BERMULA 1 April ini, Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang mula diperkenalkan pada 2011 akan dimansuhkan, sekali gus tiada lagi kaedah untuk pembeli rumah pertama memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.
Ini bermakna pembeli rumah pertama selepas ini perlu menyediakan deposit 10 peratus daripada harga hartanah yang ingin dibeli sama seperti pembeli yang lain.
SRP diperkenalkan bagi membantu isi rumah berpendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 untuk memiliki rumah pertama mereka.
Sepanjang tempoh pelaksanaan program SRP, sebanyak RM19.9 bilion nilai pembiayaan telah memberi manfaat kepada 86,708 peminjam.
Bagaimanapun, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan berkata, walaupun SRP tidak diteruskan, namun kerajaan melalui Belanjawan Madani 2023 telah bersetuju untuk meneruskan pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
KPKT berkata, dalam pengumuman Belanjawan Madani 2023, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd bersetuju menyediakan jaminan pembiayaan melalui SJKP sehingga RM5 bilion nilai pinjaman yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 peminjam yang memerlukan.
Di sebalik jaminan KPKT itu, masih terdapat kebimbangan pemansuhan SRP yang memberi manfaat kepada majoriti isi rumah B40, M40 dan pekerja sektor tidak formal untuk memiliki aset hartanah sendiri akan menyukarkan lagi usaha kerajaan menggalakkan rakyat memiliki rumah sendiri.
Hal ini kerana tiada sebarang penjelasan lanjut mengenai mekanisme permohonan SJKP dijamin membantu pembeli rumah pertama untuk mendapat pembiayaan 100 peratus pinjaman perumahan daripada KPKT sebagaimana SRP.
Hakikat itu diakui sendiri bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mengenal pasti majoriti isi rumah golongan B40 dan M40 di kawasan Lembah Klang terpaksa memilih untuk menyewa berbanding memiliki rumah sendiri.
Jelasnya, hal ini susulan harga perumahan yang semakin meningkat di samping masalah gaji pekerja yang tidak setimpal.
Lebih menakutkan, ahli ekonomi itu mendedahkan kesukaran golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan pinjaman bank bagi pembelian perumahan mampu milik menyebabkan wujud kesenjangan pemilikan hartanah semakin melebar berbanding golongan kaya raya dan T20.
"Masalah besar isi rumah B40 dan M40 sukar membeli rumah sendiri berpunca faktor gaji mereka yang terlalu rendah, sekali gus menyebabkan nilai simpanan wang di institusi kewangan atau lebihan pendapatan bulanan sangat kurang.
"Jika kita lihat trend harga rumah sejak 20 tahun lalu menunjukkan peningkatan mendadak, namun kadar upah dan gaji pekerja terutama golongan B40 dan M40 masih di takuk sama.
"Meskipun SJKP mungkin menjadi alternatif SRP dalam menyediakan kemudahan pinjaman perumahan 100 peratus kepada pemohon berkelayakan, risiko isi rumah B40 dan M40 tidak memenuhi syarat kelulusan pinjaman perumahan sangat tinggi kerana mereka tiada sebarang cagaran untuk disandarkan kepada bank.
"Atas faktor itu, majoriti mereka lebih memilih menyewa rumah sehingga akhir hayat berbanding berusaha membelinya kerana beban komitmen pembayaran bulanan sangat tinggi,” jelas Charles kepada Sinar Premium.
Justeru, pemimpin veteran DAP itu mencadangkan kerajaan dan KPKT melaksanakan reformasi sistem pembelian rumah mampu milik dalam masa terdekat bagi memastikan golongan B40, M40 dan pekerja sektor tidak formal diberi sekelumit harapan untuk memiliki rumah sendiri.
Jelasnya, antara cadangan reformasi yang boleh dipertimbangkan kerajaan dengan kerjasama pemaju dan institusi perbankan adalah melalui sistem pembinaan rumah mampu milik dan menawarkannya kepada golongan B40 dan M40 menerusi skim rent to own atau pembiayaan sewa beli.
"Saya percaya melalui skim rent to own yang menetapkan tempoh masa panjang sehingga 35 hingga 40 tahun, rakyat yang menerima manfaat mempunyai peluang lebih besar memiliki rumah sendiri tanpa perlu terikat dengan beban komitmen bulanan terlalu tinggi.
"Pemaju, bank dan kerajaan perlu mencapai satu titik persefahaman dalam menjayakan program ini dengan kerajaan perlu memberi jaminan kepada pemaju dan bank bahawa inisiatif ini bersifat menang-menang dan tidak merugikan mereka,” jelasnya.
Implikasi negatif
Sementara itu, seorang penganalisis ekonomi pula berpendapat langkah KPKT dan institusi kewangan memansuhkan SRP mungkin sebagai satu cara mengurangkan hutang isi rumah pada saat negara bakal berdepan cabaran kemelesetan ekonomi dunia tahun ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Profesor Dr Saadiah Mohamad masih melihat isu pemansuhan skim pembiayaan perumahan rakyat itu dari sudut kontra di mana langkah itu hakikatnya memberi implikasi negatif terhadap objektif kerajaan menggalakkan belia memiliki rumah.
"Golongan muda secara automatik kurang berminat memiliki rumah jika tiada insentif diberikan kerajaan kerana mereka akan rasa terikat untuk membayar komitmen tinggi bulanan di samping beban pembayaran deposit pendahuluan besar.
"Satu lagi implikasi buruk jika tiada galakan seperti skim SRP ini adalah golongan belia B40 dan M40 akan cenderung meningkatkan lagi hutang isi rumah dalam aspek lain seperti kad kredit dan pinjaman peribadi untuk memenuhi kehendak gaya hidup melewati kemampuan mereka,” tegas Saadiah.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman menuntut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya membentangkan formula terbaik memastikan golongan belia B40 dan M40 berkemampuan memiliki rumah sendiri.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan langkah pemansuhan SRP ini seolah-olah kesinambungan agenda kerajaan yang cuba mempromosi produk bank secara tersirat, termasuk pendekatan memperkenalkan pinjaman bank berasaskan cagaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Walaupun ada inisiatif SJKP, saya tidak nampak alasan SRP dimansuhkan berlandaskan sebab-sebab kukuh, sebaliknya timbul persepsi seolah-olah kerajaan lebih menjaga kepentingan bank dan kapitalis berbanding rakyat marhaen.
"Dengan tawaran pinjaman bank berasaskan cagaran KWSP pun seolah-olah berbentuk pinjaman peribadi konvensional dengan kadar faedah tinggi dan terkini timbul pula idea pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk golongan elit.
"Adakah dasar Kerajaan Perpaduan sudah terarah menjaga kepentingan pihak elitis, walhal ia perkara paling ditentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu?,”soal Muhammad Faiz.
Klik di sini untuk terus membaca