SETIAP hari kita perlu ke tempat kerja melaksanakan tugasan dan tanggungjawab. Mencari rezeki untuk kelangsungan hidup merupakan kunci matlamat bagi setiap individu yang bekerja.
Tidak dinafikan, tempat kerja yang sihat serta menggembirakan merupakan idaman bagi setiap warga kerja tidak kiralah apa bentuk sekalipun organisasi berkenaan.
Persoalannya, mengapa kewujudan tempat kerja yang gembira ini makin kurang ditekankan? Apakah peranan wanita dalam hal ini? Berdasarkan kepada tinjauan oleh AIA Vitality pada tahun 2019, pekerja di Malaysia mengalami peningkatan masalah kurang tidur dan juga lebih kerja.
Sebanyak 51 peratus daripada mereka menghadapi sekurang-kurangnya satu masalah berkaitan kerja dan 53 peratus mendapat tempoh tidur kurang daripada tujuh jam sehari.
Manakala, laporan Kisi satu syarikat teknologi akses mudah alih mendedahkan Kuala Lumpur telah dilabel sebagai antara bandar yang paling overworked di dunia pada tahun 2020.
Ini menunjukkan tekanan kerja yang berlebihan akan menyebabkan stress yang tinggi dan seterusnya menyebabkan kesihatan mental berlaku.
Oleh kerana itu, tempat kerja yang gembira dan mempunyai ekosistem yang positif adalah amat diperlukan oleh semua pekerja bagi mengekalkan motivasi secara berterusan.
Sentuhan wanita di tempat kerja Sempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 yang bertemakan ‘Kasih Wanita’ adalah sangat bertepatan dalam menangani isu-isu berkaitan motivasi pekerja.
Tema kasih wanita diangkat kerana ia simbolik terhadap penghargaan wanita yang sentiasa mencurahkan kasih sayang, mengekalkan akhlak mulia, sentiasa mempertingkatkan ilmu dan memelihara keharmonian sekeliling.
Berdasarkan tema yang diangkat, ia dengan jelas memaparkan peranan wanita dalam aspek memelihara keharmonian sekeliling.
Penyelidik Miguel Angel pada tahun 2015 mendapati atribut seseorang pemimpin lebih mempengaruhi melalui sifat-sifat yang dapat dilihat dan mengalir daripada pemimpin kepada pengikutnya dan mencipta kebahagian di tempat kerja.
Selain itu terdapat kajian bertajuk The human side of leadership: Inspirational leadership effects on follower characteristics and happiness at work (HAW) oleh Andrés Salas-Vallina (2020).
Dapatan kajian beliau mendapati bahawa kepimpinan berinspirasi memberi pengaruh yang lebih positif terhadap kebahagiaan pengikut di tempat kerja apabila ciri pengikut lebih positif.
Justeru, apabila wanita diangkat menjadi seorang pemimpin, mereka mempunyai peranan besar untuk membentuk dan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang bahagia dan positif.
Tidak dinafikan, tekanan kerja itu tetap ada kerana perlu memenuhi keperluan KPI yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna kegirangan dan kegembiraan tersebut tidak boleh dilaksanakan di tempat kerja masing-masing.
Sesungguhnya,wanita mempunyai sentuhan magis dalam hal ini kerana mereka telah berupaya mewujudkan keharmonian dan kegembiraan di rumah masing-masing. Peranan wanita jika beliau seorang pemimpin dalam organisasi sangat penting.
Pemimpin wanita lebih prihatin
Sesungguhnya seseorang wanita itu mampu menimbulkan kekuatan daripada kesulitan yang dialami dan wanita adalah lambang kekuatan.
Wanita lebih cenderung mengambil berat dan prihatin. Merujuk artikel oleh Harvard Business Review, sepanjang zaman pemimpin wanita digambarkan mereka terlalu baik dan mengambil berat.
Kepimpinan abad ke-21, menuntut pemimpin mewujudkan hubungan emosi dengan pengikut mereka.
Penulis ingin memberikan fokus kepada gaya kepimpinan wanita oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Janor yang berjaya memimpin UiTM ke satu tahap yang membanggakan.
Penulis tidak mahu menyentuh berkaitan pencapaian universiti tersebut tetapi ingin melihat aspek kepimpinan beliau dalam mewujudkan persekitaran yang positif dan kegembiraan di tempat kerja.
Dalam pengamatan penulis, beliau sangat menekankan tentang aspek kegirangan dan kegembiraan di tempat kerja. Keharmonian serta mempunyai hubungan baik antara staf, pelajar, pemegang taruh serta pihak industri perlu dititikberatkan.
Tip wujudkan kegembiraan
Semua orang menginginkan tempat kerja yang harmoni dan menggembirakan termasuk wanita. Tidak kiralah jika wanita itu adalah seorang yang dipimpin atau diberikan tanggungjawab untuk memimpin, segala tindakan yang dilaksanakan memerlukan kematangan dan kebijaksanaan.
Beberapa tip dan pendekatan yang boleh diambil oleh para wanita untuk mewujudkan tempat kerja yang gembira di jabatan masing-masing. Antaranya adalah: (i) Aplikasikan ‘KASIH’ dalam pengurusan. Konsep KASIH perlu diterapkan dalam mewujudkan persekitaran ekosistem yang membina seperti contoh membudayakan perkongsian ilmu antara satu sama lain dan sentiasa mengingatkan bahawa pencarian ilmu merupakan satu keperluan bagi menghadapi cabaran mendatang.
(ii) Wujudkan kemudahan taska yang kondusif. Staf wanita dapat memberikan fokus terhadap tugasan apabila tiada gangguan melibatkan penjagaan anak.
(iii) Pastikan proses penglibatan secara menyeluruh berlaku dalam organisasi serta kepuasan kerja dapat diukur dan dinilai menggunakan alat pengukur yang bersesuaian.
(iv) Perbanyakkan insentif berbentuk ganjaran. Pemimpin wanita perlu bijak mengolah sumber sedia ada dan menukarkannya kepada ganjaran bagi memotivasikan pekerja.
(v) Terapkan nilai Islam dalam menangani konflik.
Kesimpulannya, kebahagiaan adalah satu konsep emosi yang diperhatikan dan diteliti. Wanita yang gembira akan melakukan lebih banyak kerja, bersemangat, bersedia untuk mempelajari perkara baharu, berdaya saing dan optimis.
Wanita yang gembira menyebarkan senyuman gembira dan berempati. Apabila kebahagiaan dinyatakan, ia dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif di tempat kerja.
*Salmiwati Othman ialah calon PhD Pengurusan Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM & Timbalan Pendaftar Universiti Teknologi MARA
Klik di sini untuk terus membaca