SHAH ALAM Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan bahawa hukum seseorang peniaga menjual sesuatu makanan yang tidak berkualiti termasuk hangit serta basi adalah haram. Ia susulan perkongsian orang ramai tular... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan bahawa hukum seseorang peniaga menjual sesuatu makanan yang tidak berkualiti termasuk hangit serta basi adalah haram.

Ia susulan perkongsian orang ramai tular di media sosial sejak hari pertama puasa Khamis lalu yang mendakwa makanan dibeli mereka di beberapa bazar Ramadan di negara ini hangit, basi serta tidak sepadan dengan harga jualan.

Antaranya ialah nasi ayam berbau busuk, roti john dan martabak hangit serta karipap berinti angin yang mendapat pelbagai reaksi warganet.

"Peniaga yang menjual makanan sedemikian bukan sahaja terpalit dalam penipuan transaksi jual beli malah ia termasuk dalam pengertian memakan harta orang secara salah.

"Terdapat juga hadis yang bermaksud sesiapa yang menipu barang-barang jualannya maka dia bukan umat kami.

"Selain itu, bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi peniaga mencari pahala daripada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Salim berkata, Islam adalah agama rahmat yang membawa misi kasih sayang dan menyeru kepada persaudaraan antara umat Islam serta sesama manusia.

"Jadi saya menyeru peniaga supaya bertimbang rasa terhadap pembeli dan janganlah mengambil kesempatan daripada keperluan orang ramai terutama makanan bagi dimakan ketika berbuka puasa,” ujarnya.

Malah katanya, dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘ALLAH SWT merahmati seseorang yang bertolak ansur dalam jual beli’."Sikap sedemikian juga termasuk dalam pengertian ‘ihsan’ iaitu menjadi antara tonggak Negara Madani yang dijadikan slogan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Sementara itu, pengguna-pengguna menzahirkan rasa kecewa terhadap kualiti makanan yang dibeli di bazar Ramadan yang bukan sahaja mahal tetapi tidak sepadan dengan harga.

Luahan hati mereka dikongsikan di media sosial dengan memuat naik gambar-gambar makanan yang dibeli antaranya hangit, mentah dan tidak segar.

Menurut pemilik akaun Facebook bernama Norzainiza Zaini, lepat ubi yang dibelinya di bazar Ramadan mentah dan tidak dimasak dengan baik.

"Bayangkan jika yang membeli itu memang cuma ada RM2 dan itulah makanan yang dia ada untuk berbuka puasa hari ini.

"Dengan harapan tiga ketul (lepat) itu dapat dikongsi dengan anak atau mengenyangkan perut setelah seharian membanting tulang mencari rezeki, tiba-tiba dapat kuih yang mentah dan berbuka puasa pulak tu,” katanya.

Seorang lagi pengguna dikenali sebagai Siti Aishah, turut berkongsi pengalamannya membeli ikan tilapia goreng yang luarannya nampak elok tetapi liat seperti digoreng sehari sebelum dijual di bazar Ramadan.

"Semalam beli nasi putih, ikan tilapia goreng dan sayur bayam. Banyak dia bagi sayur bayam tetapi malangnya ikan itu bila makan liat teruk dan tak garing langsung.

"Masa beli tak perasan dan bila berbuka puasa baru tahu ikan itu mungkin sehari sebelumnya. Sebagai pemakan ikan goreng tegar, kita boleh tahu ikan itu baru digoreng, digoreng pagi tadi atau sehari sebelum,” ujarnya.

Bagi pemilik akaun Facebook Daku Hafizi pula, dia menghabiskan duit sebanyak RM5 semata-mata untuk makan kuetiau digoreng hangit.

"Buka plastik kuetiau goreng berminyak sangat. Bila makan rasa hangus yang tengik terbang RM5. Karipap isi kentang ayam RM1 seketul pula rasa masam dan basi,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik akaun Facebook bernama Siti Rizabaizura tidak menyangka dirinya juga ‘terkena’ roti john hangit setelah melihat hantaran orang lain di media sosial sebelum ini.

"Empat hari puasa selalu tengok orang sahaja muat naik hantaran di Facebook pasal roti john hangit dan hari ini aku pula kena. Alahai... sudah nampak hangit janganlah terus bungkus. Ke ini memang trend sekarang jual roti john hangit,” ujarnya.

Seorang lagi pemilik akaun Facebook bernama Fantagyro Myzzxorynona berkongsi kisah sama apabila kuih bengkang yang dibelinya turut hangit.

"Tahun ini tahun hangit ke. Semalam nampak hantaran pasal viral martabak hangit dan hari ini kami pula terkena, bengkang hangit,” tulisnya.

Klik di sini untuk terus membaca