SHAH ALAM - Sanggup membayar RM20,000 seorang untuk mendarat di Malaysia biarpun berdepan risiko ditahan pihak berkuasa.
Itu antara perkara yang diakui etnik Rohingya selepas mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi pelbagai siri operasi.
Keadaan ekonomi Malaysia yang stabil dan kewujudan peluang pekerjaan yang banyak menyebabkan negara ini menjadi lokasi pilihan utama etnik terbabit mencari kehidupan dan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding di negara asal mereka.
Malah, mereka juga semakin berani apabila menganggap kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) ibarat ‘kebal’.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin berkata, berdasarkan soal siasat, etnik Rohingya ini menganggap Malaysia adalah negara yang baik selain faktor saudara-mara mereka yang telah lama berada di sini.
Menurutnya, sebelum ini apabila berlaku insiden pembersihan etnik di mana mereka ditindas di negara asal, Myanmar, mereka telah dihantar ke negara ketiga seperti Australia.
"Migran ini juga telah ditempatkan di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh, namun negara itu juga memiliki jumlah penduduk yang ramai.
"Pada masa sama etnik Rohingya ini menyedari Malaysia lebih sesuai didiami atas pelbagai faktor antaranya agama dan budaya,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.
Hamid menambah, modus operandi penyeludupan migran ini juga sudah berubah.
"Pelarian ini sanggup bayar RM15,000 hingga RM20,000 seorang kepada ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia.
"Namun modus operandi pencerobohan hari ini berubah daripada masuk secara ‘pukal’ kepada ‘runcit’,” katanya.
Ujarnya lagi, etnik terbabit yang kebanyakannya berada di Cox’s Bazar akan diuruskan oleh sindiket dan akan ditransitkan di Indonesia dengan diuruskan oleh tekong darat dan laut negara itu.
"Kemudian, tekong darat dan laut dari Malaysia pula memainkan peranan apabila penyeludupan etnik itu dilakukan di sempadan perairan negara.
"Di sini nelayan tempatan yang dipercayai dibayar RM1,000 akan mengambil migran terbabit dalam jumlah kecil (runcit) sekitar lima hingga enam orang bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa.
"Setelah tiba, mereka akan ditempatkan di rumah penampungan sebelum diserahkan kepada ejen darat,” ujarnya.
Tambahnya, ada juga dikesan ejen dari lokasi penempatan etnik Rohingya di Bukit Malut, Langkawi dan Teluk Bahang, Pulau Pinang cuba membawa masuk migran terbabit.
Mengulas adakah etnik ini rela ditahan di Malaysia, Hamid mengakuinya.
"Mereka (Rohingya) rela untuk ditangkap kerana tahu mereka akan diselamatkan. Lebih rela masuk penjara di sini kerana ada makan dan semuanya.
"Ada juga yang ambil kesempatan guna kad UNHCR. Mereka guna apa sahaja cara untuk duduk di Malaysia,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca