ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) perlu mencari formula berkesan untuk kelangsungan parti itu selain mengenal pasti faktor penolakan rakyat sekiranya mahu terus kekal dalam landskap politik negara. Penganalisis politik, Dr... Klik di sini untuk terus membaca

ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) perlu mencari formula berkesan untuk kelangsungan parti itu selain mengenal pasti faktor penolakan rakyat sekiranya mahu terus kekal dalam landskap politik negara.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, sekiranya Pejuang gagal melakukan sebarang nilai tambah dalam parti tersebut, adalah lebih baik ia dibubarkan dan menyertai parti lain yang berpegang kepada ideologi sama.

Menurutnya, parti pimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir itu perlu menawarkan sesuatu yang tidak ditawarkan oleh parti-parti lain tetapi pada masa yang sama, perlu membuktikan apa yang ditawarkan itu boleh dilaksanakan.

"Pengasas Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri keluar parti, menunjukkan tidak lagi mempercayai ideologi dibawa Pejuang. Malah mungkin mereka juga mengandaikan Pejuang tidak boleh pergi jauh dalam politik negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, aura Mukhriz dilihat masih gagal memberikan faktor ‘wow’ kepada Pejuang menyebabkan parti itu terus malap.

MUKHRIZ
MUKHRIZ
MUKHRIZ

"Mukhriz harus tangkas menjadikan Pejuang sebagai sebuah parti hebat, tidak boleh jadikan parti itu sebagai picisan. Beliau perlu cari formula untuk jadikan Pejuang seperti sebuah kapal besar yang boleh belayar menempuh gelora politik tanah air.

"Pada ketika ini, Pejuang bukan kapal besar tetapi cuma perahu kecil yang tidak boleh menongkah arus, akhirnya hanya mampu bermain di tepi pantai,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kewujudan Pejuang pada asalnya sebagai alternatif kepada rakyat dalam pilihan raya namun sekiranya apa yang ditawarkan itu tidak memberi sebarang kelebihan kepada rakyat, ia harus diubah.

"Kepimpinan Pejuang sedia ada harus ambil iktibar dan mempunyai jiwa besar untuk berubah bagi memastikan kelangsungan parti itu. Bukan sekadar membawa istilah pejuang semata-mata tanpa membuktikan sebarang keputusan.

"Rakyat dambakan apa yang dikehendaki dan diperjuangkan itu dapat dinikmati. Politik sekarang tidak seperti dahulu, kehendaknya juga sudah berubah. Oleh itu, pemimpin Pejuang harus fikirkan apa yang rakyat mahukan, bukan syok sendiri wujudkan parti baharu dan terajui parti untuk raih populariti namun akhirnya tidak ke mana,” jelasnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, Pejuang gagal mempromosikan parti itu selain pemasaran mereka dilihat kurang berkesan dalam membezakan mereka dengan parti-parti lain yang mempunyai ideologi sama seperti UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Biarpun Pejuang diasaskan atas dasar memartabatkan institusi diraja, menegakkan Islam sebagai tunjang agama serta mendaulatkan bangsa Melayu sebagai teras ketuanan negara, mereka masih gagal bertapak kukuh.

"Secara analoginya, ramai berniaga kedai makan dan menu makanan sama, tetapi ada kedai makan dipenuhi pelanggan dan ada sepi. Sepatutnya kedai yang sepi ini segera mencari formula untuk kenal pasti faktor yang menyebabkan kedai lain dipenuhi pelanggan,” tambahnya.

Menurutnya, sehubungan itu, kepimpinan Pejuang harus berjiwa besar dan bersikap terbuka untuk mencari formula yang diyakini mampu membawa parti itu lebih sukses.

"Menyertai Perikatan Nasional (PN) bukanlah pilihan yang sesuai. Memandangkan perjuangan parti-parti dalam gabungan itu (Pas/Bersatu) sama seperti mana diperjuangkan oleh Pejuang. Tidak nampak bezanya antara Pejuang dengan PN.

"Sudah tentu PN akan memikirkan apakah nilai tambah yang boleh diberikan Pejuang kepada mereka. Buat masa ini Pejuang tidak dapat memberi sebarang nilai tambah dalam PN,” jelasnya.

Pada Isnin, Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan Pejuang.

Berikutan itu, penganalisis politik meramalkan masa depan Pejuang semakin gelap sekiranya tidak melakukan perubahan drastik untuk menyelamatkan parti itu.

Klik di sini untuk terus membaca