (Penanti, Permatang Pasir, Seberang Jaya); Parlimen Tasek Gelugor (Permatang Berangan, Sungai Dua, Telok Ayer Tawar) dan dua DUN di Nibong Tebal (Sungai Acheh, Sungai Bakap).

Tiga kawasan lagi adalah melibatkan tiga DUN di Parlimen Balik Pulau iaitu Telok Bahang, Pulau Betong, Bayan Lepas.

Manakala satu lagi kawasan iaitu DUN Pantai Jerejak di Parlimen Bayan Baru tidak dinamakan kerusi majoriti Melayu lebih 60 peratus mengikut Dattar Pemilih SPR September 2022 kerana dianggap sebagai kerusi campuran.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpandangan, peluang PN menang semua kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang dalam PRN nanti agak sukar susulan perkembangan terkini politik tanah air termasuk kes pendakwaan membabitkan Muhyiddin dan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Mazlan berkata, kes pendakwaan terhadap Muhyiddin dan Wan Saiful bukan hanya menjejas imej PN dalam kalangan pengundi, malah menyebabkan akaun Bersatu dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali gus membantutkan kempen dan kebangkitan gelombang hijau menjelang PRN nanti.

Katanya, Pas yang menjadi sekutu dalam PN turut menerima tempias daripada isu berkenaan kerana petisyen di Parlimen Marang membabitkan Presiden Pas sendiri sedang dibicarakan berikutan pendedahan video pengundi bersumpah tular di media sosial sehingga menyebabkan sebahagian besar rakyat percaya parti berkenaan juga terbabit dengan amalan rasuah politik.

Mazlan juga berpandangan BN dan PH mempunyai kelebihan untuk menang kerusi DUN kerana mereka boleh memanfaatkan jentera kerajaan dan pelbagai bantuan dihulurkan Kerajaan Persekutuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan banyak lagi.

Klik di sini untuk terus membaca