SHAH ALAM - Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin tidak menolak kemungkinan kegiatan penyeludupan etnik Rohingya ke negara ini didalangi individu tertentu yang berpengaruh.
"Selain tekong darat dan laut, dalang ini akan mengupah warga tempatan sebagai tonto atau ‘mata-mata’ bagi memantau kehadiran serta pergerakan penguat kuasa.
"Ada tonto ini yang menyamar sebagai pemancing dan orang awam dengan hanya duduk di kedai kopi melihat bot kami (maritim) bergerak,” katanya.
Tambah Hamid, tonto berkenaan dipercayai dibayar sehingga RM1,000 bergantung kepada situasi seperti maklumat yang disalur dan sebagainya.
Terang beliau, Maritim Malaysia mempunyai radar pengawasan selain pelaksanaan Ops Guard dengan melibatkan semua agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut beliau, Maritim Malaysia juga bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengenal pasti ejen-ejen penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih bebas.
"Tindakan akan dikenakan di bawah Seksyen 130V Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dengan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA,” jelasnya.
Kata beliau, ancaman kemasukan ini dapat dibuktikan dengan rekod pendaratan PATI seramai 413 orang tahun lalu.
"Daripada jumlah itu, etnik Rohingya adalah seramai 214 orang,” ujar beliau.
Hamid menjelaskan, Malaysia bukanlah negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967.
"Perlu diketahui Konvensyen UNHCR tidak mengikat Malaysia atau mana-mana negara untuk menerima pelarian ini sebagai warganegara atau menjadi rakyat yang sah.
"Dokumen UNHCR ini adalah sebagai membantu melindungi pelarian yang diusir ke negara asal terutama jika nyawa dan kebebasan mereka terancam,” katanya.
Hamid memberitahu, pelbagai perancangan baharu telah dirangka oleh pihaknya dalam usaha menangani isu ini, antaranya adalah dengan pembelian bot-bot pemintas dan kapal peronda luar pesisir (OPV) bagi meningkatkan keupayaan menjaga keamanan serta keselamatan perairan negara.
"Kita laksana operasi untuk kekang kemasukan bot haram. Penguat kuasa dari Australia dan Jepun juga membantu kita namun cabarannya adalah berbalik kepada tonto dan tekong warga tempatan.
"Jadi kita laksana interaksi bersama komuniti maritim, nelayan dan pengusaha bot agar mereka sedar mengenai kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Dedah Hamid lagi, sindiket ini bukan sahaja mengambil peluang menyeludup migran, tapi pada masa sama terlibat dengan penyeludupan kontraban seperti rokok.
"Mereka adalah rangkaian jenayah rentas sempadan. Kita seru supaya rakyat Malaysia beri kerjasama kepada penguat kuasa bagi mengekang kemasukan PATI. Usah terlibat bersekongkol kerana hukumannya berat,” tegas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca