SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Afif Bahardin, menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan sama ada beliau akan kekal mempertahankan kerusi Seberang Jaya, Pulau Pinang atau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Afif Bahardin, menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan sama ada beliau akan kekal mempertahankan kerusi Seberang Jaya, Pulau Pinang atau bertanding di tempat lain Selangor, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Bekas Exco kerajaan negeri itu berkata, biarpun bukan lagi ADUN Seberang Jaya, namun beliau tetap meneruskan tugas membantu dan menjaga kebajikan penduduk kawasan terbabit sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan.

"Saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun pada sama saya meneruskan khidmat kepada penduduk Seberang Jaya hingga tamat penggal DUN Pulau Pinang nanti.

"Saya tidak boleh mengulas lanjut, namun sebelum ini saya pernah bertanding di Parlimen Shah Alam semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Jadi saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada bakal bertanding di Seberang Jaya atau di Selangor atau tidak dalam PRN ini," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Untuk rekod, Afif adalah salah seorang daripada empat ADUN diarahkan DUN Pulau Pinang untuk mengosongkan kerusi masing-masing selepas Mahkamah Tinggi Georgetown menolak permohonan mereka bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang pembentangan usul terbabit sehingga rayuan berhubung perkara itu didengar.

Tiga lagi ADUN Bersatu yang diarah mengosongkan kerusi mereka ialah Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Dari kiri: Zolkifly, Dr Afif, Zulkifli dan Khaliq Mehtab keluar dari Dewan setelah usul pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Pulau Pinang diluluskan pada Isnin.
Dari kiri: Zolkifly, Dr Afif, Zulkifli dan Khaliq Mehtab keluar dari Dewan setelah usul pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Pulau Pinang diluluskan pada Isnin.

Pada 16 Dis 2022, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan keempat-empat ADUN berkenaan bagi mendapatkan kebenaran mencabar kelayakan DUN Pulau Pinang meluluskan undang-undang anti lompat parti dan memerintahkan agar kes itu didengar berkaitan isu merit di Mahkamah Tinggi.

ADUN terbabit telah memfailkan sama pada 2020 bagi mencabar keperlembagaan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan menghalang kerusi mereka daripada diisytiharkan kosong selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 14A(1).

Untuk rekod, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Berikutan itu, PN meletakkan Afif sebagai calon PN di Parlimen Shah Alam, pada PRU15 lalu, namun kalah kepada wakil PH, Azli Yusof dengan majoriti 18095 dalam pertarungan sengit empat penjuru bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan Rafique Rashid (Pejuang).

Azli memperoleh 61,409 undi diikuti Afif (43,314 undi), Isham (28,266) dan Rafique hilang wang deposit selepas hanya mendapat 2,781 undi.

Sementara itu, Afif juga melahirkan keyakinan bahawa peluang PN menang 15 kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang berikutan terdapat trend peningkatan pengundi Melayu dan bukan Melayu terhadap gabungan parti pembangkang yang sangat baik di negeri berkenaan.

"Sebelum ini Barisan Nasional (BN) hanya mampu menang di kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor sahaja, namun pada PRU15, PN berjaya merampas tiga kerusi iaitu, Kepala Batas, Tasik Gelugor dan Permatang Pauh (kubu kuat PKR).

"Kita juga hanya kalah tipis di kerusi Parlimen Nibong Tebal dan Balik Pulau. Justeru itu, kita mempunyai peluang lebih baik untuk merampas 15 kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang, dalam PRN kali ini," katanya.

Dari kiri; Azli, Mohd Rafiq, Hizarul Isham dan Dr Afif.
Dari kiri; Azli, Mohd Rafiq, Hizarul Isham dan Dr Afif.

Tambahan pula Afif berkata, pengundi sekarang juga semakin bijak dan mampu menilai sendiri kegagalan kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan hanya tahu bercakap tetapi gagal menangani pelbagai masalah dihadapi mereka termasuk kegagalan menangani masalah ekonomi, kejatuhan nilai ringgit dan isu pengangguran anak muda seperti dijanjikan mereka sebelum ini.

Beliau juga mendakwa masyarakat Melayu di Pulai Pinang juga tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan DAP yang meminggirkan suara dan kepentingan orang Melayu sebagai penduduk majoriti di negeri terbabit.

Afif juga mendakwa pemimpin Melayu dalam kerajaan negeri sekarang dilihat turut mengabaikan masalah ekonomi, pengangguran dan pemilikan atau ekuiti membabitkan kaum Bumiputera di Pulau Pinang.

"Sebab itulah kita yakin peluang PN cerah kerana datang dengan pakej lengkap bersama imej dan jenama yang jelas. Oleh itu, Bersatu, Pas dan Gerakan akan terus memberikan gambaran yang jelas.

"Kita sedang memberikan penjelasan rakyat Pulau Pinang termasuk pengundi bukan Melayu mengenai kepentingan menukar kerajaan negeri dan apa yang PN boleh lakukan untuk masyarakat di negeri ini.

"Sebab itulah kita berharapan PN akan menang dan mampu membentuk kerajaan negeri baharu di Pulai Pinang selepas PRN nanti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca