SETIAP kali Ramadan tiba, perkara yang sering dipertontonkan di media cetak dan elektronik kepada masyarakat dunia khususnya di negara-negara Islam seperti Malaysia adalah nasib penduduk Palestin yang telah 55 tahun berada di bawah jajahan... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAP kali Ramadan tiba, perkara yang sering dipertontonkan di media cetak dan elektronik kepada masyarakat dunia khususnya di negara-negara Islam seperti Malaysia adalah nasib penduduk Palestin yang telah 55 tahun berada di bawah jajahan pihak Zionis.

Ramadan tahun ini dijangka mungkin menjadi lebih parah kepada umat Islam di bumi Palestin apabila kerajaan baharu Israel kini diterajui oleh mereka yang terbukti mempunyai pemikiran pelampau Yahudi.

Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben Gvir yang merupakan pemimpin haluan kanan telah diberikan tugas untuk mengawal selia pihak polis di Israel dan juga penempatan penduduk Palestin di Tebing Barat.

Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich pula telah bertindak dengan merampas dana kastam pihak berkuasa Palestin atas alasan agensi tersebut membantu pihak ‘pengganas’ Palestin.

Dalam satu insiden rusuhan yang menyaksikan pendatang haram Yahudi menyerang dan memusnahkan harta benda serta membakar rumah di Huwwara sebuah penempatan Palestin, beliau secara terbuka menyarankan agar negara Israel ‘melenyapkan’ terus kampung itu dari muka bumi!

Sehingga awal Mac tahun ini, seramai 65 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel, iaitu purata seorang terkorban bagi setiap hari, manakala 13 rakyat Israel turut terbunuh dalam tempoh jangka masa sama. Ini menjadikan tahun 2023 sebagai permulaan tahun paling banyak memakan korban dalam tempoh dua dekad di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Polisi kerajaan baharu negara haram Yahudi ini telah dirangka oleh pemikir-pemikir Zionis dikenali sebagai Forum Polisi Kohelet yang mendapat dukungan kewangan serta sokongan utama daripada kepimpinan Parti Republican serta golongan elit di Amerika Syarikat.

Keangkuhan negara haram Yahudi yang hanya mempunyai jumlah penduduk 9.5 juta namun dikelilingi oleh negara-negara Arab serta Islam yang berjumlah ratusan juta penduduknya adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Jika perbandingan jumlah penduduk mahu dijadikan kayu pengukur kekuatan fizikal, Kaherah, ibu negara Mesir sahaja mempunyai penduduk seramai 16 juta! Lebih parah negara majoriti penduduknya sebangsa Arab dan seagama Islam seperti Libya, penduduknya berbunuhan sesama sendiri manakala di Iraq dan Yaman, kuasa-kuasa besar dunia telah berjaya memecah-belah dan melumpuhkan sistem kerajaan secara langsung atau menerusi proksi.

Kita perlu bermuhasabah kenapa umat Islam menjadi umat paling tertindas di serata pelosok dunia, walaupun jumlah mereka bukan sedikit.

Paling menakutkan perpecahan sebangsa dan seagama yang telah sekian lama menjadi barah di negara-negara Arab serta peluru bagi kuasa yang bencikan Islam, kini mula bertunas di negara ini.

Dalam tempoh berkempen sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan kini hampir empat bulan ia berakhir, benih-benih kebencian dalam bentuk tuduhan, fitnah dan hasutan seakan menjadi ombak tsunami, terutama di media sosial kalangan politikus Melayu sehinggakan sukar untuk rakyat marhaen membezakan antara yang benar dengan palsu.

Apa yang kini berlaku sama ada disengajakan atau tidak telah memberikan satu peluang keemasan kepada ‘musuh’ negara yang mempunyai agenda tersendiri untuk mengadu domba satu-satunya bangsa yang fitrahnya tidak beragama lain selain Islam.

Umum perlu tahu bahawa dalam peperangan, terdapat dua jenis strategi yang diguna pakai. Ia adalah perang psikologi atau saraf dan kedua perang fizikal. Perang psikologi akan sentiasa mendahului langkah atau perang fizikal.

Jika musuh berjaya memecahbelahkan ukhuwah persaudaraan sebangsa dan seagama melalui perang psikologi, maka bagi mereka, kemenangan perang fizikal akan pasti mudah dicapai.

Malah kemusnahan sasaran secara fizikal mungkin tidak perlu dilakukan kerana negara sebangsa dan seagama akan punah akibat percakaran politik dalaman yang mewujudkan sifat dendam mendendam, kemunafikan malah penderhakaan.

Mungkin ramai berpendapat, apa yang berlaku terhadap Palestin oleh negara Yahudi tidak mempunyai kaitan dengan kancah pergolakan politik di negara ini.

Ini adalah satu pandangan yang sempit kerana setakat yang diketahui, negara telah dua kali digemparkan mengenai bagaimana tangan-tangan kotor perisikan Yahudi telahpun sampai dan beroperasi di sini.

Mungkin para politikus negara perlu memutar kembali lagu nostalgia berjudul ‘Panggilan Jihad’ yang kerap dimainkan di corong-corong radio di negara ini pada tahun 60-an dan 70-an dan benar-benar menghayati setiap liriknya yang penuh nasihat dan amaran.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca